Friday, August 12, 2011

Ukraine hampakan hajat Malaysia


Peluang Malaysia untuk melangkah ke peringkat suku akhir kabur setelah tumpas 1-2 kepada Ukraine pada perlawanan pembukaan Kumpulan B acara bola sepak Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) di Stadium Shenzhen, semalam.

Pada babak pertama kedua-dua pasukan bermain secara seimbang namun beberapa asakan yang dilakukan oleh Malaysia gagal menembusi kekebalan jentera pertahanan Ukraine yang merupakan juara Universiade edisi 2007 di Bangkok, Thailand.

Permainan pada babak kedua semakin rancak apabila kedua-dua pasukan ghairah memburu gol pertama dan kelebihan memihak kepada Malaysia apabila ketua pasukan, K. Reuben Thayaparan menjaringkan gol pertama pada minit ke-46.

Tertekan dengan kedudukan 0-1, pasukan Ukraine memperhebatkan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Usaha mereka berhasil apabila Dmytro Gunchenko melakukannya pada minit ke-53.

Seminit sebelum perlawanan tamat, Mykhaylo Kozak menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 untuk membantu Ukraine memperoleh mata penuh.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Aminuddin Hussin berkata, walaupun mengalami kekalahan, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan kesemua anak buahnya.

"Pemain telah menunjukkan aksi cemerlang apabila berjaya mengatasi Ukraine 1-0 pada babak awal babak kedua perlawanan namun disebabkan oleh beberapa kesilapan yang dilakukan secara individu kita gagal menyekat kemaraan Ukraine," katanya.

Aminuddin berkata, pelung untuk pasukan Malaysia masih belum tertutup dan berharap mereka mampu buktikan sesuatu pada perlawanan berikutnya.

Selepas ini, Malaysia dijadualkan bertemu Brazil pada Sabtu dan Rusia pada 16 Ogos.

Juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.

Terengganu pinjam pemain Harimau Muda

Pemain pertahanan Harimau Muda, Faizal Mohamad dipinjam kepada Terengganu bagi menghadapi Piala Malaysia.

Penolong Pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, Faizal yang berasal dari Marang merupakan pemain tunggal yang dipinjam Terengganu.

"Untuk pertandingan Piala Malaysia, kita cuma pinjam seorang pemain pasukan Harimau Muda bagi memastikan kecemerlangan kita dalam kejohanan itu," katanya semalam.

Beliau percaya barisan pertahanan Terengganu akan bertambah kental dengan kehadiran pemain tersebut.

"Faizal mula berlatih sejak semalam bersama-sama pemain yang lain," katanya yang juga Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Sheikh Tajudin juga berkata, walaupun pemain pertahanan Mohd. Zubir Azmi tidak dapat bersama Terengganu dalam empat perlawanan awal, ia tidak membimbangkan kerana ada pengganti kepada pemain itu.

Mohd. Zubir menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan.

Terengganu, Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby diletakkan dalam Kumpulan B undian Piala Malaysia.

Thursday, August 11, 2011

Chelsea sedia korban Benayoun

Chelsea masih tidak mahu menyerah kalah bagi mendapatkan khidmat perancang Tottenham Hotspur (Spurs), Luka Modric.

Bagi merealisasikan impian mereka itu, Chelsea bersedia mele- paskan pemain tengahnya, Yossi Benayoun sebagai pertukaran.

Berita itu pasti dianggap satu perkhabaran gembira buat pengurus Spurs, Harry Redknapp.

Ini kerana Redknapp telah lama teruja dengan kelibat pemain tengah Isreal itu dan menunjukkan minatnya untuk melamar Benayoun apabila dia meninggalkan Liverpool tahun lalu.

Benayoun yang berhijrah ke Stamford Bridge dilihat masih gagal memberikan impak disebabkan masalah kecederaan di baha- gian tumit kaki.

Pada Siri Jelajah Chelsea di Asia bulan lalu, dia telah menunjukkan prestasi cemerlang, namun pengurus baharu The Blues, Andre Villas-Boas sanggup mengorbankan bekas pemain West Ham United itu untuk mendapatkan Modric.

Sejak tiba dari FC Porto pada Jun lalu, Villas-Boas sering kali bercakap mengenai keupayaan pemain yang mampu mengikut corak permainan yang diterapkannya.

Sekalipun Benayoun dilihat berada dalam kelompok pemain yang dimaksudkan, Villas-Boas tidak ada pilihan lain kecuali membuat pertukaran pemain dengan Spurs jika dia tetap mahu mengikat Modric.

Justeru, Benayoun dianggap sebagai calon terbaik buat Villas- Boas untuk membuat pertukaran pemain.

Terdahulu, Spurs telah menolak tawaran Chelsea sebanyak dua kali.

Kali pertama, mereka menolak bidaan berjumlah £22 juta (RM109 juta) dan keduanya, sebanyak £27 juta (RM134 juta).

Spurs tetap yakin mereka mampu menghalang Chelsea daripada mengikat Modric untuk tempoh sekurang-kurangnya satu musim.

Namun dengan tawaran terbaharu Chelsea dan Modric juga nekad untuk meninggalkan White Hart Lane, Spurs dijangka mele- paskan pemain antarabangsa Croatia itu.

Surendran lengkap pemain pinjaman skuad Kelantan


Teka-teki siapa yang akan menjadi pemain pinjaman terakhir skuad bimbingan Datuk M. Karathu akhirnya terjawab apabila penyerang Pahang, R. Surendran menyatakan persetujuan untuk menyarung jersi Kelantan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini.

Kehadiran pemain tersebut dilihat memberikan lebih banyak pilihan kepada Karathu untuk merencana jentera serangan The Red Warriors untuk kempen kali ini.

Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim yang mengesahkan perkara itu berkata, pemain tersebut akan mula melaporkan diri pada hari ini dan seterusnya menjalani latihan bersama pasukan pada sebelah malam.

"Segala urusan dokumentasi pendaftaran pemain ini akan dilakukan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hari ini (semalam) kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). InsyaAllah kita berharap semuanya berjalan lancar dan tidak menghadapi masalah untuk mendaftarkan Surendran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Azman memberitahu, kehadiran dua pemain tersebut dianggap sudah memadai buat Kelantan dalam memperkuatkan jentera serangan.

"Kita rasa dua pemain ini sudah cukup, lagipun Kelantan mempunyai ramai penyerang tempatan. Jadi saya harap kehadiran dua tunggak ini mampu membantu pemain tempat untuk mempelajari sesuatu daripada mereka.

"Secara tidak langsung akan membantu meningkatkan mutu permainan mereka di masa akan datang," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman memberitahu, selain dua perlawanan tempatan, Kelantan juga dijadual mengadakan perlawanan persahabatan menentang sebuah kelab di Songkla, Thailand pada 26 Ogos iaitu selepas pertemuan dengan T-Team (24 Ogos) dan Kuala Lumpur (14 Ogos).

Penentuan Sneijder ke United 24 jam lagi

Perpindahan Wesley Sneijder ke Manchester United semakin menjadi kenyataan apabila bintang Inter Milan itu dijangka menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dalam tempoh 24 jam lagi.

Perancang utama Belanda itu berharap dapat mengadakan rundingan rasmi dengan kelab Liga Perdana itu di London, hari ini, selepas aksi persahabatan pasukan kebangsaannya dengan England di Wembley yang dibatalkan kerana rusuhan.

Berikutan itu, Sneijder mengambil kesempatan mempercepatkan proses rundingan dengan meminta kebenaran daripada majikan sekarang, Inter, untuk dia berbuat demikian.

Sneijder sebelum ini memberi bayangan bahawa rundingan tidak rasmi telah pun dimulakan mengenai perpindahan tersebut, dengan kedua-dua kelab terbabit dikatakan bersetuju pada 32 juta pound (RM157 juta).

Wakil kepada bekas bintang Real Madrid itu berada di Milan semalam untuk mengiringinya ke London dengan harapan dapat memeterai kontrak bernilai 200,000 pound seminggu.

Sneijder meraih gaji lumayan bebas cukai di Itali yang bersamaan dengan 250,000 pound seminggu di England.

Justeru, terpulang kepada kesanggupan United untuk memecahkan struktur gaji sedia ada kelab itu atau tolak ansur pemain terbabit.

Bayaran gaji tertinggi dalam struktur United adalah sekitar 180,000 pound seminggu.

Bagaimanapun, kelab Old Trafford itu mempunyai tarikan tersendiri untuk menambah baik tawaran mereka iaitu populariti di seluruh dunia yang pastinya dapat meningkatkan pakej berkaitan hak imej.

Sneijder juga memiliki perjanjian tajaan peribadi bersama Nike, yang juga penaja utama pakaian United dan timbul dakwaan bahawa syarikat gergasi barangan sukan Amerika Syarikat itu sanggup terlibat sama bagi memastikan ketibaan pemain tajaan terkemuka mereka di kelab terbesar tajaannya.

Wednesday, August 10, 2011

Korban Piala Malaysia


DEMI tugas antarabangsa, tujuh pemain skuad Olimpik terpaksa melupakan hasrat beraksi bersama pasukan negeri masing-masing pada aksi awal Piala Malaysia bermula 6 September depan.

Ini kerana, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Izuan Solahuddin (Kelantan), Zubir Azmi (Terengganu), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Faizal Abu Bakar (Kedah), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur) dan Azrif Nasrulhaq Badrul (PKNS) terikat dengan kem latihan pusat.

Ia sebagai persiapan menghadapi perlawanan sulung Kumpulan C, pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia menentang Jepun di Tosu, Fukuoka pada 21 September depan.

“Selepas pulang dari latihan selama sebulan di Slovakia pada 28 Ogos depan, para pemain hanya diberi cuti beberapa hari untuk menyambut hari raya sebelum kembali menyambung latihan,” kata pengurus skuad Olimpik kebangsaan, Datuk Afandi Hamzah kepada Kosmo! semalam.

Kelantan terus buru pemain pinjaman

Selepas mendapatkan Azammuddin Mohd. Akil, Kelantan kini menginginkan seorang lagi pemain pinjaman untuk berdepan cabaran mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, Kelantan memerlukan seorang lagi pemain yang boleh beraksi di posisi penyerang tengah untuk memperkuatkan lagi jentera tengah pasukan.

Apa pun, katanya, keputusan muktamad sama ada berjaya mendapatkan pemain itu hanya dapat diumumkan pada hari terakhir pendaftaran pemain (hari ini).

“Buat masa ini saya tidak mahu mendedahkan identiti pemain tersebut daripada pasukan mana. Kemungkinan Solehin Kannasian Abdullah tidak boleh beraksi dalam kempen Piala Malaysia kali ini atas faktor kesihatan.

“Untuk itu kita melihat keperluan mengambil pemain di posisi tersebut. Bagi saya pemain pertahanan kita sudah cukup bagus. Tinggal lagi di bahagian tengah dan serangan yang harus kita perkemaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Makan Colek dan Penyampaian Bonus Kejayaan Menjuarai Piala Presiden 2011 kepada skuad Piala Presiden Kelantan di FZ Jati Conner dekat sini, semalam.

Mengulas mengenai keputusan mendapatkan khidmat penggempur berbisa pasukan Tok Gajah iaitu Azammuddin, Annuar memberitahu, keputusan tersebut tepat untuk menambahkan lagi sengat di barisan serangan Kelantan.

“Berdasarkan pemerhatian, kita lihat dia mempunyai ‘track record’ bagus dengan kemampuan mengawal bola beserta larian yang baik. Jadi kita akan menggandingkan dia dengan Norshahrul Idlan Talaha di bahagian jentera serangan Kelantan.

“Kita berharap kehadiran dia dapat memantapkan serangan pasukan kita. Selain itu kita ada Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) yang juga boleh diharapkan. Prestasi dia agak baik, namun dia perlu diberi pendedahan dalam banyak perlawanan memandangkan usia dia masih muda,” tegasnya.

Mengulas tahap kecederaan yang dialami Norshahrul Idlan, Annuar menjelaskan, kecederaan yang dialami pemain tersebut tidak begitu membimbangkan dan boleh turun menjalani latihan pada bila-bila masa.

Sementara itu, pasukan The Red Warriors akan menjalani latihan di ibu negara selama seminggu bermula minggu depan dan mengadakan tiga siri perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur pada 14 Ogos, Selangor (17 Ogos) serta sebuah pasukan lagi yang akan ditentukan kemudian.

Monday, August 8, 2011

Rajagobal pantau Piala Malaysia

JURULATIH kebangsaan, Datuk K. Rajagobal akan menjadikan kempen Piala Malaysia bermula 6 September hingga 29 Oktober depan untuk memantau kelibat para pemain baharu yang berpotensi untuk dipanggil memperkuat skuad Harimau Malaya.

Terdahulu, skuad bimbingan Rajagobal tewas 0-1 kepada skuad Liga Super Selangor pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam kelmarin menerusi jaringan tunggal Rudie Ramli pada minit ke-64.

“Saya akan lihat prestasi para pemain sepanjang Piala Malaysia nanti. Saya akan panggil pemain yang menyinar untuk memperkuatkan lagi pasukan ini menjelang persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2012 dan Kelayakan Piala Asia 2015.

“Saya rasa ia mungkin perlu selepas melihat prestasi pasukan pada perlawanan ini yang nampak sedikit berbeza selepas ketiadaan tujuh pemain yang menyertai latihan skuad Olimpik,” kata Rajagobal selepas perlawanan malam kelmarin.

Tujuh pemain kebangsaan iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, K. Gurusamy, Ahmad Fakri Saarani dan Izzaq Faris Ramlan telah berlepas ke Slovakia, Rabu lalu.

Berikutan itu, Rajagobal menguji beberapa pemain dalam kesebelasan utama malam kelmarin seperti Farizal Marlias, Helmi Remeli, Rizal Fahmi Rosid, Norhafiz Zamani Misbah, Shakir Shaari dan Baddrol Bakhtiar.

Turut diuji pada separuh masa kedua ialah Shahrom Kalam, Faizal Muhamad, Joseph Kalang Tie, Farisham Ismail, Khyril Muhymeen Zambri dan penjaga gol, Norazlan Razali.

“Kita sudah dapat lihat tahap permainan Norhafiz Zamani yang saya rasa dia perlu diberi peluang lagi untuk mempertingkatkannya. Begitu juga dengan Khyril Muhymeen yang sudah lama tidak bersama kita.

“Nasriq Baharom yang beraksi untuk Selangor juga telah mempamerkan persembahan baik dan dia juga saya ketepikannya sebelum ini akibat masalah kecederaan. Kita tengoklah nanti bagaimana perkembangannya,” jelas Rajagobal.

Sebelum menutup kem latihan selama 12 hari yang bermula Rabu lalu pada Ahad ini, Rajagobal sedang berusaha untuk mendapat satu lagi aksi persahabatan untuk menguji barisan pelatih skuad kebangsaan.

Red Warriors dapat duit raya


Skuad Red Warriors menerima 'duit raya' apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan pemberian bonus tambahan berjumlah RM222,000.

Tambahan bonus itu menyaksikan skuad itu bakal menerima habuan berjumlah RM502,000, di mana sebelum ini mereka menerima bonus berjumlah RM280,000 selepas menjuarai Liga Super 2011, buat kali pertama.

KAFA turut mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM2,500 membabitkan jumlah keseluruhan RM60,000 bagi skuad Piala Presiden di bawah bimbingan Zahasmi Ismail.

Pemberian bonus terbaru itu dilakukan oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang turut berbuka puasa bersama para pemain dan pegawai kedua-dua pasukan di kediamannya di Sri Puri, Bukit Marak dekat sini, kelmarin.

"Setakat ini kita telah membayar bonus kemenangan bagi tiap-tiap satu perlawanan berjumlah RM280,000. Memandangkan mereka berjaya mencipta kejuaraan buat kali pertama (Liga Super), kita putuskan untuk menambah sebanyak RM222,000 lagi menjadikan bonus keseluruhan sebanyak RM502,000 kepada semua pemain," katanya.

Annuar memberitahu, bonus tambahan itu diharap menyemarakkan lagi semangat pemain Red Warriors sebelum bermulanya saingan Piala Malaysia selepas Aidilfitri.

Mengenai imbuhan untuk skuad Piala Presiden pula, beliau berkata, ia merupakan insentif kepada pemain dan berharap pasukan itu mampu mengekalkan kecemerlangan.

"Mereka merupakan pemain-pemain pelapis yang akan menyarung jersi pasukan negeri pada masa akan datang.

"Seramai lima pemain daripada skuad ini akan diserapkan ke dalam pasukan utama bagi menghadapi saingan Piala Malaysia nanti. Kita harap dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengembangkan lagi bakat ke peringkat lebih tinggi," kata Annuar.

‘Apek kena utamakan bola sepak’

“Nasihat saya, berilah keutamaan kepada kerjaya sebagai pemain bola sepak.”

Itu nasihat Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa kepada penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat atau Apek yang dilaporkan putus tunang, baru-baru ini.

Annuar, yang mengaku mengikuti perkembangan penjaga gol kebangsaan dan Kelantan itu berkata, dia tidak mahu masalah peribadi menjejaskan masa depan pemain muda itu.

“Putus tunang merupakan masalah peribadi.

“Sebenarnya, sebelum bertunang dia pernah menghubungi saya dan saya memberi sedikit nasihat.

“Saya fikir perkara putus tunang tidak terlalu besar dan kalau ia sudah ditakdirkan begitu, dia harus reda dengan apa yang terjadi. Saya berharap dia dapat menangani masalah ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Kharul Fahmi, 22, dilaporkan memutuskan pertunangan dengan Aimie Harmelia Mohd. Hashumi, 23, dua hari selepas Kelayakan Piala Dunia menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Dalam pada itu, Annuar mengakui ada pihak yang cuba menggunakan populariti Apek dalam pelbagai bentuk publisiti, yang mungkin boleh memberi kesan tidak baik kepada pemain itu dalam mengatasi masalah peribadinya ketika ini.

“Perkara ini kalau tidak dikawal mungkin boleh memberi tekanan dan dia harus menangani sebaik mungkin. Kita tidak mahu masalah emosi yang berat menganggu tumpuannya.

“Apa yang berlaku, saya tidak boleh mencampuri secara langsung. Tinggal lagi dia merupakan anak didik KAFA dan kita akan jaga kepentingannya memandangkan dia merupakan pemain utama kita,” ujarnya.

Jelas Annuar, sekiranya Apek perlukan nasihat, pihaknya bersedia membantu.

“Kita akan beri bantuan kepadanya dalam bentuk nasihat dan bimbingan. Dia mempunyai masa depan yang cerah dan kita tidak mahu kariernya hancur di tengah jalan,” katanya.