Monday, July 18, 2011

Argentina tersingkir, Uruguay mara


Uruguay menyingkirkan tuan rumah, Argentina daripada Copa America menerusi penentuan penalti, semalam selepas penjaga gol, Fernando Muslera menafikan sepakan Carlos Tevez untuk kedudukan 5-4 selepas terikat 1-1.

Uruguay meledak gol pendahuluan menerusi Deigo Perez sebelum pemain tengah itu dibuang padang tujuh minit sebelum berakhir babak pertama.

Argentina bagaimanapun menyamakan kedudukan melalui Gonzalo Higuain dan kemudiannya menyaksikan Javier Mascherano dilayangkan kad merah sebelum perlawanan berakhir.

Perlawanan yang diheret sehingga ke masa tambahan, gagal menghasilkan sebarang gol dan kedua-dua pasukan sekadar terikat dengan kedudukan 1-1.

Uruguay akan bertemu Peru pada separuh akhir selepas mereka mengalahkan Colombia 2-0 dalam satu lagi aksi suku akhir, semalam.

"Hari ini (semalam) kami terpaksa bertarung habis-habisan. Dua pasukan yang bersaing hadir pada kejohanan ini untuk menjadi juara tetapi ini baru suku akhir dan perjalanan kami masih lagi jauh,'' kata kapten Uruguay, Diego Lugano kepada pemberita.

Jurulatih Argentina, Sergio Batista ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, dia amat kecewa, tetapi para pemain telah memberikan segala-galanya yang termampu.

"Saya tidak boleh berkata yang saya gembira kerana tiada sesiapa pun suka mereka tersingkir, tetapi saya puas hati dengan persembahan para pemain," ujarnya.

Uruguay berjaya melakar kejutan ke atas tuan rumah selepas mendahulu dengan kedudukan 1-0 pada minit keenam menerusi sepakan bola mati.

Sepakan percuma oleh Diego Forlan yang kini memiliki 80 cap, berjaya ditanduk pertahanan, Martin Caceres, sebelum Perez menggelongsor untuk meledakkan gol ke gawang lawan.

Bagaimanapun, gol itu tidak kekal lama apabila Argentina menyamakan kedudukan pada minit ke-11, apabila Lionel Messi yang membuat hantaran silang untuk disempurnakan Higuain menerusi tandukan.

Uruguay selepas itu terpaksa bermain 10 orang pada minit ke-38 apabila Perez yang mengasari Mascherano dilayangkan kad merah.

Meskipun, terpaksa bermain dengan 10 pemain, Uruguay tetap mengancam kubu Argentina dengan sepakan percuma Forlan sering kali mengkucar-kacirkan pertahanan tuan rumah.

Namun, tidak kurang juga dengan Argentina yang turut melakukan serangan bertali-arus menerusi gerakan yang dicipta Messi.

Peluang terbaik berjaya dicipta Argentina pada minit ke-79, apabila Messi menghantar bola ke Higuain yang kemudiannya merembat kencang ke arah gawang lawan, namun berjaya ditepis keluar Muslera untuk sepakan sudut tuan rumah.

Percubaan turut hadir menerusi Luis Suarez yang melorong bola kepada Forlan yang berada di dalam kotak penalti, tetapi penjaga gol, Sergio Romero berjaya menyelamatkan keadaan.

Pada minit ke-90, Mascherano mengasari Suarez dan dia yang dilayangkan kad kuning kedua telah diperintah keluar padang.

No comments:

Post a Comment