Tuesday, December 8, 2009

Pahang dapat ihsan FAM (MEME AGOK DOH)


REKOD 'cemerlang' Pahang yang tidak pernah turun ke liga bawahan berterusan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan skuad Tok Gajah itu akan kembali bersaing dalam Liga Super 2010 yang ber- mula 9 Januari depan.

Pahang sebelum ini sepatutnya telah tersing- kir ke Liga Perdana 2010 setelah tewas 1-5 ke- pada Selangor dalam aksi terakhir Liga Super 2009 pada 25 Julai lalu, sekali gus menduduki tangga kedua tercorot.

Pada 15 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis FAM juga mengesahkan bahawa Pahang akan turun beraksi dalam Liga Perdana 2010 bersama-sama pasukan tercorot Liga Super 2009 iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun, Mesyuarat Majlis FAM semalam yang dipengerusikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM bertindak 'menyelamatkan' pasukan negeri itu pada saat akhir sambil 'mengorbankan' skuad B-21 kebangsaan, Harimau Muda A.

"Hari ini (semalam) mesyuarat Majlis FAM telah membuat sedikit perubahan untuk pasu- kan-pasukan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana musim depan.

"Setelah dibincang secara panjang lebar, Harimau Muda A dicadangkan untuk tidak beraksi dalam Liga Super 2010 supaya pemain-pemainnya dilepaskan beraksi untuk pasukan negeri masing-masing.

"Bagi menggenapkan 14 pasukan, Pahang dinaikkan semula ke Liga Super. Liga Perdana pula, kami akan jemput satu pasukan dari Liga FAM untuk menggenapkan 12 pasukan," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh pada sidang media semalam.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Pahang dipilih menggantikan Harimau Muda A kerana 'kedudukannya' yang paling atas dalam senarai asal pasukan-pasukan Liga Perdana 2010.

"Tiada soal pilih kasih. Keputusan ini telah dipersetujui oleh suara majoriti dalam mesyuarat Majlis FAM hari ini (semalam).

"Harimau Muda B iaitu skuad B-19 kebangsaan akan kekal dalam Liga Perdana manakala Harimau Muda A di bawah jurulatih Azraai Khor Abdullah hanya akan dikumpul apabila ada tugasan antarabangsa," jelas Khairy.

Kosmo! pada 27 Julai lalu telah melaporkan tentang kemungkinan Pahang akan diselamatkan lagi oleh FAM daripada terjerumus ke saingan Liga Perdana.

Keputusan FAM semalam sebenarnya 'ulangan' kepada tindakan mereka ketika menukar format Liga Malaysia 2007 sejurus berakhir saingan musim 2006.

FAM ketika itu mengubah format daripada lapan pasukan kepada 14 pasukan, sekali gus menyelamatkan Pahang yang menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan pada Liga Super 2006.

Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah dalam titah baginda ketika mesyuarat semalam memberitahu, Datuk Gulzar Mohammad telah meletak jawatan sebagai Naib Presiden FAM secara sukarela berkuat kuasa 22 November lalu atas alasan kesihatan dan tumpuan kepada pernia- gaannya.

Selain itu, pada tarikh yang sama, FAM turut melantik Tan Sri Mohd. Noor Abdul Rahim sebagai Bendahari FAM yang baru mengganti- kan Datuk Cheong Keap Tai.

'Jangan buat kecoh lagi'


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi amaran keras kepada skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun negara yang kini berada di Laos supaya tidak mengulangi tindakan luar kawalan dan mencetuskan kekecohan dalam kejohanan antarabangsa.

FAM bagaimanapun tidak memutuskan sebarang tindakan akan diambil ketika ini kepada skuad bawah 23 negara itu setelah beberapa pemain bertindak melampau ketika menentang skuad Vietnam di Sukan SEA Laos, kelmarin.

Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin menegaskan, badan bola sepak negara itu akan hanya membuat keputusan untuk mengambil sebarang tindakan selepas meneliti laporan daripada pengurus dan jurulatih pasukan kebangsaan sebaik sahaja skuad itu tiba di Malaysia nanti.

Katanya, FAM kini masih menunggu laporan terperinci berhubung insiden beberapa pemain negara yang bertindak menyerang pengadil perlawanan, Kim Jong Hyeok dari Korea Selatan ketika pasukan kebangsaan menentang Vietnam.

"Pemain negara melakukan serangan ke arah pengadil kerana mutu pengadilan yang teruk dan beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan adalah tidak munasabah, malah menimbulkan keraguan.

"Tindakan pengadil dari Korea Selatan itu membuatkan pemain Malaysia beremosi dan berasa marah.

"Meskipun begitu, FAM tidak menghalalkan tindakan para pemain melakukan serangan ke arah pengadil. Ia satu tindakan kurang bijak dan boleh memalukan nama negara.

"Sehubungan itu, FAM akan hanya mengambil tindakan selepas berakhirnya persaingan di Laos dan menerima laporan daripada pengurus serta jurulatih negara," katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya mesyuarat Exco FAM, di sini, semalam.

Sebelum bermulanya sidang akhbar tersebut, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah berkenan untuk menyerahkan wang ganjaran persaraan kepada tiga bekas pemain bola sepak negara.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, FAM telah meminta jurulatih negara, K. Rajagobal dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad yang juga pengurus pasukan untuk memberi amaran kepada pemain dan memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.

Katanya, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA XXV, Laos Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz yang turut menyaksikan pertemuan Malaysia dengan Vietnam tersebut turut melahirkan rasa kurang senang.

Jelasnya, Dr. Ramlan turut tidak bersetuju dengan beberapa keputusan yang telah dibuat oleh pengadil dari Korea Selatan itu di sepanjang perlawanan.

"FAM akan mengkaji sebarang tindakan selepas pasukan ini tiba di Malaysia dan menerima laporan penuh daripada pengurus serta jurulatih.

"Namun, kita tidak boleh menghukum seluruh pasukan kerana tindakan seorang dua pemain. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

"Pemain Malaysia tidak pernah ada rekod buruk sebelum ini dan mereka juga sangat berdisiplin. Saya tidak mahu perkara ini didahulukan ketika ini, sebaliknya FAM perlu melihat laporan penuh," ujarnya.

Struktur bangunan tidak kuat punca kereta terjunam

Struktur tembok bangunan penghadang kenderaan di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasaraya KB Mall yang tidak kukuh dipercayai punca kepada kereta yang dipandu seorang wanita terjunam ke dalam bangunan itu semalam.

Ketua Polis Kelantan SAC1 Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sekiranya tembok setinggi 1.8 meter itu dibina dengan bata dengan terdapat tetulang besi di dalam, mustahil boleh runtuh sebagaimana berlaku semalam.

"Dinding itu dibina dengan bata setinggi 1.8 meter dan tidak terdapat besi di dalam bagi menguatkan dinding itu daripada mudah runtuh,” katanya kepada pemberita pada majlis Berkhatan Beramai-ramai anak warga PDRM, Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Pada kejadian pukul 5 petang semalam, dua pelajar perempuan Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan Kota Baharu, Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, terbunuh dihempap kereta terbabit ketika berada di atas tangga bergerak pasar raya itu.

Dua mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Lutfi, 24, juga pelajar kolej yang sama dan pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Kerajaan negeri kaji semula tahap keselamatan di setiap pasar raya

Kerajaan Kelantan akan mengkaji semula tahap keselamatan bangunan di setiap pasar raya di negeri itu susulan kejadian di pasaraya KB Mall petang semalam apabila dua mangsa terkorban dihempap sebuah kereta yang terjatuh daripada parkir di tingkat tiga pasaraya tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi memperhalusi dan membincangkan mengenai aspek keselamatan di setiap pasaraya.

"Pagi ini Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melawat ke tempat kejadian dan hasil daripada itu beliau telah mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) supaya mengadakan mesyuarat segera hari ini.

"Kita akan panggil jabatan berkaitan seperti polis, bomba, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak pengurusan pasaraya KB Mall pada mesyuarat itu bagi membincangkan langkah seterusnya selain akan mengkaji semula tahap keselamatan bangunan pasaraya di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian di sini hari ini.

Mangsa yang maut adalah Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, kedua-duanya dari Kolej Kejururawatan Masterskill Cawangan Kota Baharu manakala dua lagi yang parah iaitu rakan mereka Rashidah Ahmad Lutfi, 24, dan pemandu kereta jenis Ford Laser TX3, Nor Ain Said, 19.

Monday, December 7, 2009

Pemain negara 'mengamuk'



VIENTIANE, Laos - Skuad bola sepak negara tiba-tiba 'mengamuk' di tengah padang.

Puncanya hanya satu - mempertikai cara pengadilan pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok.

Insiden 'panas' itu berlaku di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional petang semalam yang menyaksikan skuad negara tewas 1-3 kepada Vietnam pada aksi Kumpulan A temasya Sukan SEA XXV.

Biarpun perlawanan itu tidak memihak kepada skuad negara tetapi anak-anak buah K. Rajagobal itu pastinya lebih mendapat tumpuan gara-gara kekecohan yang dicetuskan mereka di tengah padang.

Insiden tersebut bermula selepas Jong Hyeok melayangkan kad merah kepada Aidil Zaquan Adha Abd. Radzak pada masa kecederaan babak kedua.

Sebelum itu, Zaquan yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-59 telah menerima kad kuning pertama lima minit sebelum perlawanan berakhir.

Penyerang kelahiran Negeri Sembilan itu kemudiannya mengutip kad kuning kedua dan secara automatik dilayangkan kad merah pada masa kecederaan kerana didakwa melakukan terjahan keras terhadap pemain Vietnam, Tran Dinh Dong.

Sejurus selepas wisel penamat dibunyikan, Zaquan dan semua pemain negara termasuk pemain simpanan menyerbu ke arah Jong Hyeok sebagai membantah keputusan yang dibuat oleh pengadil terbabit.

Bermula Dari situ, berlaku beberapa insiden tolak menolak antara pemain negara dengan Jong Hyeok serta pembantu pengadil, Zleng Weixiang dari China dan Shahidul Islam dari Bangladesh.

Melihatkan keadaan semakin tegang dan tidak terkawal, pegawai keselamatan terpaksa berkejar ke tengah padang bagi mententeramkan keadaan.

Bagaimanapun, insiden yang berlaku hampir lima minit itu dapat dikawal dengan baik apabila Rajabobal dan beberapa pegawai skuad bola sepak negara termasuk penolong pengurus, Datuk Subahan Kamal dan jurulatih kecergasan, Rosov Bozik campur tangan.

Mengulas mengenai insiden memalukan itu, Rajagobal berkata, ia adalah satu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh anak-anak buahnya.

"Saya amat kecewa dengan apa yang telah berlaku. Sebelum perlawanan bermula, saya telah ingatkan pemain agar menampilkan mutu permainan terbaik.

Bagaimanapun, saya agak terkejut kerana perlawanan ini berakhir dengan insiden kekecohan yang melibatkan pemain saya dengan pengadil.

"Tetapi saya faham mengapa pemain bertindak sedemikian. Mereka terlalu kecewa dengan beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil sehingga menyebabkan mereka hilang pertimbangan.

"Sebagai pemain muda, mereka harus menjaga emosi dan tingkahlaku jika tidak, inilah yang berlaku," kata Rajagobal pada sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Rajagobal menambah, beberapa keputusan pengadil yang dianggap tidak tepat menjadi punca anak-anak buahnya bertindak ganas sehingga sanggup menyerang pengadil perlawanan.

"Pemain saya cukup bersemangat untuk menghadapi perlawanan menentang Vietnam selepas kami berjaya mencatatkan kemenangan besar ketika membelasah Timor Leste 11-0 Rabu lalu, tetapi pengadil telah merosakkan semuanya," jelas Rajagobal.

Sunday, December 6, 2009

Tragedi Di KB Mall: 2 Terbunuh, 2 Cedera Parah

Sebuah kereta jenis Ford Laser TX3 berwarna kuning dipercayai dipandu dengan laju dibahagian atas tempat letak kereta Pasaraya KB Mall dan merempuh dinding penghadang lalu tembus ke bahagian tengah escalator utama Pasaraya KB Mall sehingga mengakibatkan kematian 2 orang pengunjung dan 2 lagi dilaporkan parah.

Mereka yang terbunuh dikatakan sedang berada diatas escalator sebelum ditimpa oleh kereta tersebut yang jatuh dari tempat letak kereta tingkat 3 bangunan KB Mall. mereka yang terbunuh dan tercedera dimaklumkan sebagai pelajar Kolej Masterskill Kota Bharu yang berjunjung ke KB Mall.

Mangsa, Siti Nor Amira Samsuddin 19, Siti Nor Diana Azman 18 dan Rashidah Ahmad Lutfi 24, berada dieskalator berkenaan ketika kejadian berlaku. Siti Nor Amira yang cedera parah dikepala, terbunuh ditempat kejadian, manakala Siti Nor Diana menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital setelah mengalami pendarahan yang teruk di kepala.

Seorang lagi mangsa, Rashidah yang cedera parah masih berada di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta berkenaan dipercayai melarikan diri dan gagal dikesan sehingga kini. pihak KB Mall telah menghentikan dengan serta-merta semua operasi perniagaan didalam KB Mall sebaik sahaja kemalangan tersebut berlaku. tidak diketahui berapa hari operasi perniagaan akan dihentikan berikutan pihak KB Mall terpaksa melakukan kerja baik pulih yang banyak.

Setakat ini, jumlah kerugian masih belum diketahui dan punca sebenar kejadian juga masih dalam siasatan pihak polis.













Kereta tersebut dikatakan dipandu dengan laju dari lokasi ini dan merempuh tembok lalu terjunam kedalam KB Mall

Sempat Lagi Mencuri


Ke 3-3 remaja yang ditahan kerana mencuri sedang disoal-siasat pihak polis didalam bilik keselamatan KB Mall

Dalam perkembangan berkaitan, 3 remaja lelaki telah ditahan didalam KB Mall oleh para pegawai yang bertugas setelah dikesan cuba mencuri pakaian ketika para pegawai bertugas sedang sibuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan siasatan kemalangan tersebut.

Ke 3-3 remaja tersebut yang dikenal pasti berasal dari Pengkalan Chepa telah ditahan setelah seorang pengawal menahan mereka yang dikesan memakai beberapa lapis pakaian yang dicuri. ke 3-3 remaja tersebut kemudiannya ditahan dan dibawa ke bilik pengawal KB Mall dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.

Bola sepak Sukan SEA: Malaysia gagal sekat Vietnam

Skuad bawah 23 tahun kebangsaan gagal meneruskan kecemerlangan apabila tewas 3-1 kepada Vietnam pada perlawanan kedua peringkat kumpulan, bola sepak lelaki Sukan SEA ke-25 di Laos hari ini.

Malaysia yang membelasah Timor Leste 11-0 pada perlawanan pertama ketinggalan seawal minit ke-12 hasil jaringan Thanh Binh dan kemudian diikuti gol kedua oleh Mai Tien Thanh, 10 minit kemudian.

Nguyen Trong Hoang menambah duka Malaysia apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-47 manakala gol saguhati diperoleh melalui jaringan sendiri pemain Vietnam, Vo Hoang Quang minit ke-25.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Thailand, Vietnam dan Timor Leste. - Utusan

Sengat Jengking bisa

JOHOR melangkah bergaya ke pusi- ngan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Puncak Piala Emas Raja- Raja selepas mencatat kemenangan besar 6-3 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Jalan Raja Muda petang semalam.

Menyedari kekalahan 1-3 pada aksi suku akhir pertama di Larkin Isnin lalu yang perlu segera ditebus, Kuala Lumpur yang diperkuatkan oleh beberapa pemain Liga Perdana, bangkit merapat defisit melalui gol pendahuluan pemain KL Plus, Nor Adli Fadli pada minit ke-40.

Tersentak dengan gol awal itu Johor segera bangkit untuk menyamakan kedudukan melalui Abdul Halim Rosli selang enam minit kemudian.

Kesungguhan Kuala Lumpur untuk segera mengejar keputusan agregat terserlah melalui pergerakan pantas ke kubu Johor, akhirnya pada kecederaan separuh masa pertama, Mohd. Saiful Nizam Mohamad merembat kencang menewaskan penjaga gol Johor, Norazlan Rozali untuk mendahului 2-1.

Rentak permainan kedua-dua pasukan semakin pantas pada separuh masa kedua yang menyaksikan Johor memerlukan tiga minit selepas sepak mula untuk menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti, Mohd. Shaufiq Kosaini.

Pada minit ke-59 pintu gol Kuala Lumpur terus bocor, kali ini melalui jaringan Mohd. Zaini Kamar.

Keadaan kelam-kabut di benteng pertahanan Kuala Lumpur terus digunakan oleh Johor untuk menghasilkan gol keempat melalui Mohd. Shaufiq Kosaini yang juga jaringan peribadi keduanya.

Ketinggalan 2-4 belum berjaya mematahkan semangat pemain-pemain Kuala Lumpur. Faizel Abdul Hamid bertindak untuk jaringan ketiga pasukannya pada minit ke-76.

Menyedari kelebihan semakin memihak kepada Johor, barisan bimbi- ngan Ederes Selamat itu tetap memperagakan corak permainan menyerang, hasilnya gol kelima disumbangkan oleh Mohd. Fitri Amir Ramli pada minit ke-81.

Sisa-sisa perjuangan Kuala Lumpur akhirnya berakhir melalui gol keenam Johor hasil jaringan Mohd. Zaini Kamar minit ke-91 sebelum pengadil perlawanan, Mohd. Nazeri Mohd. Said meniup wisel penamat.

Dengan kemenangan itu, Johor mara dengan agregat 9-4.

Menanti Johor pada separuh akhir pertama di Kangar, 12 Disember ini ialah pasukan Perlis yang mengalah- kan ATM 3-1 di Stadium Mindef.

Pada perlawanan suku akhir yang lain Singapura menang 6-5 ke atas PDRM pada masa tambahan.

Remaja perempuan mangsa keenam banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU 5 Dis. - Remaja perempuan berumur 14 tahun menjadi korban terbaru banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Selasa lalu.

Norsahirah Ismail, yang merupakan remaja Orang Kurang Upaya (OKU) yang menghidap sawan sejak kecil dipercayai lemas setelah terjatuh di kawasan rumahnya di Kampung Banggol Nyior Tepoh, di sini, yang dinaiki air setinggi satu meter.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin berkata, kejadian berlaku ketika keluarga mangsa sedang bersiap sedia untuk berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, kira-kira pukul 8.40 pagi tadi.

"Norsahirah dipercayai terjatuh ke dalam air ketika berada di tangga dekat pintu belakang rumah. Sebaik menyedari kehilangannya, anggota keluarga beliau memulakan gerakan mencari dan menemui mangsa yang tenggelam di dalam air kira-kira 15 minit kemudian,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Zamri berkata, keluarga mangsa cuba memberikan bantuan kecemasan namun remaja itu dipercayai telahpun meninggal dunia. Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.