Monday, December 21, 2009

B-23 dapat restu pemain senior

Selepas memenangi pingat emas Sukan SEA Laos, skuad bimbingan K. Rajagobal terus dinaikkan pangkat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai skuad utama pasukan kebangsaan dan mendapat ‘restu’ daripada beberapa bekas pemain senior.

Bekas ketua pasukan skuad senior kebangsaan yang membantu Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia, Shukor Adan berkata, apa yang dilakukan oleh FAM adalah satu pendekatan yang bagus dan skuad tersebut tidak seharusnya dibubarkan.

“Skuad ini telah lama dibentuk oleh Rajagobal sejak mereka beraksi di peringkat bawah 20 tahun lagi, mereka sudah serasi bersama, biarlah mereka kekal dalam jangka masa yang panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, pasukan ini juga tidak seharusnya dihentam dengan kritikan pedas andai kata suatu hari nanti mereka tewas dalam perlawanan lain, sebaliknya mereka perlu diberi peluang bagi memantapkan lagi pasukan tersebut.

“Saya tidak rasa terkilan jika skuad senior tidak diberi peluang kerana lama-kelamaan umur mereka juga akan meningkat dan secara tidak langsung mereka juga akan menjadi pemain senior,” kata bekas pemain Selangor itu.

Sementara itu, seorang lagi bekas ketua pasukan skuad senior kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata, skuad emas Sukan SEA Laos 2009 itu perlu dikekalkan dan diberi masa secukupnya bagi menggalas cabaran sebagai pasukan utama Malaysia.

“Mereka menggalas tanggungjawab berat tatkala usia mereka masih lagi muda tetapi kita perlu memberi mereka masa untuk terus meningkat naik terutama sekali apabila beraksi di peringkat terbuka,” kata bekas pemain Perak itu.

Katanya, pemain ini perlu terus memburu kejayaan di peringkat yang lebih besar seperti Sukan Asia dan Piala Asia, walaupun perjalanan ke arah itu masih terlalu jauh tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil untuk Aidil Zafuan Abd. Radzak dan rakan-rakannya menyerlah di kejohanan tersebut.

“Kita perlu memberi mereka sedikit masa dan pendedahan terhadap beberapa perlawanan antarabangsa, semua ini bergantung kepada rancangan yang bakal diterapkan FAM nanti,” katanya.

Bagi Hairuddin Omar, beberapa pemain senior perlu diselitkan dalam skuad tersebut tetapi bukan dalam jumlah yang ramai, cukup sekadar dua atau tiga orang pemain di beberapa posisi penting.

“Gabungan antara pemain senior dan skuad muda ini mampu untuk memantapkan lagi skuad kebangsaan lebih-lebih lagi jika mereka bertemu dengan pasukan senior dari negara lain,” kata pemain yang akan beraksi untuk pasukan Kelantan musim depan.

Tambah bekas pemain senior kebangsaan itu, kehadiran beberapa pemain senior akan mewujudkan persaingan yang sihat antara sesama sendiri.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim sependapat dengan Hairuddin, katanya perlu ada dua atau tiga pemain senior diselitkan dalam skuad tersebut dan dalam masa yang sama pemain yang sedia ada tidak dipecahkan.

“Mustahil jika tidak ada seorang pun pemain senior yang bagus untuk digandingkan dengan mereka, kehadiran pemain senior nanti akan menjadi penunjuk arah buat pemain-pemain muda supaya persembahan mereka terus kekal cemerlang,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan yang membawa Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 1989, Dollah Salleh berkata, pemain bawah 23 tahun yang ada sekarang memang sangat berkualiti dan dia sendiri pernah mendapat komen dari jurulatih luar bahawa skuad ini akan membawa pulang pingat emas Sukan SEA.

“Saya tidak nafikan ini adalah pasukan kebangsaan yang terbaik, sebelum mereka pergi ke Sukan SEA saya sudah menjangkakan mereka akan dinaik taraf menjadi pasukan kebangsaan,” katanya.

Dollah berkata, kemenangan skuad Rajagobal membuka mata pengkritik yang sering berpendapat bola sepak di Malaysia sudah berkubur tetapi kejayaan dicatatkan di Laos membuka mata mereka dunia bola sepak di Malaysia masih lagi hidup.

No comments:

Post a Comment