Tuesday, September 7, 2010

Negeri Sembilan tanpa Zafuan, Zaquan


SATU tamparan hebat buat juara bertahan Negeri Sembilan apabila khidmat dua pemain utama yang juga kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dijangka tidak dapat digunakan pada aksi pembuka tirai saingan Piala Malaysia berikutan masalah penggantungan kad kuning dan kecederaan dialami kedua-dua pemain berkenaan.

Mohd Aidil dikatakan masih terikat dengan penggantungan satu perlawanan selepas menerima kad kuning pada saingan Liga Super manakala Mohd Zaquan Adha dikatakan mengalami kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan.

Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan, berkata ketiadaan dua pemain berkenaan terutama pada perlawanan pertama bertemu Kelantan menjadi tamparan buat skuad bimbingannya itu dalam misi meraih kemenangan dan mempertahankan kejuaraan piala berprestij itu.

Memang sesuatu yang malang buat pasukan apabila khidmat dua pemain itu tidak digunakan tetapi perlawanan tetap diteruskan dan kami akan terus berusaha mempertahankan reputasi pasukan selaku juara bertahan dengan menggunakan sepenuhnya barisan pemain yang ada.

Saya berharap situasi itu tidak mematahkan semangat pemain lain sebaliknya mahu mereka terus memberikan fokus kepada usaha mempertahankan maruah pasukan dengan memberikan komitmen sebaik mungkin bagi mencapai kemenangan dan seterusnya membawa pasukan pada landasan kejayaan, katanya semalam.

No comments:

Post a Comment