Friday, September 3, 2010

Pemain Kelantan dapat 'duit raya'


SKUAD bola sepak Kelantan boleh ‘berpesta’ seketika menjelang sambutan Hari Raya Aidilftri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Ini kerana, skuad The Red Warriors itu mendapat ‘duit raya’ hasil kejayaan mereka muncul naib juara Liga Super.

Bonus tersebut disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Kafe The Red Warriors Station @ KTC, Kota Bharu kelmarin.

Menurut Annuar, bonus yang diberikan itu sebagai tanda penghargaan pihak pengurusan KAFA kepada skuad Kelantan yang telah memberikan aksi terbaik sehingga muncul naib juara Liga Super musim ini.

Jelasnya, bonus itu diberikan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan para pemain dapat menggunakan wang tersebut sebagai persiapan Aidilfitri nanti.

“Sebanyak RM100,000 diperuntukkan kepada pemain, namun ia tidak terma- suk elaun untuk pemain pasukan pelapis yang turut berlatih bersama-sama pasukan utama.

“Walaupun mereka tidak mewakili pasukan tetapi kita mahu memberi galakan supaya pasukan mempunyai pemain pelapis yang cukup dan kita fikirkan ia sebagai suatu tanggungjawab persatuan,” katanya.

Annuar menambah, pembahagian bonus itu diserah sepenuhnya kepada pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim untuk menentukan cara pengagihannya kepada para pemain.

“Saya difahamkan pengurus pasukan telah berbincang dengan kapten pasukan dan mereka telah bersetuju pengagihan bonus ini berdasarkan jumlah kekerapan membarisi kesebelasan utama pasukan.

“Supaya tidak berlaku jurang yang jauh, kita perkenalkan had minimum dan maksimum. Jumlah maksimum yang diterima adalah RM4,000,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kelantan akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain sayap lincah Perlis, K. Soley pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Annuar menjelaskan, Kelantan sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat Soley.

“Sejak musim lepas lagi KAFA telah berunding untuk mendapatkan khidmatnya tetapi disebabkan kontraknya bersama Perlis masih ada, jadi kami terpaksa akur dan menghormati kontrak tersebut,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan berusia 27 tahun itu, telah bersetuju menyarung jersi Kelantan selama dua musim.

No comments:

Post a Comment