Saturday, July 2, 2011

Taiwan mampu 'mengganas'

Ramai jurulatih mahupun pengurus pasukan bola sepak sering berkata, segala rekod lalu tidak akan bermakna di atas padang apabila tiba satu lagi perlawanan baru yang pastinya jauh berbeza dari segi masa dan keadaan mahupun barisan pemain.

Namun, kadangkala sejarah juga masih relevan dalam mematangkan seseorang dan mengayakan pengalamannya terutama pada saat-saat genting atau ketika dihantui tekanan tinggi seperti mana Harimau Malaya mengunjungi Taiwan di Stadium Perbandaran, Taipei, esok.

Rekod kalah 2-3 kepada Taiwan di Bangkok dalam kelayakan Piala Asia 2000, boleh dijadikan rujukan walaupun tiada siapa lagi pemain ketika itu yang masih berada dalam skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 ketika ini.

Agak malang buat skuad 2000 bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu kerana mereka dengan mudah membenam Taiwan 3-0 dalam perlawanan pertama di Shah Alam - situasi yang hampir sama dengan 'Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abd. Razak' menewaskan negara pulau itu 2-1 di Bukit Jalil, Rabu lalu.

Berdasarkan pertemuan pertama di Stadium Nasional itu jugalah, jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail menegaskan betapa skuad Rajagobal tidak sesekali boleh mengulangi kelekaan dan aksi longlai yang mengakibatkan pelawat mudah beroleh gol tunggal menerusi Chen Po Liang.

"Aksi di Bukit Jalil membuktikan Taiwan sebuah pasukan yang mampu menyaingi Malaysia walaupun ketinggalan dua gol. Aset utama mereka ialah kepantasan menyerang balas. Pasukan kita kena sentiasa berwaspada dan jangan sampai tertekan dan buat silap sebegitu lagi sampai terlepas gol sebegitu.

"Malah, cukup jelas pada hari itu, Taiwan bermain lebih baik selepas merapatkan jurang gol justeru pasukan kita wajar bermain lebih baik dalam perlawanan kedua di Taipei," katanya yang turut menjadi pengulas bersama siaran langsung sebuah saluran TV swasta, Rabu lalu.

"Kita banyak menyerang ketika itu dan kadar gol yang secukupnya sebagai modal awal ke tempat lawan gagal dicapai setelah banyak peluang terlepas malah sampai terleka untuk bertahan daripada satu serangan balas lawan yang terus mendapat gol," jelasnya.

Razip turut mengakui, kelebihan satu gol dengan jaringan Safiq dan Aidil Zafuan di Bukit Jalil itu tidak akan mudah untuk dipertahankan di Stadium Perbandaran Taipei apatah lagi lawan mempunyai modal atas faktor peraturan gol di tempat lawan.

"Saya rasa, rombakan di barisan belakang pasukan kita juga tidak dapat dielakkan dan corak permainan terbuka bukan lagi satu pilihan yang menjadi keutamaan biarpun saya akui, satu gol kita di tempat lawan bakal menambah keyakinan pemain dan mencerahkan peluang kita," katanya.

Barisan kemungkinan Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat, Asraruddin Putra Omar, Muslim Ahmad, Aidil Zafuan Radzak, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Baddrol Bakhtiar, Amar Rohidan, S. Kunanlan, Fadhli Shas, Abdul Hadi Yahya.

Keputusan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana

Berikut adalah keputusan-keputusan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana yang berlangsung pada malam ini.

Liga Super

K. Lumpur 0 Harimau A 1

Liga Perdana

ATM 0 Sarawak 1

Johor 4 P. Pinang 0

SDM Navy 4 MP Muar 3

USM 3 Pos Malaysia 1

PKNS 2 Harimau B 1

PDRM 1 Sime Darby 0

Friday, July 1, 2011

Awas jerat! - Taiwan mahu pamer corak sebenar perangkap Malaysia




SILAP besar andai skuad kebangsaan berharap Taiwan bakal mempamerkan corak permainan sama pada perlawanan kedua pusingan pertama kelayakan Piala Dunia Zon Asia Ahad ini, selepas sekadar menang 2-1 ke atas lawan ranking lebih rendah itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Skuad kendalian Datuk K Rajagobal yang berada di ranking 144 FIFA seharusnya membawa bekalan lebih besar ke Taiwan berdasarkan permainan kelmarin, tetapi dikejutkan dengan gol tunggal lawan yang berada pada ranking 165 dunia itu selepas barisan pertahanan negara terleka ketika mendahului dua gol.
“Kelebihan pasukan ini ialah permainan menyerang, tetapi di sini kami terpaksa bertahan kerana tahu kelebihan Malaysia,” kata jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung. “Jadi selepas ini, kami akan menunjukkan permainan sebenar dan memburu kemenangan di laman sendiri Ahad ini.

“Satu gol di tempat lawan menjadi sandaran utama kami untuk merampas kemenangan daripada Malaysia.”

Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim membuka jaringan pada minit ke-28, diikuti tandukan babak kedua (m-55) Aidil Zafuan Abd Radzak yang meletak Malaysia selesa di depan tetapi kelekaan pertahanan membawa padah apabila pemain tengah Taiwan, Chen Po-Liang mudah menewaskan penjaga gol Sharbinee Allawee dalam satu serangan balas pantas pada minit ke-75.

Pada baki 10 minit, anak buah Chih-Tsung menunjukkan taring sebenar dengan asakan bertubi-tubi untuk mencari gol penyamaan tetapi benteng negara menangkis setiap cubaan bagi memastikan kemenangan kekal dalam genggaman.
Berbekalkan hanya pemain amatur yang kebanyakannya pelajar kolej dan universiti, Taiwan menampilkan cabaran sengit ke atas juara Asia Tenggara itu.

“Kami tetap mahu menang pusingan ini dan akan memastikan sasaran dicapai apabila Malaysia bertandang ke Taiwan pula,” kata Chih-Tsung.

“Sepatutnya kami mampu bermain lebih baik tetapi sokongan padu penyokong Malaysia membuatkan pemain saya gugup dan gagal mempamerkan aksi sebenar. Di Taiwan, keadaannya mungkin berbeza, walaupun sejak dulu stadium kami tidak penuh, sekurang-kurangnya penyokong lawan juga tidak ramai.”

Kehadiran lebih 45,000 penyokong Harimau Malaya tidak lagi boleh dijadikan pembakar semangat di Taiwan dan Rajagobal kini perlu memikirkan strategi terbaik bagi memastikan gawang negara tidak dibolosi Ahad ini.

Mungkin hilang Safee


Skuad negara ke Taipei semalam bukan sahaja tanpa bekalan selesa apabila cuma menang 2-1 ke atas Taiwan di laman sendiri pada Kelayakan Piala Dunia, tetapi dihimpit risiko kehilangan Safee Sali pada aksi timbal balik, Ahad ini.

Kelibat Safee hanya sempat disaksikan pada babak pertama perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, apabila pemain itu dikeluarkan akibat cedera bahagian urat pelipat lutut.

Situasi itu pastinya merumitkan lagi misi skuad negara untuk menembusi kubu lawan di Taipei, kerana Taiwan kini yang memiliki kelebihan apabila meledak satu gol di sini, kelmarin.

Jurulatih Datuk K. Rajagobal sememangnya berdepan masalah tidak banyak pilihan di bahagian penyerang sejak aksi persahabatan dengan Myanmar di Kota Bharu 18 Jun lalu dan terpaksa menggunakan penyerang Terengganu, Abd. Hadi Yahya sambil dibantu oleh Baddrol Bakhtiar.

Ekoran masalah terbaru yang membelenggu skuad negara, Rajagobal berdepan tugas berat untuk membentuk percaturan bahagian serangan pada aksi di Stadium Perbandaran Taipei, Ahad ini.

"Apa-apa pun, menang tetap menang (di sini), tetapi saya akan melihat kecederaan yang menimpa Safee. Saya rasa dia mungkin tidak dapat beraksi dalam perlawanan kedua kerana masalah urat pelipat lutut," katanya selepas perlawanan kelmarin.

Ini bermakna skuad kebangsaan kehilangan dua penyerang utama termasuk Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi watak penting ketika menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, kecuali jika pemain itu pulih menjelang pertemuan Ahad ini.

Selain Abdul Hadi dan Baddrol, Rajagobal masih memiliki seorang lagi calon yang mampu mengisi kekosongan bahagian serangan iaitu Ahmad Fakri Saarani, yang dimasukkan sebagai pemain gantian kelmarin.

Namun, Ahmad Fakri gagal membentuk gandingan mantap bersama Abdul Hadi, apabila mereka digandingkan buat pertama kali namun terlepas beberapa peluang untuk menambah jaringan pada babak kedua kelmarin.

Sementara itu, pada bahagian tengah Malaysia mungkin tidak dapat menggunakan khidmat ketua pasukan, Safiq Rahim yang mengalami kecederaan di bahagian lutut, namun tahap kecederaan tersebut masih menjadi tanda tanya.

Namun, tiada masalah besar buat Rajagobal pada posisi lain termasuk penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli yang memberikan persembahan baik, namun kesilapan barisan pertahanan membiarkan Chen Po Liang menjaringkan gol kelmarin, sesuatu yang tidak boleh diterima.

Gandingan Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Fadhli Shas agak leka sehingga membolehkan Taiwan memperoleh jaringan yang amat diperlukan mereka sebagai bekalan untuk perlawanan di gelanggang sendiri.

"Jaringan pasukan lawan akibat kelalaian pertahanan kita," kata Rajagobal.

'Kembalikan rentak sebenar'


JURULATIH kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mengakuiyang anak-anak buahnya tidak mempamerkan rentak permainan sebenar ketika mereka menewaskan Taiwan 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Justeru pengendali berusia 55 tahun itu mahu para pemainnya kembali tampil dengan aksi sebenar yang lebih berdisiplin pada aksi kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia di Stadium Perbandaran Taipei, Ahad ini.

"Kami bermula hambar pada 15 hingga 20 minit pertama dan tidak bermain secara agresif seperti biasa. Memang saya agak kecewa kerana selepas mendahului 2-0, barisan perta- hanan pula leka dan melakukan kesilapan mudah.

"Jadi saya mahu para pemain kembali kepada rentak sebenar permainan mereka apabila beraksi di tempat lawan pada Ahad ini.

"Saya lihat para pemain Taiwan cukup komited dan rajin pada perlawanan ini tetapi saya tetap yakin dan optimis kita akan dapat melakukan tugas dengan baik di Taipei.

"Cuma saya mahu para pemain jangan cepat hilang fokus dan main dengan lebih berdisiplin sepanjang 90 minit permainan," kata Rajagobal.

Skuad kebangsaan telah berlepas ke Taipei pada pagi semalam bagi menyesuaikan diri dengan keadaan di tempat lawan itu.

Dengan penyerang utama, Safee Sali mungkin tidak sempat pulih daripada kecederaan hamstring tendon yang memaksanya dikeluarkan pada waktu rehat aksi malam kelmarin, Rajagobal mungkin terpaksa menggunakan 'senjata sulit' pasukan negara, Norshahrul Idlan Talaha.

"Saya akan buat dua atau tiga pertukaran pada kesebelasan utama berikutan masalah kecederaan dan prestasi pada aksi pertama ini.

"Saya harap Norshahrul sudah bersedia untuk diturunkan. Jika keadaan memerlukan, saya akan menurunkannya di Taipei," jelas Rajagobal.

Dua lagi pemain yang mungkin kembali dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya pada Ahad ini ialah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan pemain pertahanan kanan, Mahali Jasuli.

Usah Pertikai Keputusan Rajagobal


Percaturan dan beberapa pindaan taktikal dilakukan jurulatih skuad negara, Datuk K.Rajagobal termasuk kejutan di barisan kesebelasan utama ketika menewaskan Taiwan 2-1 semalam, mendapat pelbagai reaksi negatif peminat bolasepak tanah air, yang kecewa skuad Harimau Malaya sekadar menang tipis ke atas pasukan kerdil itu.

Ada yang mempertikai tindakan menurunkan Safee Sali selaku penyerang tunggal, walhal Malaysia bermain dengan taktikal menyerang dan perlu menjaringkan seberapa banyak gol, ditambah pula dengan hakikat bahawa Rajagobal mempunyai empat pilihan penyerang lain untuk membantu Safee mencari gol.

Tidak kurang yang mempertikai keputusannya memberikan slot kesebelasan utama kepada Helmi Remeli yang terpaksa pula dikeluarkan belumpun sampai setengah jam permainan, manakala ada yang berpendapat Rajagobal gagal menggunakan sebaiknya pilihan pemain yang beliau ada – di mana Ashaari Shamsuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Muslim Ahmad dan Mahali Jasuli sekadar menjadi pemerhati, manakala Shakir Shaari diturunkan pada 10 minit terakhir.

Posisi Baddrol Bakhtiar pula mungkin lebih berkesan jika diisi lebih awal Abdul Hadi Yahya, Norshahrul, atau Ahmad Fakri Saarani, manakala Baddrol sendiri dikembangkan ke posisi sayap, namun pastinya Rajagobal mempunyai alasan tersendiri di atas segala permainan strategi, taktikal yang diterapkannya.

Beberapa bekas pemain negara yang berkongsi pandangan , berharap agar peminat tidak menyalahkan atau mempertikai keputusan Rajagobal, kerana sebagai Ketua Jurulatih skuad negara beliau pastinya lebih arif tentang sesuatu keputusan yang dibuat.

“silap sebenarnya kalau kita pertikai keputusan Raja, mesti ada sebab kenapa Mahali tak main Helmi yang main, kenapa Ashaari tak main Baddrol yg main. Kalau menang semalam semua tu orang akan puji dan cakap sebaliknya, takkan ada yang nak pertikai. Mungkin Raja sebenarnya nak expose Helmi to international game, sebab Mahali ni pemain Olimpik, so bila Mahali unavailable, Helmi tak kekok. As a coach dia percayakan pemain dia cuma dalam situasi semalam plan dia tak menjadi, tu yg kena rombak taktikal dan formasi. and u jamin ke kalau player lain yg main kita akan menang besar?..” – K.Gunalan, bekas pertahanan Selangor dan Kebangsaan.

“kita peminat jangan cuba jadi lebih pandai daripada coach. Bila jadi situasi macam ni, ada jer yang cakap itu tak betul, ini tak betul, kalau dengan taktikal yang sama semalam kita menang 3 atau 4-0, mesti takde yg nak kritik. Kita kena ubah mentality. Player yang tak jadi, mungkin bukan hari dia. Mungkin ada sesuatu yg bermain dalam pemikiran rajagobal, yang kita tak tahu. Kita harus ingat, semua pemain dalam kem negara adalah terbaik, kalau u nak mahali jer main kat posisi tu (pertahanan kanan), kenapa dia nak panggil Helmi ke kem skuad kebangsaan? Kalau u nak Norshahrul, atau Ashaari jer, atau sorang pemain yang sama jer main kat depan, takde gunalah dia panggil player2 lain dan training bersama…”. – Zolkifli Ahmad, bekas pertahanan Selangor dan Kebangsaan.

Thursday, June 30, 2011

Malaysia Perlu Waspada Ke Taiwan

Tahniah dan syabas diatas kemenangan tipis Malaysia ke atas Taiwan 2-1 pada malam tadi. Jaringan Safiq Rahim dan Aidil Zafuan hanya mampu memberi sedikit kelegaan kepada para pemain yang jelas kelihatan sugul dengan keputusan ini tadi.

Sebagai sebuah pasukan yang sedang meningkat naik pelbagai kritikan dilempar oleh para pengkritik handalan negara namun sikap jurulatih Rajagopal yang tenang dan sudah mengesan kelemahan sejak awal separuh masa kedua serta akur skuad yang tampil pada malam tadi tidak mempamerkan aksi sebenar mereka.

Ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha yang bijak mengatur serangan sedikit sebanyak merencatkan jentera serangan negara kerana Safee Sali dan Fakri Saarani kurang menyengat mencipta peluang gol manakala pemain lain terlalu berhati-hati menyusun rentak perlawanan.

Keputusan pada malam tadi berjaya mengejutkan Taiwan dan pasukan Asia yang lain untuk tidak lagi memandang rendah keupayaan pemain Malaysia meskipun para pemain Malaysia tiada yang tersenarai dalam aksi perlawanan AFC atau kelab-kelab ternama dunia.

Tahniah sekali lagi kepada seluruh penyokong Malaysia yang berjaya mengembalikan kegemilangan bolasepak Malaysia. Sama-sama kita mengangkat maruah bolasepak negara kita.

Rajagobal tetap optimis


MESKIPUN sekadar mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Taiwan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 malam tadi, jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tetap optimis mengenai peluang skuad kebangsaan untuk mara ke pusingan kedua.

Menurut Rajagobal, kemenangan itu tetap dilihat sebagai satu kelebihan buat skuad Harimau Malaya kerana mereka bakal berkunjung ke tempat lawan bagi menghadapi aksi kedua pada Ahad ini.

“Menang tetap menang. Kita bukannya seri ataupun tewas kepada Taiwan. Jadi saya percaya ia mampu memberi kelebihan buat kami (skuad kebangsaan) apabila menghadapi Taiwan pada aksi kedua nanti.

“Biarpun kita beraksi di tempat lawan, kita perlu yakin bahawa kita masih mampu mencatat kemenangan. Jika pemain-pemain memiliki tahap keyakinan seperti itu, tidak mustahil kejayaan memihak kepada kita,” kata Rajagobal kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, dua jaringan masih-masing satu daripada kapten, Safiq Rahim pada minit ke-27 dan tonggak pertahanan, Mohammad Aidil Zafuan Abdul Razak (ke-54) sudah cukup untuk memberi bekalan buat anak-anak buah Rajagobal sebelum berkunjung ke Taiwan.

Begitupun, kelekaan barisan pertahanan skuad kebangsaan dihukum apabila Chen Po Liang menjaringkan gol bagi merapatkan jurang buat Taiwan pada minit ke-75.

Kesilapan itu telah menghadirkan kebimbangan kepada Rajagobal yang tidak mahu ia berulang lagi ketika aksi kedua nanti.

“Kita tidak sepatutnya melepaskan gol mudah kepada Taiwan begitu sahaja. Apa yang saya dapat lihat ialah barisan pertahanan kita ‘tidur’ dan hilang tumpuan.

“Justeru, saya akan melakukan sesuatu bagi mengatasi kelemahan tersebut sebelum aksi kedua nanti,” jelas Rajagobal.

Sementara itu, jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung yakin anak-anak buahnya akan kembali bangkit pada aksi kedua nanti.

Jelas Chih-Tsung, pasukan itu sebenarnya menampilkan corak permainan secara menyerang tetapi apabila beraksi di Malaysia, mereka perlu berhati-hati dan lebih banyak bertahan.

“Pada aksi kedua nanti, saya yakin kami akan kembali kepada corak permainan asal kami. Kami akan menerapkan corak permainan secara menyerang.

“Kami perlu mencari gol dalam usaha untuk mara ke pusingan kedua. Saya yakin kami masih memiliki peluang yang cerah untuk ke pusingan berikutnya,” jelas Chih-Tsung.

Taktikal Raja menjadi

KEPUTUSAN ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal menggantikan pertahanan kanan, Helmi Remeli dan memasukkan Abdul Hadi Yahaya pada mint ke-27 ternyata tidak sia-sia.

Sentuhan pertama peledak nombor satu Terengganu itu, berjaya menemui S Kunalan sebelum menghantar bola kepada Safiq Rahim untuk gol pertama Malaysia pada minit ke-28.

Jaringan kapten kebangsaan itu ternyata, membangkitkan semangat pemain Malaysia untuk memburu gol kedua namun barisan serangan diketuai Safie Sali gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang di hadapan pintu gol Chinese Taipei.

Sebelum itu, pada awal babak pertama, perlawanan pintu gawang Malaysia terlebih dahulu diuji lalui percubaan jarak jauh Chan Che Yuan pada minit ke-3

Dua minit kemudian giliran penyerang Chinese Taipei, Han Chang pula menguji kecekapan penjaga gol Malaysia, Mohd Sharbinee Allawee Ramli namun percubaannya sedikit tersasar.

Bermula pada minit ke-15, anak buah Rajagobal melakukan beberapa siri serangan ke kubu Chinese Taipie namun gagal menemui jaring pasukan pelawat.

Pada babak kedua perlawanan, Malaysia tampil garang dengan percubaan demi percubaan dan permainan pantas Harimau Malaya berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Chinese Taipei.

Pada minit ke-54, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak menceriakan 45,000 penyokong Malaysia dengan menolak masuk gol kedua berpunca daripada sepakan sudut Baddrol Bakhtiar.

Namun 22 minit selepas itu, Chen Po Liang menjarigkan gol tunggal Chinese Taipei selepas situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Malaysia.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia melakukan asakan ke gawang Chinese Taipei, namun gol ketiga gagal dijelmakan anak buah Rajagobal.

Walaupun memenangi perlawanan malam tadi, kedudukan Harimau Malaya boleh dianggap belum selamat kerana perlu mengharungi perlawanan timbal balik di Taiwan, 3 Julai ini.

Kelayakan Piala Dunia: Kemenangan saingan pertama Malaysia

KUALA LUMPUR 29 Jun - Skuad bola sepak negara berjaya memperoleh kemenangan 2-1 menundukkan Taiwan dalam saingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Gol pembukaan negara di perolehi melalui Safiq Rahim pada minit ke-28 dan gol kemenangan hasil tandukan pemain pertahanan Aidil Zafuan Abd. Radzak pada minit ke-55 manakala gol tunggal Taiwan diperolehi hasil rembatan kencang Po Liang Chen pada minit ke-77.

Selepas ini skuad kebangsaan akan berkunjung ke Stadium Municipal Taiwan pada Ahad ini untuk perlawanan kedua.