Sunday, December 13, 2009

Tidak sabar hadapi separuh akhir


Baik Farizal Marlias mahu pun Ahmad Sharbinee Allawee, kedua-dua penjaga gol muda skuad bola sepak negara itu sudah tidak sabar berdepan dengan Laos pada saingan separuh akhir temasya Sukan SEA XXV di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional esok.

Bagaimanapun, hanya salah seorang daripada mereka akan mendapat kepercayaan daripada jurulatih, K. Rajagobal untuk menjaga gawang negara pada perlawanan tersebut.

Berdasarkan situasi terkini, Sharbinee yang tampil selaku penjaga gol kedua negara dilihat hampir pasti diberi tanggungjawab penting itu.

Sharbinee beraksi cemerlang dalam dua perlawanan sebelum ini termasuk membantu skuad negara menewaskan penyandang juara, Thailand pada aksi terakhir Kumpulan A kelmarin. Kemenangan itu membolehkan skuad negara muncul naib juara Kumpulan A sekali gus menempah pertemuan dengan Laos yang juga juara Kumpulan B.

"Syukur kerana jurulatih memberi kepercayaan kepada saya untuk berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Thailand semalam (kelmarin). Saya sebenarnya masih terkejut apabila jurulatih memberitahu bahawa saya ditugaskan menjaga gawang pada perlawanan tersebut.

"Tetapi mujur saya dapat beraksi dengan baik dan tidak banyak melakukan kesilapan. Saya betul-betul gembira kerana dapat membantu pasukan melangkah ke peringkat separuh akhir, lebih-lebih lagi kami mengalahkan Thailand dalam misi memburu tempat ke separuh akhir," kata Sharbinee ketika ditemui semalam.

Sharbinee yang membuat penampilan sulung di pentas Sukan SEA berkata, kejayaan membantu skuad negara melangkah ke separuh akhir telah menaikkan lagi semangatnya untuk menghadapi Laos yang pastinya mendapat sokongan padu daripada ribuan penyokong mereka sendiri.

"Siapa yang tidak mahu beraksi pada perlawanan separuh akhir. Saya percaya semua pemain yang ada dalam pasukan mahu beraksi pada perlawanan itu nanti. Buat masa ini, saya sendiri belum pasti diturunkan.

"Tetapi jika sekali lagi mendapat kepercayaan daripada jurulatih, saya tidak akan sia-siakan peluang ini. Ini merupakan penampilan pertama dan terakhir saya pada Sukan SEA, jadi sudah tentu saya mahu membantu skuad negara meraih pingat emas," kata pemain kelahiran Kuala Terengganu berusia 23 tahun itu.

Sementara itu, riak wajah Farizal tidak sedikit pun menampakkan dia kecewa selepas hanya berada di bangku simpanan kelmarin.

Sebaliknya, Farizal berkata, dia berbangga melihat aksi cemerlang yang ditampilkan Sharbinee.

"Dia (Sharbinee) bermain dengan baik, bukan saja ketika menentang Thailand tetapi pada perlawanan dengan Kemboja. Saya lihat dia cukup bersemangat setiap kali menjalani latihan dan tahap keyakinan dia juga tinggi walaupun kali pertama beraksi pada Sukan SEA.

"Mungkin sudah rezeki dia apabila diberikan kepercayaan oleh jurulatih berada dalam skuad negara ketika menentang Thailand. Dia telah membalas kepercayaan jurulatih dengan beraksi cemerlang dalam perlawanan lalu." kata Farizal yang menjadi penjaga gol kedua negara pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

Farizal berkata, dia dan juga Sharbinee memiliki kelebihan masing-masing dan mempunyai peluang yang seimbang untuk beraksi menentang Laos esok.

No comments:

Post a Comment