Wednesday, December 23, 2009

Mansuhkan UPSR untuk bangunkan sukan di sekolah

Memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah antara cadangan yang ditimbulkan pada Konvensyen Sukan Kebangsaan 2009 semalam dalam usaha membangunkan sukan secara lebih serius di sekolah rendah.

Cadangan itu bagaimanapun enggan diulas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Seni dan Ko-Kurikulum Kementerian Pelajaran, Dr. Zubir Hassan.

"Dalam soal memansuhkan UPSR ini, saya tidak mempunyai kuasa untuk bercakap mengenainya kerana ia membabitkan soal dasar kementerian," katanya.

Beliau menjawab cadangan wakil Majlis Sukan Negara yang juga bekas atlet kebangsaan, Zaiton Othman (gambar) ketika pembentangan dan maklum balas sukan di sekolah pada Konvensyen Sukan Kebangsaan.

Bagaimanapun katanya, kementerian pelajaran tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan konsep "Mengembalikan sukan di peringkat sekolah" seperti yang diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran.

"Untuk itu kita telah mengadakan satu seminar pembangunan sukan sekolah bagi memberi peluang kepada pendidik berbincang dan berkongsi maklumat demi perubahan dalam pembangunan sukan di sekolah," tegasnya.

Sehingga ini katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, pihak kementerian sedang dalam proses menyiapkan dua buah sekolah sukan di Pahang dan Sabah di mana setiap satunya bernilai di antara RM80 juta hingga RM90 juta.

"Selain itu keputusan kerajaan mengehadkan pengambilan mata pelajaran di dalam Sijil Pelajaran Malaysia adalah bagi memberi ruang kepada pelajar di sekolah sukan berlatih dengan lebih berkesan lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment