Monday, January 11, 2010

Ferguson undang masalah

Alex Ferguson telah mengheret dirinya berdepan dengan masalah bersama Persatuan Bola Sepak England (FA) selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Pengurus Manchester United itu berang dengan Mark Clattenburg yang memerintahkan pemain tengah Scotland, Darren Fletcher keluar padang selepas penyandang juara itu mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana England menentang Birmingham City, kelmarin.

Ferguson baru-baru ini dikenakan hukuman tidak boleh berada di bangku simpanan dalam dua perlawanan kerana mengkritik kecergasan pengadil Alan Wiley awal musim ini dan masih mempunyai penggantungan dua perlawanan oleh FA.

Bagaimanapun, ia tidak menghalangnya untuk menimbulkan satu lagi kekecohan dengan pengadil di St. Andrews dalam perlawanan yang membolehkan United berada di tangga teratas mengatasi Chelsea jika mereka mencatatkan kemenangan.

Fletcer diperintah keluar padang selepas menerima dua kad kuning, kad kedua diterima selepas melakukan kekasaran ke atas penjaring gol Birmingham, Cameron Jerome tiga minit sebelum perlawanan tamat, dalam aksi yang sekali lagi mengecewakan buat pasukan bimbingan Ferguson, seminggu selepas mereka disingkirkan dari saingan Piala FA oleh Leeds United.

Kurang menumpukan perhatian kepada kekurangan yang terdapat pada pemainnya, Ferguson lebih gemar untuk menyerang Clattenburg.

"Saya menyaksikannya menjadi pengadil ketika Arsenal menentang Spurs baru-baru ini dan seseorang perlu diperintah keluar padang dan dia tidak melakukannya. Ia memang amat lembut, sangat lembut.

"Sudah lama saya tidak menyaksikan pemain tidak dikenakan tindakan keluar padang akibat keputusan pengadil yang sangat lembut, ia sama sekali tidak masuk akal.

"Ada keputusan yang sangat pelik dan hebat berlaku di atas padang. Pengadil memberikan keputusan ofsaid ke atas gol kami dan ia adalah gol sendiri (yang bukan ofsaid) tetapi dia masih mahu memberikan keputusan ofsaid," katanya.

Ferguson, yang akan disoal mengenai penjelasan ke atas komennya terhadap pegawai FA, mengakui beliau gembira dengan keputusan seri selepas menentang pasukan yang sedang meningkat naik, Birmingham yang dilatih oleh Alex McLeish, pernah beraksi di bawah pengurus United ketika dia membawa pasukan Aberdeen.

Pengurus United telah melakukan tujuh pertukaran daripada pasukan yang tewas kepada Leeds tetapi terpaksa mengeluarkan Dimitar Berbatov kerana kecederaan lutut.

"Berbatov mengalami kecederaan lutut yang tidak serius ketika beraksi minggu lepas, saya mahu dia berehat dan kembali cergas semula.

"Kami sangat berpuas hati dengan mendapat satu mata kerana ia sangat sukar beraksi di sini, ia bukan sesuatu yang teruk mendapat satu mata.

"Ia saingan yang sengit. Saya telah mengatakan perkara ini sejak berbulan-bulan lalu, saya tidak pasti ada yang mendengarnya.

"Bertandang ke Birmingham bukan satu tugas yang mudah. Pasukan seperti Birmingham telah menunjukkan peningkatan, Alex mempunyai pemain yang boleh berlari jauh. Ia adalah kelebihan yang memberi kesukaran buat kami," katanya.

Birmingham berjaya memecah rekod 1907-08 dengan mencatatkan 12 kemenangan tanpa kalah dan hanya jaringan sendiri Scott Dann yang menghalang mereka mencatat kemenangan.

Bagaimanapun, McLeish enggan terbawa-bawa dengan rekod tersebut dan menambah bahawa terus berada di EPL adalah sasarannya, walaupun ia sudah pasti akan berlaku selepas mereka berada di tangga kelapan liga.

"Apa yang berlaku masih belum lagi muktamad kerana kami mungkin tewas dalam baki perlawanan yang lain.

"Ia adalah rekod untuk dibanggakan tetapi saya tidak tertarik dengan statistik," kata bekas pemain pertahan Scotland itu.

Pemain tengah Sporting Gijon, Michel adalah di antara tetamu yang hadir ke St Andrew dan dijangka melengkapkan perpindahan 2.75 juta pound awal minggu depan bergantung kepada ujian kecergasan. - AFP

No comments:

Post a Comment