Sunday, July 4, 2010

Sneijder bagai bermimpi

PORT ELIZABETH, Afrika Selatan: Wesley Sneijder berlari sambil menepuk dahinya selepas menjaringkan gol kemenangan ke atas Brazil dan dia sendiri pasti tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Dikelilingi pertahanan Brazil yang semuanya tinggi, Sneijder bagaimanapun dibiarkan keseorangan untuk seketika dan dia mengambil peluang itu untuk menanduk masuk hantaran Dirk Kuyt selepas menerima bola sepakan sudut Arjen Robben.


Pemain tonggak Inter Milan itu sudah terkenal dengan keupayaannya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma serta hantaran tepat, berkata gol itu adalah yang kedua yang dihasilkan menggunakan kepalanya.


“Saya pernah melakukannya ketika bersama Ajax menentang Ado The Hague,” katanya. “Saya rasa itulah sebabnya mengapa kita mempunyai kepala.” Sebelum itu, Sneijder melakukan sepakan jarak jauh yang mengakibatkan pertahanan Brazil, Felipe Melo tertanduk bola ke gawang sendiri.


Pegawai perlawanan mengira jaringan itu sebagai gol sendiri dan kemudiannya pemain Brazil itu dilayangkan kad merah kerana mengasari lawan tapi Sneijder berkata namanya sepatut dicatat sebagai penjaring gol penyamaan itu.

“Jika ia menerusi penjaga gol, ia biasanya diberikan kepada individu yang membuat sepakan. Kali ini, bola hanya melalui atas kepalanya dan masuk ke gawang,” kata Sneijder selepas dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan. “Ia tidak penting. Perkara paling penting ialah kami menang.” Selepas perlawanan, John Heitinga memeluk Sneijder manakala kapten Belanda, Giovanni van Bronckhorst pula dilihat mengusap kepala Sneijder.


Karier Sneijder cukup menjadi musim ini selepas berpindah dari Real Madrid.


Dia berhijrah ke Inter Milan dan jurulatih Jose Mourinho yang yakin dengan kemampuan Sneijder, memberikan ruang yang cukup luas kepada pemain itu di bahagian tengah Inter.


Sneijder berkata, dia belum lagi mempamer aksi terbaiknya ketika Belanda melakar kemenangan keempat berturut-turut di Piala Dunia.

No comments:

Post a Comment