Wednesday, August 24, 2011

Terengganu pertaruh trio berbisa

SELEPAS mengucup Piala FA, Terengganu mahu meneruskan momentum sedia ada dengan merangkul Piala Malaysia.

Ditambah pula dengan kejayaan muncul naib juara Liga Super musim ini, skuad Penyu itu wajar dilabel sebagai antara pencabar utama selain Selangor dan Kelantan.

Diundi bersama Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby dalam saingan Kumpulan B, Terengganu diramal mudah melepasi peringkat suku akhir.

Bagaimanapun jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim tidak mahu anak-anak buahnya terlalu yakin apabila mengharungi saingan Piala Malaysia kelak.

“Meskipun kami dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Kumpulan B tetapi kami tetap sentiasa berwaspada dan berhati-hati.

“Saya tidak beranggap Terengganu diletakkan dalam kumpulan mudah, sebalik- nya tiga pencabar kami (Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby) mempunyai kekuatan yang sukar dijangka,” kata Irfan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bekas pengendali Perlis itu juga menyifat- kan penampilan juara Piala Malaysia 2009, Negeri Sembilan harus diberi tumpuan penuh.

“Kemampuan juara Liga Perdana, PKNS juga harus tidak dipandang rendah memandangkan skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu hanya tewas sekali musim ini.

“Begitu juga pasukan berstatus kelab, Sime Darby, mereka mampu mencipta kejutan,” tambahnya.

Irfan sudah tentu mengharapkan sentu- han berbisa daripada tiga peledak berbisa Terengganu, Abdul Hadi Yahya, Abdul Manaf Mamat dan Mohd. Ashaari Shamsudin dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

“Gandingan tiga penyerang itu sesuatu yang menarik dan saya menjangka ia akan memantapkan lagi kekuatan Terengganu untuk membolosi gawang lawan.

“Jadi, saya harap mampu membawa Terengganu ke satu tahap lebih baik dan sudah tentu kali ini, saya mahu membawa mereka ke perlawanan akhir,” jelas Irfan.

No comments:

Post a Comment