Tuesday, January 12, 2010

Punca tiga aksi liga ditunda

TIGA daripada tujuh perlawanan Liga Super terpaksa ditunda ke malam esok disebabkan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) perlu menghadiri majlis penyampaian insentif atlet-atlet Sukan SEA 2009 Laos di Putrajaya hari ini.

Tiga perlawanan tersebut iaitu Kedah bertemu Perlis di Alor Setar, Johor bertemu Negeri Sembilan di Johor Bahru dan Kelantan bertemu Johor FC di Kota Bharu.

Manakala baki empat perlawanan lain kekal berlangsung mengikut jadual asal iaitu pada malam ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, perubahan jadual perlawanan itu dibuat bagi memastikan tidak berlaku sebarang kelewatan para pemain skuad B-23 itu kembali ke venue-venue perlawanan bagi mewakili negeri atau kelab masing-masing.

"Majlis itu sepatutnya berlangsung pada 6 Januari lalu tetapi apabila Jabatan Perdana Menteri (JPM) mendapati skuad kebangsaan berada di Dubai pada ketika itu, mereka tunda ke tarikh baru iaitu 12 Januari (hari ini).

"Kebetulan terdapat tujuh perlawanan Liga Super dan seramai 17 pemain skuad B-23 negara terlibat kecuali tiga pemain Harimau Muda. Jadi sebab itu kita tunda tiga perlawanan ini," kata Azzuddin ketika ditemui di Wisma FAM semalam.

Biarpun pemain-pemain tersebut boleh saja terbang ke Alor Setar, Johor Bahru dan Kota Bharu sejurus majlis tersebut berakhir, Azzuddin berkata, FAM tidak mahu mengambil risiko sekiranya berlaku kelewatan atau penangguhan jadual penerbangan sekali gus boleh menjejaskan perancangan pasukan yang terlibat.

"Bagi empat pemain dari Selangor, mereka tiada masalah kerana akan beraksi di Stadium Shah Alam. Begitu juga dua pemain dari Terengganu yang akan bertemu Perak, pihak kami telah sediakan kereta untuk hantar mereka terus ke Ipoh," jelas Azzuddin.

Dalam pada itu, ditanya berhubung rancangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk menghantar pemain skuad B-23 negara ke kelab luar, Azzuddin berkata, Shabery akan ke United Kingdom pada minggu ini untuk melawat beberapa kelab di sana.

"Ketika ini belum ada lagi pengesahan yang kukuh, cuma kita nak meneliti dan bincang dulu dengan kelab-kelab ini. Pemain-pemain buat masa ini telah kembali ke pasukan negeri mereka.

"Tapi untuk musim ini, kita akan adakan latihan pusat skuad kebangsaan sebulan sekali dengan perlawanan persahabatan akan diatur selain latihan di luar negara. Tapi ia tidak akan bertembung dengan jadual liga," kata Azzuddin.

No comments:

Post a Comment