Sunday, July 4, 2010

Versi baru 'Tangan Tuhan' julang Uruguay


JOHANNESBURG - Luis Suarez mendakwa, tindakan sengajanya menampan bola menggunakan tangan pada minit terakhir masa tambahan semalam, adalah 'Tangan Tuhan' versi 2010.

Penyerang Uruguay itu mengambil risiko apabila bertindak mengeluarkan tandukan Dominic Adiyah dengan menggunakan tangan selepas bola betul-betul berada di atas garisan pintu gol.

Seandainya dia tidak berbuat demikian, bola sudah pasti menerjah gawang, sekali gus memberi kemenangan kepada Ghana, namun dengan bertindak 'berani' dia dilayangkan kad merah oleh pengadil Portugal, Olegario Benquerenca dan bakal terlepas perlawanan separuh akhir menentang Belanda.

Pengorbanan berisiko Suarez bagaimanapun berbaloi apabila Asamoah Gyan, yang diamanahkan mengambil penalti gagal menghasilkan gol selepas tendangannya terkena palang. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat permainan dan saingan diheret ke penentuan penalti, sebelum Uruguay menang 4-2.

"Inilah adalah penamat Piala Dunia buat saya, namun saya tiada pilihan lain. Saya cuma ada 'Tangan Tuhan' sekarang.

"Saya melakukannya dengan harapan rakan-rakan sepasukan dapat memenangi perlawanan dalam penentuan penalti. Apabila saya melihat Gyan gagal menyempurnakan sepakan, ia memberi kegembiraan kepada saya," akui Suarez.

Ini merupakan insiden 'Tangan Tuhan' kedua dalam sejarah kejohanan. Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona sebelum ini menjaringkan gol kemenangan ke atas England pada final 1986 dengan menggunakan tangan dan menggelar tindakannya itu sebagai 'Tangan Tuhan'.

Sementara itu, Ghana hanya boleh menyalahkan diri sendiri selepas kempunan untuk melangkah ke separuh akhir buat kali pertama.

Mereka sebenarnya memiliki banyak kelebihan untuk memenangi pertarungan tanpa perlu melalui penentuan sepakan penalti, namun gagal memanfaatkannya.

Kegagalan Gyan menyempurnakan penalti memberi kesan hebat buat skuad Black Stars, yang sebelum itu turut mendahului saingan menerusi jaringan Sulley Muntari pada minit ke-45, namun Diego Forlan menyamakan kedudukan pada minit ke-55.

No comments:

Post a Comment