Wednesday, September 8, 2010

Norizam sandaran NS ganti Zaquan


BERIKUTAN kecederaan yang dialami ayam tambatan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, Negeri Sembilan mungkin terpaksa menyandarkan harapan tinggi terhadap Norizam Salaman untuk menggalas tugas berat bertemu Kelantan pada saingan pembuka tirai Kumpulan A Piala Malaysia di Kota Bharu, 14 September ini.

Jika pemain import Johor, S Ragesh diterima pihak pengurusan pasukan, Norizam mungkin bergandingan dengan Ragesh tetapi jurulatih Wan Jamak Wan Hassan berkata, pihaknya tiada pilihan untuk mempertaruhkan Norizam bagi menggalas tugas mencabar itu kerana dia satu-satunya pemain berpengalaman berbanding pemain muda seperti Mohd Shaffik Rahman, Mohd Firdaus Azizul dan Mohd Asyraf Al-Jafri.

Katanya, walaupun Norizam menjadi sandaran, pihaknya tidak bergantung sepenuhnya kepada seorang dua pemain untuk menyumbang gol, sebaliknya mahu semua pemain memainkan peranan masing-masing.

“Saya sering mengingatkan pemain supaya bermain sebagai satu pasukan, semua harus memikul peranan masing-masing dan saya yakin jika ini dapat dilaksanakan, kemenangan boleh dicapai.

“Tanpa Mohd Aidil dan Mohd Zaquan, ia memang memberikan kesan tetapi saya yakin ia boleh dicapai jika semua beraksi pada tahap keupayaan sebenar,” katanya semalam.

Bekas pengendali kebangsaan itu berkata, dia sudah mendapat bayangan kesebelasan utama untuk berdepan Kelantan tetapi dalam masa sama, berharap kecederaan Mohd Zaquan segera pulih.

“Khidmat Zaquan amat diperlukan tetapi kita akur dengan keadaan yang menimpa pemain itu dan berharap dia segera pulih demi memastikan rentak pasukan untuk mempertahankan Piala Malaysia, tidak terus terjejas terutama pada peringkat awal pusingan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment