Wednesday, July 20, 2011

Tiket dijual 26 Julai ini

PEMINAT yang ingin menyaksikan perlawanan pusingan kedua kelayakan bola sepak Piala Dunia 2014 di antara Malaysia dan Singapura pada 28 Julai ini boleh mendapatkan tiket di Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula 26 Julai ini.

Bagi penyokong Malaysia, tiket boleh dibeli di Pintu Kuning dan Merah dari jam 9 pagi hingga 7 malam pada 26 dan 27 Julai manakala 9 pagi hingga waktu rehat perlawanan pada 28 Julai.


Selain itu, penebusan tiket yang dibeli secara online juga boleh dibuat di Pintu Merah.

Penyokong Singapura pula boleh membeli dan membuat penebusan tiket yang dibeli secara online di Pintu Biru.


Tiket akan dijual secara online mulai hari ini dengan RM50 untuk tempat duduk utama, RM30 (tempat duduk terbuka) dan RM5 (kanak-kanak bawah umur 12 tahun).


Tiket secara online boleh dibeli melalui laman web www.tickethotline.com.my. Tiket juga dijual di Stadium MBPJ, Petaling Jaya dan Stadium Shah Alam (Pintu A) pada 26 dan 27 Julai dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

Singapura ampuh sebab 'import'


SINGAPURA hanya mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Taiwan pada aksi per- sahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.

Ia persiapan terakhir skuad kendalian Ra- dojko Avramovic itu menjelang aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Malaysia di gelanggang sama, Sabtu ini.

Apa yang jelas, Singapura masih bergan- tung harap kepada penyerang 'import' vete- ran berusia 41 tahun, Aleksandar Duric dari Bosnia sebagai peledak utama mereka.

Pada aksi persahabatan pertama menentang Maldives pada 7 Jun lalu, Singapura menang 4-0 menerusi satu jaringan Duric dan Shi Jiayi serta dua ledakan Qiu Li.

Kemudian pada 30 Jun lalu, Singapura menang tipis 2-1 ke atas kelab Perancis, Etoile FC 2-1 juga hasil jaringan Diruc dan Qiu Li.

Pada aksi menentang Taiwan malam kelmarin, Duric terus menjadi harapan apabila meledak dua gol buat Singapura, manakala satu lagi gol disumbang Fazrul Nawaz.

Seperti Duric, Qiu Li dan Jiayi juga pemain 'import' yang berasal dari China selain Daniel Bennett (England) dan Mustafic Fahrudin (Serbia).

Biarpun sekadar menang tipis, Avramovic tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut dan juga persembahan anak-anak buahnya.

"Masih terdapat beberapa aspek yang perlu kami tingkatkan, tetapi terdapat bebe- rapa aspek positif dapat dilihat. Kami berjaya cipta banyak peluang dan melakukan hantaran dengan baik.

"Saya tetap puas hati dengan persemba- han pasukan dan perlawanan ini memberi ruang kepada pemain memperbaiki kesilapan sebelum bertemu Malaysia," kata Avramovic pada sidang media selepas perla- wanan.

Taiwan merupakan pasukan yang berjaya disingkirkan skuad kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal pada pusingan pertama, manakala Singapura pula mendapat bye.

Namun jurulatih baru Taiwan, Tee Tae Ho seakan-akan cuba memperlekehkan kemampuan skuad Harimau Malaya dengan berkata: "Singapura lebih stabil dan matang, manakala Malaysia agak kurang stabil dan tidak matang."

Pengalaman pertama Wan Zack, Piya


Kedua-dua pemain ini ternyata berbeza dari segi pengalaman mahupun umur, namun Wan Zack Haikal Wan Nor dan Bahdri Radzi bakal berdepan satu lagi peristiwa yang belum pernah mereka lalui, iaitu menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, esok.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi saksi kepada kedua-dua pemain Pantai Timur ini jika diturunkan oleh jurulatih pasukan Pilihan Malaysia, Ong Kim Swee dalam perlawanan persahabatan sempena Siri Jelalah Asia kelab London itu.

Bagi pemain kelahiran Pahang, Wan Zack, semuanya berjalan lancar dan dia sudah bersedia seratus peratus untuk berdepan dengan pemain bertaraf dunia walaupun pada usia yang amat muda, iaitu 20 tahun dan masih kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.

"Saya mengikuti segala arahan jurulatih terutama sekali dari segi taktikal sebagai persediaan penting untuk bertemu dengan pemain Chelsea yang rata-ratanya mempunyai fizikal lebih besar daripada saya," kata pemain Harimau Muda A itu yang ketika ini mewakili skuad Olimpik negara.

Jelas Wan Zack, bukan mudah untuk menentang Chelsea, tambahan pula kesemua pemain skuad itu mempunyai pengalaman dalam saingan EPL mahupun perlawanan antarabangsa mewakili skuad negara masing-masing.

"Saya tetap berasa gugup tetapi saya berjanji akan memberi komitmen seratus peratus dan saya berazam untuk menjaringkan gol, walaupun saya sedar ia bukan satu misi mudah. Saya akan cuba sedaya upaya untuk mencapai cita-cita tersebut," kata pemain sayap kanan itu.

Sementara itu, Badhri atau terkenal dengan panggilan Piya, dia berasa bangga selepas disenaraikan dalam skuad Pilihan Malaysia walaupun ia bukanlah skuad kebangsaan sebenar.

Ini kerana ia adalah pengalaman pertamanya menyarung jersi kebangsaan sejak dia mula bermain bola sepak pada usia remaja.

"Saya akan menggunakan peluang ini sebaik-baiknya. Ini adalah pentas terbaik untuk saya belajar dan membuktikan bahawa saya layak diserapkan dalam skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal," kata ketua pasukan Kelantan itu.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, walaupun diberi peluang singkat untuk berlatih bersama pemain senior yang lain serta bersama pemain muda, dia akan memberikan persembahan terbaik terutama sekali untuk merencanakan serangan.

Tuesday, July 19, 2011

Kelantan destinasi pertama CCFC


KELAB Bola Sepak Cardiff City (CCFC) telah memilih Kelan- tan ini sebagai destinasi pertama dalam siri program Jelajah 1Malaysia Cardiff City (1MCC-CCFC) membabitkan lapan jurulatih dari kelab tersebut.

Menerusi program itu seramai 207 pelatih Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red War- riors (ARMY) terlibat dalam Klinik Bola Sepak bersama CCFC.

Dalam menjayakan klinik sehari menerusi program berkenaan bersama ARMY, CCFC turut menjanjikan komitmennya bagi membantu membangunkan program pembangunan bola sepak remaja di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Chan Tien Ghee berkata, pihaknya cukup gembira kerana dapat bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi menjayakan klinik bola sepak selama sehari itu.

“Pembangunan bola sepak remaja pada hari ini sebenarnya cukup penting. Kalau kita perhatikan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah pun terlibat dalam sukan bola sepak.

“Bagi CCFC sendiri, kami cukup teruja apabila bercakap mengenai pembangunan bola sepak remaja. Kita cuba mendekatkan masyarakat dengan program seperti ini,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, selepas ini, menerusi program tersebut CC- FC akan menyusul ke beberapa buah destinasi seperti Pahang, Kedah serta beberapa negeri lain dalam menjayakan program klinik bola sepak.

Menurutnya, program tersebut amat bermakna dalam usaha mendedahkan teknik bola sepak berkesan di kalangan pemain remaja khususnya.

Tien Ghee yang melihat fenomena luar biasa dalam siri jelajah tersebut turut menyatakan hasratnya tentang kese- diaan untuk membuka cawangan akademi CCFC di negeri Kelantan.

“Sudah pasti kita akan datang ke sini lagi. Berdasarkan fenomena luar biasa di sini, saya bersedia membuka cawangan di negeri ini,” ujarnya.

Paraguay kejutkan juara bertahan


Selepas kegagalan Argentina, Brazil menjadi pasukan pilihan yang kedua tersingkir daripada kempen Copa America tahun ini.

Juara bertahan, Brazil dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Paraguay pada aksi suku akhir di Stadium Ciudad de La Plata awal pagi semalam.

Kejayaan Paraguay ke atas Brazil itu hadir menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.

Ia merupakan kejayaan pertama Paraguay mara ke peringkat separuh akhir sejak kali terakhir melakukannya pada 1989 yang mana mereka turut layak ke pentas final.

Pada aksi itu, penjaga gol Paraguay, Justo Villar dijulang sebagai wira apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan pemain Brazil, Thiago Silva dan Elano.

Dua lagi sepakan Brazil yang diambil oleh Andre Santos dan Fred gagal disem- purnakan.

Jurulatih Paraguay, Gerardo Martino berkata, Brazil sepatutnya memenangi perlawanan itu dalam tempoh 90 minit permainan sebenar.

"Brazil sepatutnya tidak berdepan kesu- karan untuk memenangi perlawanan pada masa sebenar kerana mereka dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.

"Namun inilah bola sepak. Kadang-kadang keputusan beginilah yang kita akan terima.

"Kami (Paraguay) tidak beraksi seperti mana yang kami kehendaki tetapi nasib masih memihak kepada kami," kata Martino.

Sementara itu, harapan Brazil untuk me- raih kejuaraan ketiga berturut-turut pada kempen Copa America kini sudah berkubur dengan kekalahan di tangan Para- guay itu.

Sebagai rekod, Brazil telah lapan kali me- menangi kempen Copa America sebelum ini iaitu pada tahun 1919, 1922, 1949, 1989, 1997, 1999, 2004 dan 2007.

"Ia pasti akan mengecewakan apabila kamu tidak mencapai seperti mana yang telah dirancang.

"Kami (Brazil) tewas di tangan pasukan yang masih belum memenangi kempen Copa America (Paraguay), namun kini mereka telah layak ke peringkat separuh akhir.

"Inilah bola sepak dan kami perlu belajar bagaimana caranya untuk mengelakkan perkara-perkara seperti ini berlaku," kata jurulatih Brazil, Mano Menezes

Monday, July 18, 2011

9 senior taruhan Pilihan Malaysia


JURULATIH skuad Pilihan Malaysia, Ong Kim Swee mempertaruhkan sembilan pemain senior untuk menghadapi Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.

Pilihan Malaysia merupakan gabungan pemain-pemain skuad Olimpik negara serta beberapa pemain senior yang tidak terpilih menyarung jersi skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal menghadapi Singapura pada Sabtu ini.

Sembilan pemain senior itu ialah Norhafiz Zamani Misbah, 30, Amri Yahyah, 30, Hairuddin Omar, 32, Badhri Radzi, 29, Daudsu Jamaluddin, 26, S. Subramaniam, 26, Shahrulnizam Mustapa, 30, Joseph Kalang Tie, 24, dan penjaga gol, Farizal Marlias, 25.

Mereka bakal digabung bersama pemain-pemain berusia bawah 22 tahun yang menjadi tonggak skuad Olimpik negara seperti Irfan Fazail, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Fandi Othman dan Zubir Azmi.

Menurut Kim Swee, 41, kesemua tonggak senior tersebut telah menunjukkan sikap yang positif sepanjang seminggu sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Isnin lalu.

“Kesemua pemain senior ini nampak sudah mula membentuk keserasian dengan pemain-pemain muda sedia ada dalam skuad Olimpik ini.

“Bertemu Chelsea ini merupakan satu perlawanan bagi pemain-pemain merasai pengalaman menentang bintang-bintang dunia.

“Mungkin bagi pemain-pemain senior ini, ia merupakan pentas untuk membuktikan bahawa mereka masih layak dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan,” kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Skuad Pilihan Malaysia itu memulakan sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil petang semalam setelah mendaftar masuk di hotel penginapan pasukan, Palace Of The Golden Horses di Seri Kembangan.

Kim Swee turut mengingatkan para pemainnya supaya tetap mengambil serius perlawanan menentang Chelsea itu bagi menjaga maruah dan nama Malaysia.

“Kita dapat lihat pada dua aksi skuad kebangsaan menentang Arsenal dan Liverpool, gol yang dilepaskan cukup mudah. Jadi para pemain perlu berhati-hati mengelak daripada melakukan kesilapan mudah,” ujarnya.

Kim Swee turut menamakan Norhafiz Zamani sebagai kapten skuad Pilihan Malaysia bagi menghadapi Chelsea yang tiba di Kuala Lumpur pada tengah hari ini.

Argentina tersingkir, Uruguay mara


Uruguay menyingkirkan tuan rumah, Argentina daripada Copa America menerusi penentuan penalti, semalam selepas penjaga gol, Fernando Muslera menafikan sepakan Carlos Tevez untuk kedudukan 5-4 selepas terikat 1-1.

Uruguay meledak gol pendahuluan menerusi Deigo Perez sebelum pemain tengah itu dibuang padang tujuh minit sebelum berakhir babak pertama.

Argentina bagaimanapun menyamakan kedudukan melalui Gonzalo Higuain dan kemudiannya menyaksikan Javier Mascherano dilayangkan kad merah sebelum perlawanan berakhir.

Perlawanan yang diheret sehingga ke masa tambahan, gagal menghasilkan sebarang gol dan kedua-dua pasukan sekadar terikat dengan kedudukan 1-1.

Uruguay akan bertemu Peru pada separuh akhir selepas mereka mengalahkan Colombia 2-0 dalam satu lagi aksi suku akhir, semalam.

"Hari ini (semalam) kami terpaksa bertarung habis-habisan. Dua pasukan yang bersaing hadir pada kejohanan ini untuk menjadi juara tetapi ini baru suku akhir dan perjalanan kami masih lagi jauh,'' kata kapten Uruguay, Diego Lugano kepada pemberita.

Jurulatih Argentina, Sergio Batista ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, dia amat kecewa, tetapi para pemain telah memberikan segala-galanya yang termampu.

"Saya tidak boleh berkata yang saya gembira kerana tiada sesiapa pun suka mereka tersingkir, tetapi saya puas hati dengan persembahan para pemain," ujarnya.

Uruguay berjaya melakar kejutan ke atas tuan rumah selepas mendahulu dengan kedudukan 1-0 pada minit keenam menerusi sepakan bola mati.

Sepakan percuma oleh Diego Forlan yang kini memiliki 80 cap, berjaya ditanduk pertahanan, Martin Caceres, sebelum Perez menggelongsor untuk meledakkan gol ke gawang lawan.

Bagaimanapun, gol itu tidak kekal lama apabila Argentina menyamakan kedudukan pada minit ke-11, apabila Lionel Messi yang membuat hantaran silang untuk disempurnakan Higuain menerusi tandukan.

Uruguay selepas itu terpaksa bermain 10 orang pada minit ke-38 apabila Perez yang mengasari Mascherano dilayangkan kad merah.

Meskipun, terpaksa bermain dengan 10 pemain, Uruguay tetap mengancam kubu Argentina dengan sepakan percuma Forlan sering kali mengkucar-kacirkan pertahanan tuan rumah.

Namun, tidak kurang juga dengan Argentina yang turut melakukan serangan bertali-arus menerusi gerakan yang dicipta Messi.

Peluang terbaik berjaya dicipta Argentina pada minit ke-79, apabila Messi menghantar bola ke Higuain yang kemudiannya merembat kencang ke arah gawang lawan, namun berjaya ditepis keluar Muslera untuk sepakan sudut tuan rumah.

Percubaan turut hadir menerusi Luis Suarez yang melorong bola kepada Forlan yang berada di dalam kotak penalti, tetapi penjaga gol, Sergio Romero berjaya menyelamatkan keadaan.

Pada minit ke-90, Mascherano mengasari Suarez dan dia yang dilayangkan kad kuning kedua telah diperintah keluar padang.

Benteng pertahanan perlu dibaiki

Taring sudah sedia menggigit, namun kuku masih belum tajam untuk menahan serangan.

Itu mungkin gambaran sesuai buat skuad Harimau Malaya yang masih mempunyai kelemahan di bahagian pertahanan sehingga mendapat perhatian ramai pihak selepas perlawanan persahabatan Jelajah Asia menentang dua kelab Liga Perdana England Arsenal dan Liverpool.

Bagi jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan kesilapan kecil yang dilakukan pemain pertahanan masih lagi berulang sehingga membolehkan pasukan lawan mudah mendapatkan jaringan.

Katanya, kesilapan kecil dalam kotak penalti yang mampu memberikan gol percuma kepada pihak lawan sewajarnya dihindari sebelum menentang Singapura dalam saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Sabtu ini.

''Bahagian serangan sudah cukup baik apabila berupaya mendapatkan gol melalui Safee Sali, namun kesilapan mudah yang mampu mengundang padah harus dielakkan pemain.

''Saya dapat rasakan bahawa jurulatih, Datuk K. Rajagobal telah menilai perkara tersebut dan akan melakukan sesuatu ketika menghadapi perlawanan penting menentang Singapura,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh berpendapat, aksi skuad kebangsaan wajar dipuji kerana mempamerkan peningkatan cemerlang terutama di bahagian serangan dan tengah.

''Secara keseluruhannya saya gembira dengan aksi Malaysia semalam (kelmarin) terutama selepas beberapa hari menentang Arsenal.

''Berhubung kelemahan di bahagian pertahanan saya cuma menggangap mereka ini masih belum banyak memperoleh pengalaman, namun itu semua dapat diperbaiki kerana pemain kita masih muda lagi,'' kata Dollah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz ketika ditemui berkata, skuad kebangsaan diramal mampu mengekang asakan Singapura sekali pun pasukan negara jiran itu menerima suntikan Awang import.

''Skuad Harimau Malaya telah diberi pendedahan sewajarnya di peringkat antarabangsa terutama dalam berhadapan dengan pemain dari Eropah dan saya berasakan para pemain kita tidak menghadapi masalah untuk menghadapi Singapura,'' katanya.

Sunday, July 17, 2011

Safiq, Safee dapat perhatian


Jaringan menerusi sepakan percuma kapten Safiq Rahim dan dua gol daripada Safee Sali jelas membuka mata Liverpool bahawa Malaysia juga mampu melahirkan pemain berkelas dunia.

Penolong jurulatih Liverpool, Steve Clark mengakui kehebatan kapten Malaysia itu dalam mele- dakkan gol pertama agak mengejutkannya.

Malah menurut Clarke lagi, kemasukan Safee pada 20 minit terakhir permainan berjaya menaikkan semangat pemain negara dengan ketajaman penyudah dan keghairahan memburu gol.

"Bagi saya jaringan pemain No. 8 (Safiq) menerusi sepakan percuma sangat cantik sekali.

"Malah dia juga banyak memainkan peranan dalam gerakan Malaysia," kata Clark pada sidang media semalam.

"Penyerang No. 10 (Safee) pula bermain dengan hebat. Dua jari- ngannya serta keghairahannya memburu gol berjaya memberi tekanan kepada kami.

"Ia satu perlawanan yang baik bagi mereka dan saya rasa aksi keseluruhan pemain Malaysia agak bagus. Mereka bertahan dengan baik dan sangat kompetitif," tambahnya lagi.

Menurut Clarke, kombinasi pemain Liverpool pada babak pertama lebih bertenaga berbanding babak kedua yang disifatkannya bermain secara terbuka.

"Kami bermula dengan baik, banyak menguasai bola dan mencipta peluang.

"Tetapi kombinasi pemain babak kedua agak longgar dan kami banyak kehilangan bola. Jadi sudah pasti saya lebih gembira dengan kombinasi pemain di babak pertama.

"Babak kedua juga permainan sangat terbuka oleh kedua-dua pihak.

"Saya puji tentangan yang diberikan pemain Malaysia kerana mereka dapat menjaringkan tiga gol. Ia sesuatu yang bagus bagi mereka," tambahnya.

Arsenal nyaris tumbang di China

Arsenal bangkit dari ketinggalan ketika menentang Hangzhou Greentown untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Carlos Vela pada minit kecederaan pada aksi persahabatan siri jelajah pramusim di Asia semalam.

Pemain Hangzhou Greentow, Sebastian Vasquez menjaringkan gol pendahuluan pada minit ketujuh menewaskan penjaga gol Arsenal, Vito Mannone.

Arsenal yang kali pertama berkunjung ke China sejak aksi pramusim di Beijing pada 1995, turun menentang pasukan Liga Su- per China itu di bandar Yiwu, 285 kilometer dari selatan Shanghai.

Skuad The Gunners telah menjalani latihan di Austria sepanjang musim sejak 2001, namun beralih ke Asia tahun ini bagi mempromosikan kelab mereka kepada peminat di benua itu.

China adalah kunjungan kedua dalam siri jelajah Asia setelah menewaskan Malaysia 4-0, Rabu lalu.

Sementara itu, Denilson mungkin akan meninggalkan Arsenal selepas pemain tengah itu dikaitkan dengan pinjaman ke kelab Brazil, Sao Paulo.

Menurut laporan media, bekas kelab Denilson telah membuat tawaran untuk pemain berusia 23 tahun itu meninggalkan Stadium Emirates menerusi pinjaman jangka panjang.

Denilson bergelut untuk mempamerkan potensi sebenar di Arsenal sejak menyertai skuad The Gunners pada tahun 2006.

Pemain Brazil itu tidak menyembunyikan keinginan untuk meninggalkan kelab itu pada musim panas ini selepas berbincang bersama pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

"Saya telah berjumpa Wenger dan memberi tahu dia apa yang saya rasa. Dia bersetuju untuk melepaskan saya. Ini adalah musim terburuk dalam karier saya dan saya cukup kecewa.

"Saya adalah seorang pemenang dan saya datang ke sini untuk memenangi trofi tetapi saya telah berada di sini selama lima tahun dan tidak memenangi apa-apa.