Friday, September 3, 2010

asas bacaan 10 zikir haron din

Pemain Kelantan dapat 'duit raya'


SKUAD bola sepak Kelantan boleh ‘berpesta’ seketika menjelang sambutan Hari Raya Aidilftri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Ini kerana, skuad The Red Warriors itu mendapat ‘duit raya’ hasil kejayaan mereka muncul naib juara Liga Super.

Bonus tersebut disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Kafe The Red Warriors Station @ KTC, Kota Bharu kelmarin.

Menurut Annuar, bonus yang diberikan itu sebagai tanda penghargaan pihak pengurusan KAFA kepada skuad Kelantan yang telah memberikan aksi terbaik sehingga muncul naib juara Liga Super musim ini.

Jelasnya, bonus itu diberikan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan para pemain dapat menggunakan wang tersebut sebagai persiapan Aidilfitri nanti.

“Sebanyak RM100,000 diperuntukkan kepada pemain, namun ia tidak terma- suk elaun untuk pemain pasukan pelapis yang turut berlatih bersama-sama pasukan utama.

“Walaupun mereka tidak mewakili pasukan tetapi kita mahu memberi galakan supaya pasukan mempunyai pemain pelapis yang cukup dan kita fikirkan ia sebagai suatu tanggungjawab persatuan,” katanya.

Annuar menambah, pembahagian bonus itu diserah sepenuhnya kepada pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim untuk menentukan cara pengagihannya kepada para pemain.

“Saya difahamkan pengurus pasukan telah berbincang dengan kapten pasukan dan mereka telah bersetuju pengagihan bonus ini berdasarkan jumlah kekerapan membarisi kesebelasan utama pasukan.

“Supaya tidak berlaku jurang yang jauh, kita perkenalkan had minimum dan maksimum. Jumlah maksimum yang diterima adalah RM4,000,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kelantan akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain sayap lincah Perlis, K. Soley pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Annuar menjelaskan, Kelantan sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat Soley.

“Sejak musim lepas lagi KAFA telah berunding untuk mendapatkan khidmatnya tetapi disebabkan kontraknya bersama Perlis masih ada, jadi kami terpaksa akur dan menghormati kontrak tersebut,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan berusia 27 tahun itu, telah bersetuju menyarung jersi Kelantan selama dua musim.

Monday, August 30, 2010

K Soley Sah Milik Kelantan


KOTA BHARU – Segalanya sudah termeterai. Pemburuan hampir dua tahun untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan yang berasal dari Kedah akhir tercapai.

Kini, sah Solehin Kanasian Abdullah atau lebih dikenali dengan nama K Soley akan menyarung jersi Kelantan untuk saingan pentas Liga Malaysia musim depan.

Biarpun saingan Liga Malaysia musim ini belum berakhir, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menjadi persatuan bola sepak negeri pertama di negara ini memancing pemain luar untuk bermain dengan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi, mengesahkan bekas pemain pertahanan Perlis musim ini mengikat kontrak selama dua tahun untuk bermain bersama Kelantan.

“Bulan lalu, K Soley menandatangani kontrak selama dua tahun untuk bermain bersama Kelantan setelah kontraknya bersama pasukan Perlis tamat penghujung bulan Julai lalu.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat menggunakan khidmat beliau untuk kempen Piala Malaysia tidak lama lagi, memandangkan namanya masih didaftar bersama pasukan Singa Utara musim ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Annuar berkata, bekas pemain Perlis itu dijangka akan datang ke Kota Bharu pada 1 September ini bagi menghadiri satu majlis anjuran pihak KAFA.

Katanya, kelibat K Soley akan kelihatan di Kota Bharu pada hari Rabu ini, sebelum beliau melaporkan diri secara rasmi pada pertengahan bulan depan untuk menjalani latihan bersama skuad Kelantan.

“Amat malang kerana kita tidak dapat menggunakan khidmat beliau dalam kempen Piala Malaysia kali ini, memandangkan namanya masih didaftar bersama Perlis sedangkan kontraknya sudah pun tamat sebulan yang lalu.

“Namun begitu pihak Kafa tidak mempunyai perancangan dalam waktu terdekat untuk menggunakan khidmat beliau, cukup dengan barisan pemain sedia ada musim ini bagi mengharungi cabaran dalam kempen Piala Malaysia tidak lama lagi,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan yang berumur 27 tahun itu, memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak Kedah dari tahun 2002 sehingga 2007, sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Perlis pada tahun berikutnya.

Sebaliknya, kelincahan pemain pertahanan dan tengah kanan pasukan Perlis itu sudah pun diintai oleh pihak pengurusan Kelantan sejak tahun lepas lagi, tetapi oleh kerana beliau masih mempunyai kontrak bersama Singa Utara memaksa hajat Kelantan mendapatkan khidmat pemain ini terpaksa dilupakan seketika.

Kelantan Catat Kemenangan Selesa


Siri perlawanan persahabatan semalam menyaksikan Kelantan dicabar sengit pasukan muda UiTM. Namun pasukan yang sentiasa gah digelanggang sendiri menang dengan mudah 5-1 keatas UiTM. Jaringan pada separuh masa dijaringkan oleh Indra Putra, Badri Radzi dan Akmal, pada separuh masa kedua dijaringkan oleh Khairan Eroza dan Che Hishamuddin. Norshahrul, Khairul Fahmi dan S Subramaniam tidak diturunkan. Prestasi pemain amat baik tetapi perlu pengukuhan posisi yang dilihat masih lagi longgar.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Sathia Tuntut Pemain Pamer Aksi Bertenaga

KOTA BHARU – Hanya 45 minit untuk menghapuskan aksi berkarat. Begitulah masa yang diperuntukkan oleh Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan kepada setiap pemainnya bagi membuktikan keupayaan masing-masing dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan berstatus kelab, UiTM FC di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

“Ini merupakan perlawanan pertama untuk para pemain Kelantan setelah lebih daripada tiga minggu berehat panjang. Saya memahami pemain kita mungkin berdepan sedikit masalah menyesuaikan diri dengan situasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya mahu pemain berikan yang terbaik dengan masa yang diperuntukkan selama 45 minit itu. Semua pemain tetap diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan itu.

“Setelah berehat panjang, tambahan pula kita baru memulakan latihan insentif kira-kira seminggu lalu, sudah pasti pergerakan fizikal mereka cukup terbatas, di samping faktor kepenatan mengharungi bulan puasa ini,” katanya.

Sathianathan berkata, perlawanan menentang pasukan pendatang baru dalam Liga FAM musim depan itu, penting baginya bagi menilai sejauh mana tahap prestasi semasa pasukan Kelantan bagi mengharungi cabaran dalam kempen Piala Malaysia tidak lama lagi.

“Kita tidak mempunyai banyak masa sebenarnya. Anda lihat kita mempunyai jangka masa yang panjang selama sebulan, hakikatnya itu tidak benar. Kita memulakan latihan pada 20 Ogos lalu dan selepas 7 September depan, saya tidak boleh berbuat apa-apa (mengadakan perlawanan persahabatan) memandangkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Masuk hari kelima perayaan, tugas berat menanti kita melayan kunjungan juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan di Kota Bharu. Itu yang saya katakan kita tidak mempunyai banyak masa sebenarnya.

Sathianathan berkata, beliau membayangkan kesebelasan utama pemain yang akan turun menentang Negeri Sembilan itu dapat ditentukan ketika penilaian dibuat perlawanan persahabatan menentang T-Team di Kuala Terengganu pada 3 September nanti.

“Saya akan tentukan barisan bayangan pemain Kelantan (menentang Negeri Sembilan) pada perlawanan persahabatan menentang kelab dari Terengganu itu nanti. Bermula dari tarikh itu, kita boleh menyusun strategi dan taktikal berkesan memerangkap anak buah Wan Jamak Wan Hassan.

Sementara itu Penolong Setiauasaha Agung Kafa, Arif Hassan berkata, peminat bola sepak Kelantan dijemput hadir beramai-ramai hadir menyaksikan perlawanan persahabatan pada malam ini.

“Perlawanan persahabatan ini akan bermula jam 10.30 malam sejurus solat terawih berakhir. Semua peminat dijemput hadir beramai-ramai dan masuk adalah percuma,” katanya.

Friday, August 27, 2010

Chelsea lawat Malaysia tahun depan


KUALA LUMPUR - Juara Liga Perdana England, Chelsea, telah memilih Malaysia sebagai pusat latihan pramusim dalam program Jelajah Asia 2011 pasukan itu, demikian diumumkan oleh Ketua Eksekutifnya, Ron Gourlay.

Pada taklimat media mengenai program Jelajah Asia 2011 di sini hari ini, katanya, kelab itu akan mengadakan latihan selama seminggu di Malaysia sebelum mengadakan satu perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur.

"Sebagai pusat latihan pra musim, pengurus pasukan Carlo Ancelotti akan memerlukan kemudahan kelas pertama dan kami tahu Malaysia akan menyediakannya," katanya.

Gourlay berkata, Chelsea yakin dengan minat yang ditunjukkan oleh Malaysia dan berharap untuk mendekatkan lagi dengan peminat pasukan itu di negara ini.

"Sejumlah besar penonton menyaksikan perlawanan kami semasa Jelajah Asia 2008 dan dengan perlawanan akan datang di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kapasiti 85,000 penonton, maka ada peluang untuk lebih ramai peminat akan datang untuk melihat aksi pasukan kami," katanya. - Bernama

Thursday, August 26, 2010

'Red Warriors tetap serius'



KELANTAN yang baru sahaja selesai menunaikan umrah akan diberi tugas pertama dalam memastikan kemantapan pasukan mengharungi Piala Malaysia menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Ahad ini.

Jurulatih skuad The Red Warriors, B Sathianathan, berkata walaupun ia hanya perlawanan persahabatan bertemu juara institusi pengajian tinggi itu, namun prestasi mereka akan diambil kira bagi memastikan kesebelasan utama nanti sehebat barisan Liga Super yang muncul naib juara

Ketika ini, semua pemain tiada dalam senarai tercedera, namun kita akan memastikan mereka berada dalam prestasi diperlukan semantap pasukan Liga Super lalu.

Latihan sudah bermula pada 19 Ogos lalu sebaik saja pasukan kembali dari umrah dan keadaan prestasi masih belum berada pada tahap memuaskan, namun ada masa untuk dipertingkatkan, katanya.

Sathia berkata, selain bertemu UiTM, The Red Warriors juga akan mengadakan dua perlawanan persahabatan lain menentang Felda United pada 3 September ini diikuti T Team, dua hari kemudian.

Pengendali itu menambah, Kelantan tetap akan menggunakan kudrat Indraputra Mahyuddin dibantu pemain utama lain memastikan cabaran mereka mantap dalam Piala Malaysia ini.

Skuad negara harungi dua perlawanan di Doha


SKUAD kebangsaan bimbingan K. Rajagobal akan terbang ke Doha, Qatar pada Sabtu ini untuk menghadapi dua aksi persahabatan menentang sebuah kelab Qatar dan skuad kebangsaan Oman.

Menurut Rajagobal, dia hanya akan membawa 22 pemain terbaik daripada senarai 26 pelatih skuad kebangsaan yang telah mula menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak 16 Ogos lalu.

“Kita akan berlepas pada Sabtu ini sebelum bertemu sebuah pasukan kelab Qatar pada 30 Ogos (Isnin). Ia sebagai persiapan sebelum kita bertemu skuad kebangsaan Oman pada 3 September (Jumaat).

“Tiada tekanan untuk kita memenangi kedua-dua perlawanan ini kerana bagi saya, peluang bertemu pasukan terbaik serta memberi pendedahan dan pengalaman kepada para pemain adalah lebih penting,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Oman dianggap lawan yang cukup baik buat skuad negara memandangkan negara itu menduduki ranking ke-81 dunia berbanding Malaysia di kedudukan ke-139 dunia.

Ditanya pula tentang prestasi para pemain sepanjang 10 hari mereka menjalani latihan, Rajagobal berkata, dia sudah menekankan kepada pemain bahawa fokus utama mereka ketika ini adalah saingan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November depan.

“Sepanjang latihan, saya mahu lihat sejauh mana kesungguhan dan sikap mereka selain mahu memperkukuhkan tahap persefahaman di kalangan para pemain.

“Setelah gagal mengadakan perlawanan persahabatan di Singapura, kita sempat mengadakan satu aksi persahabatan menentang KL Plus di Wisma FAM semalam (kelmarin) dan menang 3-1,” ujar Rajagobal.

Selepas kem latihan skuad kebangsaan berakhir pada 7 September depan, para pemain akan kembali ke pasukan masing-masing untuk menghadapi saingan Piala Malaysia bermula 14 September depan.

Puas Hati Kecergasan Pemain – Sathia


KOTA BHARU – Lulus ujian dengan jayanya. Begitu komen Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan apabila ditanya mengenai tahap kecergasan pemain Kelantan sepanjang hampir tiga minggu tanpa latihan sejurus saingan Liga Super berakhir awal bulan ini.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan tahap kecergasan para pemain Kelantan walaupun hampir tiga minggu tanpa latihan dan pemantauan daripada saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Nampak gayanya semua pemain melakukan ‘kerja rumah’ yang saya berikan dengan baik. Sudah pasti saya gembira kerana mereka tidak duduk diam walaupun berehat panjang tanpa latihan.

“Dalam mengharungi bulan puasa ini, sudah pasti mereka perlu mengekalkan tahap kecergasan kerana saingan kempen Piala Malaysia sebenarnya tidak lama lagi akan bermula.

Sebaik saingan liga berakhir pada 3 Ogos lalu, hampir sebahagian besar pemain Kelantan musim ini berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah sebelum kembali ke tanah air pada 18 Ogos lalu.

Sathianathan berkata, tahap kecergasan bukan sekadar boleh dikekalkan kepada latihan sahaja malahan para pemain perlu didedahkan dengan perlawanan-perlawanan persahabatan.

“Sebab itu saya mengaturkan tiga siri perlawanan persahabatan kepada pemain Kelantan dalam seminggu bermula minggu depan. Jadi, para pemain harus mengambil peluang mengekalkan tahap kecergasan pada perlawanan itu.

Menurut Sathianathan, tidak ada gunanya bagi beliau menjalani latihan harian pada sebelah petang sebelum waktu berbuka puasa kerana para pemain sudah semestinya tidak mempunyai tenaga yang mencukupi menjalani latihan itu.

“Tak masuk akal bagi saya untuk mengarahkan para pemain menjalani latihan pada sebelah petang sepanjang bulan puasa ini. Saya lebih pentingkan kecergasan dan stamina para pemain.

“Sebab itu saya lebih suka memilih latihan pada waktu malam, kita bermula pun sekitar jam 10 atau 11 malam. Para pemain tentunya sudah mendapat tenaga yang cukup dan ‘mood’ pemain juga sudah pasti dalam keadaan ceria menjalani latihan,” katanya.

Skuad Kelantan sudah pun turun menjalani latihan insentif setiap malam bermula 20 Ogos lalu sebaik sahaja para pemain kembali ke tanah air sejurus melakukan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah baru-baru ini.

Wednesday, August 25, 2010

Pelantikan dipersenda


BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Ali berpendapat kabinet baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mantap dicacatkan dengan pelantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita.

Beliau yang mengikuti perkembangan semasa badan induk bola sepak tanah air sejak kongres pemilihan hujung bulan lalu berkata, berdasarkan pengalaman dan kepakaran pengurusan dimiliki Annuar, beliau sepatutnya diberikan portfolio lebih mencabar.


“Sebaik membaca berita pelantikan pengerusi jawatankuasa tetap FAM hari ini (semalam) saya dan rakan lain ketawa apabila Annuar diberi tugas mengendalikan bola sepak wanita. “Jawatankuasa itu sepatutnya boleh fikir siapa Annuar, kita mahu memajukan bola sepak kenapa perkara sebegini masih lagi berlaku. Sama macam kita mahu memilih pemain kesebelasan utama dalam pasukan, kalau salah letak posisi pemain pasti pasukan itu hancur.


“Pada mulanya saya meletakkan harapan besar kepada pimpinan baru FAM dengan kehadiran semula Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Datuk Hamidin Mohd Amin tapi bila Annuar diberikan tugas jaga bola sepak wanita terus saya anggap barisan jawatankuasa itu cacat,” katanya.


Annuar, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KFA) diletakkan harapan tinggi untuk bersama-sama mencorak hala tuju bola sepak tanah air apabila memenangi kerusi Timbalan Presiden bersama Tengku Abdullah bagi penggal 2010-2014.


Dengan pengalamannya mengendalikan pasukan peringkat negeri, ramai pihak sebelum ini yakin bekas Menteri Belia dan Sukan itu boleh memainkan watak penting dalam FAM namun segalanya tampak sukar buatnya apabila hanya diberi tugas Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita dan satu jawatan bertaraf ‘ad-hoc’, jawatankuasa MSL.


Mungkin FAM yakin kebijaksanaan Annuar boleh menghidupkan semula pasukan bola sepak wanita yang dibubar selepas persembahan buruk di Sukan Sea Laos tahun lalu serta kebolehannya mampu memikat penaja menjenguk liga tempatan.


“Annuar memang tidak mempunyai pengalaman sebagai pemain bola sepak tapi beliau memahami masalah di peringkat bawah, baik pemain mahupun persatuan. “Kita boleh lihat idea baru yang beliau terapkan dalam pasukan Kelantan. Kalau setakat jaga bola sepak wanita apa yang beliau mahu buat. Kalau tanya saya secara peribadi memang saya tidak puas hati dan FAM sepatutnya mengambil tindakan semula,” kata Khalid lagi.