Monday, September 6, 2010

Pasukan NS dapat tonik baru

NEGERI Sembilan akhirnya mendapat tonik baru selepas merakamkan kemenangan pertama dalam siri persahabatan apabila menewaskan Kuala Lumpur, kelmarin - pencapaian yang harus menerbitkan sifat yakin anak buah Wan Jamak Wan Hassan menjelang kempen Piala Malaysia.

Selepas tiga seri dan satu kekalahan sebelum ini kemenangan sulung ini memancarkan wajah ceria kepada ketua pasukan, Rezal Zambery Yahya yang yakin kejayaan terbaru itu dapat menyuntik semangat rakan sepasukan memberi persembahan cemerlang pada perlawanan pertama Kumpulan A menentang Kelantan di Kota Bharu, 14 September ini.

Saya yakin kemenangan ke atas Kuala Lumpur akan memberi impak positif kepada seluruh pasukan, katanya.

Walaupun kami belum mencapai tahap 100 peratus seperti dikehendaki jurulatih, namun saya berharap pemain dapat terus memberi kerjasama untuk sama-sama berjuang demi memartabatkan imej pasukan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pihaknya juga yakin semua pemain skuad itu sudah bersedia untuk menggalas cabaran, malah mereka sudah menunjukkan komitmen tinggi untuk misi mempertahankan mahkota kejuaraan.

Apa yang penting kami perlu mengekalkan prestasi dan persefahaman serta berusaha menterjemahkan sepenuhnya strategi yang diaturkan jurulatih kerana ia adalah kunci kepada kejayaan yang kami sasarkan, katanya.

No comments:

Post a Comment