Saturday, December 5, 2009

Wajah KL Plus FC serba baru

BARISAN skuad KL Plus bergambar bersama pada majlis memperkenalkan pemain baru di Persada PLUS, Subang petang semalam.


KL PLUS FC serba baru menghadapi musim baru Liga Malaysia 2010.

Semalam, skuad 'lebuh raya' itu telah mengumumkan senarai 22 pemain untuk mengharungi musim baru dengan 11 daripadanya adalah pemain baru.

Mereka terdiri daripada tiga pemain Perlis, Nizaruddin Yusof, Azi Shahril Azmi dan Es Lizuan Zahid Amir; empat pemain UBP-MyTeam, Faizal Rashid, Azrul Azmi, Fazrul Hazli Kadri dan Nazrin Nawi.

Pemain lain termasuk Sanjos Sundawat (Selangor), Badrul Hisani Abd. Rahman (Pahang), Hafidz Romli (KM Naza) serta bekas pemain remaja kebangsaan, Ibnu Kassim.

Pemain-pemain baru itu bakal bergabung dengan 11 pemain utama musim lalu iaitu kapten Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadzli Idrus, Fadzli Shaari, Mohd. Lot Abu Hassan, Reshafiq Alwi, Razi Effendy Suhit, Rames Lai Ban Huat, Ab. Aziz Ismail, Zaidi Ahmad, S. Sumindran dan Rusydee Samsuddin.

Ini bermakna KL Plus mengetepikan 13 pemain lama termasuk Tengku Hasbullah Raja Hassan, Safiq Rahim, Amir Shahreen Mubin, Hairul Nizam Hanif, Amini Ahmad Tabrani, Wan Hoesne Wan Hassan dan Bobby Gonzalez.

Pengarah Urusan PLUS Express- ways, Noorizah Abd. Hamid berkata, sasaran KL Plus FC untuk musim baru bermula 9 Januari depan ialah memenangi sekurang-kurangnya satu piala.

"Tak kisahlah sama ada Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia, kami mahu menang salah satu. Dengan mengekalkan pemain utama dan ditambah pemain baru, saya yakin sasaran ini mampu dicapai," katanya pada majlis pelancaran di Persada PLUS, Subang petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi PLUS Expressways, Tan Sri Mohd. Sheriff Kassim, Presiden KL Plus FC, Zaka- ria Ahmad Zabidi dan pengurus pasukan, Husni Md. Yusuf.

Sementara itu, jurulatih KL Plus FC, Mohd. Zan Mat Aris berkata, sasaran satu piala yang ditetapkan pihak pengurusan tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan barisan pemain yang dimilikinya.

"Awal musim lalu, kami lemah di bahagian serangan dan bangkit dari- pada kedudukan kedua tercorot, akhirnya menamatkan Liga Super di tangga ketujuh. Kami juga melangkah ke suku akhir Piala Malaysia," katanya.

Memandangkan skuad Kuala Lumpur turut akan beraksi pada Liga Super 2010, KL Plus FC bakal menggunakan Stadium MBPJ, Kelana Jaya sebagai gelanggang sendiri mereka.

KL Plus FC turut akan menyertai kejohanan empat penjuru di Kuala Terengganu pada 18 hingga 21 Disember ini bagi memantapkan persefahaman antara pemain baru dan lama.

Lima pemain baru sertai Perak

IPOH - Perak mendapat khidmat lima pemain baru untuk musim bola sepak bermula Januari 2010 nanti.

Mereka terdiri K. Nantha Kumar, bekas pemain Perak yang berhijrah ke Selangor musim lalu; bekas penjaga gol Perlis, Khairul Izwan Mohamed Jamaluddin; bekas pemain T-Team, Shafuan Adli Shaari; bekas pemain Pahang, Wan Azwari Wan Noh dan bekas penyerang Melaka, Mohd. Fauzzi Mohd Kassim.

Mereka menandatangani kontrak dengan Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) semalam.

Presiden Pafa, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, lima pemain itu melengkapkan senarai 21 pemain yang akan didaftarkan bagi mewakili pasukan negeri dalam Liga Super musim baru nanti.

"Kami menyasarkan kedudukan empat terbaik bagi pasukan ini musim depan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak itu di Bangunan Pafa di sini.

Bagi memperkemaskan pengurusan pasukan Perak musim depan, Nor Azli Musa telah diberi tanggungjawab sebagai pengurus pasukan dan manakala Raja Azlan Shah Raja Soib dilantik sebagai jurulatih pasukan dengan dibantu Abu Bakar Fadzim.

Penjaga gol musim lalu, Megat Amir Faisal Abdul Rahim telah dilantik sebagai jurulatih penjaga gol dan akan bermain sebagai penjaga gol kedua musim ini.

Pemain lain ialah Khairul Amri Salehuddin, Mohd. Arif Fazlie, Isma Alif Mohd. Salim, Muhammad Khalis Ibrahim, Mohd. Hafiszuan Salehuddin, Mohd. Syazwan Roslan, Benedict Martin, Mohd. Nazri Mohd Kamal, Mohd. Hafiz Abdul Rahman, Razali Umar Kandasamy, Shahrizal Mohd. Saad, Kamarul Effendy Abdul Rahman, Mohd. Fauzi Ariffin, Mohd. Arif Ismail dan Saufi Saadi

Chelsea tersilap buat percaturan


REAKSI barisan pemain Chelsea ketika penentuan sepakan penalti menentang Blackburn Rovers di Ewood Park semalam. Blackburn menang 4-3.

BLACKBURN - Paul Robinson muncul wira Blackburn Rovers apabila menjadi penghalang kepada Chelsea untuk mara ke separuh akhir Piala Liga.

Robinson berjaya menyelamatkan sepakan penalti Gael Kakuta, sekali gus memberi kemenangan 4-3 Blackburn ke atas Chelsea pada aksi suku akhir Piala Liga awal pagi semalam.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi yang berlangsung di Ewood Park.

Nikola Kalinic, Brett Emerton dan Benni McCarthy masing-masing meledak satu gol buat Blackburn.

Skuad The Blues pula memperoleh gol menerusi jaringan Didier Drogba, Salomon Kalou dan Paulo Ferreira.

Pada aksi di gelanggang lawan itu, pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti melakukan lapan perubahan dalam barisan pemainnya yang menewaskan Arsenal 3-0, Ahad lalu dan jelas sekali ia memakan diri.

Ancelotti mengarahkan Kakuta, 18, mengambil sepakan penalti kelima Chelsea, namun sepakannya itu terus ke dakapan Robinson.

"Saya ambil risiko dengan menurunkan semua pemain muda pada babak pertama kerana saya ingat ia memberi kebaikan kepada kami.

"Kakuta dan Jeffrey Bruma bermain dengan baik dan mereka ada masa depan yang cerah dalam pasukan kerana mereka memiliki kualiti yang bagus.

"Ia satu perlawanan yang berguna bagi pemain muda ini dan saya gembira dengan kemampuan mereka," kata Ancelotti.

Nani tinggalkan Old Trafford


LONDON – Pemain sayap Portugal, Nani hampir pasti meninggalkan Old Trafford selepas dia dipinggirkan daripada skuad utama Manchester United musim ini.

Nani tidak beraksi sejak media melaporkan tentang kenyataannya terhadap cara layanan pengurus Alex Ferguson ke atas barisan pemain United pada bulan lepas.

Nani, 23, berpindah ke United dari Sporting Lisbon dengan harga £17 juta (RM96 juta) pada Jun 2007 dan telah meledakkan 12 gol dalam 85 perlawanan.

Dia dianggap sebagai pengganti kepada Cristiano Ronaldo, namun setelah memulakan kariernya dengan cemerlang, prestasi Nani dilihat mula merosot sejak musim lalu

City tak gentar

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Mark Hughes menegaskan tiada apa yang perlu ditakuti pasukannya menjelang perlawanan separuh akhir Piala Liga Inggeris menentang Manchester United.

City menempah tiket untuk peringkat separuh akhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Arsenal dalam perlawanan suku akhir di Eastland, awal pagi semalam.

Sudah lebih tiga dekad City tidak memenangi sebarang trofi utama, kali terakhir Piala Liga 1976.

Hughes berkeyakinan tinggi mengenai peluang pasukannya untuk memenangi perlawanan biarpun berdepan juara bertahan yang menewaskan mereka 4-3 dalam Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, September lalu

“Ia satu pertembungan yang hebat dan semua orang di Manchester dan mungkin seluruh dunia akan teruja dengannya,” kata Hughes yang juga bekas penyerang United. “Fokus utama kami adalah terhadap perkara itu.

“Dalam dua perlawanan terakhir, kami berjaya menemui rentak permainan ketika menentang mana-mana pasukan.

“Apabila perlawanan itu berlangsung kami akan menikmatinya dan cuba untuk ke perlawanan akhir di Wembley yang mana pasukan ini sudah lama tidak merasainya.

“Kami berharap dapat merasai pengalaman itu. Kami mahu beraksi dengan baik, prestasi kami semakin meningkat. Kami datang sejauh ini dan kami mahu cuba menjuarai pertandingan ini,” katanya.

City berjaya menumbangkan pasukan muda Gunners hasil gol separuh masa kedua daripada Carlos Tevez, Shaun Wright-Phillips dan Vladimir Weiss.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger terpaksa berdepan tuduhan kurang semangat kesukanan apabila enggan bersalam dengan Hughes selepas tamat perlawanan.

“Itu adalah pilihan dan hak peribadinya,” kata Hughes. “Pada satu ketika, dia bertanya mengapa saya berada di tempatnya di kawasan teknikal dan mungkin dia agak tersinggung disebabkan perkara itu.”

“Tetapi saya fikir dia lebih kecewa apabila pasukannya dibelasah.

“Saya pernah ke Emirates (gelanggang Arsenal) dan dibelasah 6-2 tetapi saya masih menghulurkan tangan dan itulah yang anda mampu lakukan sekurang-kurangnya.

“Terdapat protokol tertentu dan mungkin perkara itu tidak dibuat Wenger. Saya agak kecewa kerana saya cukup menghormatinya dan mungkin dia perlu bersikap lebih mesra,” katanya.

Wenger enggan menjelaskan mengapa dia tidak mahu bersalam dengan Hughes.

“Ia tiada kaitannya dengan perlawanan ini dan saya sedia berjabat tangan dengan siapa yang saya mahu selepas perlawanan,” katanya.

“Jika ia tindakan adab profesionalisme, jadi saya tidak beradab sopan,” gurau jurulatih kelahiran Perancis itu.

Dalam perlawanan lain, Gael Kakuta gagal menyempurnakan penentuan penalti penting buat Chelsea selepas Paulo Ferreira menyamakan kedudukan 3-3 buat skuad Blues pada minit terakhir masa tambahan.

Kakuta, 18, perlu menjaringkan gol untuk menyelamatkan Chelsea menerusi sepakan itu tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Paul Robinson.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam tempoh 90 minit hasil jaringan Didier Drogba dan Salomon Kalou untuk Chelsea manakala gol Blackburn disumbang Nikola Kalinic dan Brett Emerton.

Jaringan penyerang Afrika Selatan, Benni McCarthy pada masa kecederaan dibatalkan kerana ofsaid sebelum menyempurnakan penalti minit ke-93 yang meletakkan Blackburn di depan tapi Ferreira menyamakan kedudukan

Friday, December 4, 2009

Red Warrior kena kerja amal


KOTA BHARU - Skuad Kijang yang telah dimantapkan bagi saingan musim depan akan didekatkan dengan rakyat negeri ini melalui pelbagai kerja amal yang telah dirangka sepanjang 2010.

Langkah itu bagi menyemai rasa kecintaan masyarakat terhadap pasukan dan pada masa yang sama merangsang sikap penuh bertanggungjawab di kalangan pemain untuk memenuhi harapan anak negeri.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, bagi membuka lembaran baru bola sepak Kelantan, KAFA akan turut berusaha mengetengahkan dan membimbing bakat baru.

Ini termasuklah asuhan di peringkat kanak-kanak melalui program klinik bola sepak kerana sukan ini boleh turut menjadi kerjaya yang menjamin masa depan.

Bercakap kepada pemberita di sini baru-baru ini, beliau berkata, pihaknya menggalakkan pemain untuk secara berterusan melakukan kerja-kerja amal kerana tidak mahu mereka terpisah daripada masyarakat.

''Merekalah menjadi pendokong utama ke arah kejayaan pasukan dan mereka menaruh harapan yang tinggi.

"Sudah banyak yang kita lakukan sebelum ini seperti program membersih pantai, bumi hijau dan mengumpul dana untuk kebajikan melalui tabung 'We Care'.

"Kita meneruskan program bersifat kebajikan ini kerana selain dari bermain bola atas padang kita mahu pemain menjadi sebahagian dari masyarakat," katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidiladha Bersama Warga Tani KADA di Dataran Warisan, Kok Lanas dekat sini.

Pada majlis itu pasukan bola sepak Kelantan diketuai Indra Putra Mahyuddin mengagihkan daging korban kepada 200 penduduk sekitar yang kurang berkemampuan.

Tiga peminat bertuah pula menerima pas masuk percuma ke perlawanan sepanjang musim hadapan iaitu Ruddyfaizal Ismail, Mohd. Ruzlan Che Harun dan Mohamad Abi Zuhaily.

Menurut Annuar, pemain-pemainnya selepas ini akan berkunjung ke Padang, Indonesia bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa gempa bumi di sana pula.

"Tahun hadapan dengan tujuh program amal yang sudah kita aturkan, dijangka setiap bulan pemain-pemain akan terlibat dengan kerja amal," ujarnya.

Thursday, December 3, 2009

Sedikit fakta mengenai pasukan yang bakal mengadakan perlawanan dengan Kelantan

Bermula lapan Disember ini, pihak pengurusan serta pemain Kelantan akan bertolak ke Bangkok, Thailand menentang dua pasukan, Chonburi FC dan Bec Tero Sasana FC dimana salah satunya telah menjuarai saingan Liga Super negara tersebut tahun ini.

Chonburi FC
Thai Premier League:
- Juara : 2007
- Naib Juara: 2008, 2009

Provincial League:
- Juara : 2005
- Naib Juara : 2002

Kor Royal Cup:
- Juara : 2008, 2009

BEC Tero Sasana FC

Thai Premier League:
- Juara : 2000, 2001
- 2009 : Ke-4

Thailand FA Cup:
- Juara : 2000
- Naib Juara : 2009

Kor Royal Cup:
- Juara : 2001
- Naib Juara : 2002, 2004

Queen's Cup:
- Naib Juara : 2009

AFC Champions League:
- Naib Juara : 2002

ASEAN Club Championship:
- Naib Juara : 2003

Worrawoot Srimaka,bekas player klate juga merupakan salah sore jurulatih di kelab BEC Tero Sasana FC loni. (Sumber dari reds fc)

Kuala Lumpur 'dinaik pangkat' ke Liga Super

KUALA LUMPUR - Tiada lagi pasukan yang tergantung penyertaannya ke Liga Malaysia musim 2010 gara-gara tunggakan gaji pemain manakala sebuah pasukan Liga Perdana, Kuala Lumpur mendapat 'kenaikan pangkat' apabila ditawarkan bermain dalam Liga Super.

Enam pasukan yang diberikan tarikh akhir untuk menjelaskannya Isnin lalu - Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Melaka dan Shahzan Muda boleh menarik nafas lega untuk menyertai Liga M selepas dinilai Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Che Mat Jusoh mengesahkan mereka telah menunaikan syarat asas lain penyertaan Liga M yang termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), potongan cukai pendapatan dan jaminan sumber kewangan.

"Bagi menggenapkan 14 pasukan dalam Liga Super 2010 selepas penarikan diri KM Naza dan UPB-MyTeam, kami menawarkan satu tempat kepada Kuala Lumpur berdasarkan pencapaian tempat keempat mereka dalam Liga Perdana musim 2009," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Jelasnya, skuad bimbingan Razip Ismail itu yang turut ditawarkan ke Liga Super atas faktor kecekapan pengurusan kewangannya, bagaimanapun perlu memenuhi syarat tambahan dan diberikan peluang menjawabnya sehingga mesyuarat Majlis, Isnin ini.

Bagi menjadikan 12 pasukan yang bermain dalam Liga Perdana 2010 pula menurut Che Mat, Staf Universiti Sains Malaysia (USM) dari Pulau Pinang ditawarkan kenaikan daripada Liga FAM sebagai menggantikan Proton yang turut menarik diri.

"Sebuah pasukan dari Perlis, Kelab Sukan Komuniti Tambun Tulang yang sepatutnya layak bermain pada Liga Perdana 2010, pula memilih untuk kekal dalam Liga FAM," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa hampir tiga jam itu.

Katanya, kedua-dua skuad belia negara, Harimau Muda A dan B akan setaraf semua pasukan lain dalam Liga Super dan Liga Perdana sekali gus melayakkan mereka mengaut hadiah wang tunai yang ditawarkan jika bergelar juara selain menyertai Piala Malaysia yang berdasarkan merit bagi musim depan.

"Piala Malaysia musim 2010 hanya akan disertai 12 pasukan terbaik Liga Super dan empat pasukan teratas Liga Perdana pada musim yang sama. Ia bukan lagi mengambil kesemua negeri, Angkatan Tentera dan Polis secara automatik dan pertandingannya bermula dari 14 September hingga 20 November tahun depan," katanya.

Jelasnya, Liga Super akan membuka tirainya pada 9 Januari 2010 dengan didahului perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah yang menemukan juara Piala Malaysia 2009, Negeri Sembilan dengan juara Piala FA 2009, Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

"Liga Super akan berakhir pada 24 Julai sementara Liga Perdana ditetapkan dari 11 Januari hingga 23 Julai; Piala FA dari 2 Februari hingga 10 April dan Liga FAM bermula 7 Mac. Liga juga akan dihentikan seketika sepanjang Piala Dunia di Afrika Selatan (11 Jun hingga 11 Julai) dan Sukan Malaysia Ke-13 di Melaka.

"Liga turut akan berehat sepanjang bulan Ramadan tahun depan selain FAM akan menganjurkan sebuah kejohanan antarabangsa, Pestabola Merdeka dari 2 hingga 16 Oktober," kata Che Mat yang juga Naib Presiden FAM.

Malaysia berpesta gol di Laos

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Malaysia berpesta gol dengan membelasah Timor Leste 11-0 dalam perlawanan bola sepak kumpulan A bagi memulakan kempen Sukan SEA Laos mereka dengan bergaya di Stadium Nasional di Vientiane, hari ini.

Menurut laman web rasmi temasya itu, www.laoseagames.2009, penyerang, Ahmad Fakri Saarani mencipta jaringan hatrik manakala seorang lagi penyerang, Norshahrul Idlan Talaha menyumbangkan dua gol.

Zaquan Adha Abdul Razak, Baddrol Baktiar, Amirulhadi Zainal, Amar Rohidan, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abdul Razak masing-masing menyumbangkan satu gol bagi membolehkan Malaysia mencatatkan kejayaan paling besar dalam sejarah Sukan berkenaan.

Wednesday, December 2, 2009

Friendly

Pasukan Kelantan akan mengadakan perlawanan persahabatan dgn pasukan :

1. PKNS(24/12/09)
2. Selangor (26/12/09)

Tempat : Di sekitar lembah klang..harap maklum..sebarang perubahan, akan dimaklumkan..