Friday, December 25, 2009

Sathianathan perkemas barisan sebelum Liga M


SELEPAS mencatat satu keputusan seri dan dua kekalahan dalam siri perlawanan persahabatan menentang tiga kelab handalan Liga Super Thailand di Bangkok baru-baru ini, skuad Kelantan meneruskan misi memperkemas barisan sedia ada menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Malam kelmarin, skuad kendalian B. Sathianathan itu mencipta kemenangan sulung dalam aksi persahabatan selepas menang 2-0 ke atas T-Team di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Norfarhan Mohamad dan penyerang baru, S, Chanturu masing-masing meledak satu gol buat skuad Wira Merah.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat ramalan terhadap keupayaan Kelantan bagi mengharungi musim 2010 nanti.

Sathianathan nampaknya menggunakan kesempatan dalam siri perlawanan persahabatan ini untuk mencuba kesemua barisan pemainnya.

Beliau kini menjadi orang yang paling pening bagi mencari gandingan terbaik memandangkan skuad kendaliannya memiliki ramai pemain berstatus bintang.

Bagaimanapun, gandingan Chanturu dan seorang lagi penyerang baru, Norshahrul Idlan Talaha dilihat memerlukan sedikit lagi masa sebelum mereka mampu membentuk kombinasi terbaik.

Kehadiran Shakir Shaari juga bakal menambah kekuatan Kelantan di bahagian tengah, namun bekas pemain UPB My-Team itu perlu lebih bekerja keras.

Di posisi pertahanan, Azizi Mat Rose dianggap cukup berpengalaman mengendalikan benteng Kelantan bersama Daudsu Jamaluddin.

Syed Adney Syed Hussein yang akan menggantikan Halim Napi pula perlu memperbaiki beberapa kelemahan andai mahu menjadi penjaga gol utama Kelantan musim depan.

No comments:

Post a Comment