Thursday, September 30, 2010

'Awang import' mungkin kembali



BERDASARKAN cakap-cakap yang kedengaran dari Wisma FAM, peluang melihat semula aksi pemain import dalam Liga Malaysia musim depan, semakin cerah.

Berdasarkan pemerhatian dalam sesi percambahan minda bermula semalam, ia menjadi agenda utama yang disuarakan peserta dalam sesi dua hari di Shah Alam, semalam.

Sejak khidmat pemain import diharamkan selepas 2008, perjalanan Liga Malaysia dilihat suram dengan penurunan mendadak daripada segi jumlah penonton dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui, hanya Kelantan dan beberapa negeri saja mampu mengekalkan jumlah kehadiran penuh di stadium setiap minggu.

Antara persoalan yang dibangkitkan peserta daripada ahli gabungan dan pihak luar dalam sesi itu semalam ialah sama ada kehadiran pemain import benar-benar diperlukan, mampu menarik penonton, mampu menaikkan mutu skuad kebangsaan dan di dalam kemampuan pasukan yang mahu menggajikan khidmat mereka.

Semua pro dan kontra mengenai isu itu, serta beberapa isu lain yang terhasil dan diluluskan akan dibawa kepada majlis untuk diperkenankan Presiden, Sultan Ahmad Shah.

Jurulatih Selangor, K Devan yang hadir turut mencadangkan supaya khidmat import hanya dihadkan kepada pasukan Liga Super kerana penyerang tempatan wajar diberi peluang untuk berkembang bersama pasukan Liga Perdana.

Devan turut mencadangkan rombakan format dan pasukan bagi Piala Malaysia supaya pasukan negeri seperti Pulau Pinang dan Melaka tidak menghabiskan musim sekadar di peringkat liga.
Apa yang akan berlaku kepada pemain kedua-dua pasukan ini? Kita mahukan pemain terbabit dalam pertandingan sepanjang musim.

No comments:

Post a Comment