Monday, September 13, 2010

Dua Finalis Jadi Tumpuan


KOTA BHARU – Pertembungan dua finalis Piala Malaysia musim lalu, Kelantan menentang Negeri Sembilan pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan TM Piala Malaysia pada hari Selasa ini dijangka menarik perhatian hampir puluhan ribu penyokong setia bola sepak Kelantan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, perlawanan pembukaan itu yang dilangsungkan dalam suasana sambutan musim perayaan dijangka menarik perhatian ramai termasuk anak perantauan Kelantan yang pulang bercuti di kampung halaman.

“Memang perlawanan ini menjanjikan satu perlawanan yang menarik, ianya merupakan ulangan pertemuan perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu baru-baru ini.

“Saya sudah bagitau kepada pasukan Kelantan, ini adalah satu-satunya peluang untuk kita menjadi juara setelah kita menjadi naib juara kepada semua kejohanan seperti Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super baru-baru ini.

“Matlamat selanjutnya adalah untuk memburu kejuaraan. Untuk menjadi juara maka kita harus menang setiap perlawanan. Malah bagi saya pasukan yang datang bermain di Kota Bharu, mereka bermain secara bertahan untuk mendapatkan keputusan seri.

“Keputusan seri bagi pasukan pelawat adalah satu kemenangan. Bagi kita selaku tuan rumah, keputusan seri merupakan satu tamparan. Dan jangan lupa pertandingan Piala Malaysia juga menggunakan peraturan gol ditempat lawan dan pasukan pelawat sudah pasti mahu memanfaatkan peraturan tesebut

Annuar turut mengingatkan bahawa pasukan Kelantan harus mengambil ikhtibar diatas situasi tersebut kerana Kelantan pernah tersingkir dalam kejohanan Piala FA musim ini angkara peraturan gol di tempat lawan.

“Kita tidak mahu mencatatkan keputusan seri yang banyak dalam saingan kali ini. Kita perlu menjadi pasukan yang agresif, mempunyai penyudah yang baik serta menjaringkan gol seberapa banyak yang boleh sebelum kita bertandang ke Paroi nanti.

Sementara itu, Annuar tidak melahirkan rasa kecewanya diatas kekalahan tipis 0-1 pasukan Kelantan kepada Felda United FC dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini sebaliknya menganggap ianya satu pengajaran berguna untuk The Red Warriors.

“Perlawanan persahabatan merupakan peluang kepada ketua jurulatih membuat beberapa percubaan taktikal. Kita tidak menurunkan barisan terkuat, kerana Norshahrul Idlan (Talaha) dan Khairul Fahmi (Che Mat) tidak bersama.

“Kekalahan itu adalah sesuatu yang sangat baik. Ia umpama satu pil yang harus kita makan. Biar rasa pahit tetapi ada mustajabnya. Ini membuktikan bahawa dalam kempen Piala Malaysia, mana-mana pasukan lebih-lebih lagi Kelantan jangan memandang rendah pada kemampuan pasukan lain.

“Dalam Piala Malaysia, pasukan-pasukan yang ada kelemahan, mereka meminjam pemain pasukan lain, jadi mereka cuba untuk meningkat keupayaan masing-masing. Kedua, pasukan underdog akan turun habis-habisan untuk mengalahkan atau mencatatkan keputusan seri dengan pasukan pilihan.

“Jadi banyak pasukan menentang Kelantan akan turun sebagai underdog, dan mereka akan bermain bersungguh-sungguh dan tidak mahu kalah. Kalau pasukan kita memandang mudah maka kita akan terhukum. Jadi kekalahan dalam perlawanan persahabatan dengan Felda United di Kota Bharu baru-baru ini, harus dilihat sebagai satu penyedar bahawasanya kita bukan sebuah pasukan yang tidak boleh dikalahkan.

Menurut Annuar, pemain Kelantan harus mempunyai sikap dan mentaliti untuk turun sebagai juara setiap kali turun beraksi.

“Mereka harus turun dengan satu sikap yang positif. Kalau Kelantan hendak menjadi juara, maka harus mempunyai mentaliti sedemikian. Kalau pemain ingin fokus untuk menjadi juara Piala Malaysia, maka mereka seharusnya bersikap professional untuk muncul juara.

No comments:

Post a Comment