Sunday, December 13, 2009

Pembangunan bola sepak ke Kabinet

Menyedari kepentingan untuk mencari jalan bagi membangunkan bola sepak negara menyebabkan Kabinet berminat untuk membincangkan perkara itu dalam mesyuarat yang diadakan kelmarin.

Keputusan untuk membawa perkara tersebut ke mesyuarat Kabinet sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kejayaan pasukan bola sepak negara melangkah ke separuh akhir Sukan SEA XXV di Laos sekali gus menghidupkan peluang negara meraih pingat emas dalam sukan itu setelah menunggu 20 tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, daripada perbincangan tersebut, Kabinet telah mengarahkan kementeriannya bagi mencari jalan terbaik untuk membangunkan bola sepak di negara ini.

"Misalnya, kami mungkin akan mencadangkan penubuhan tabung pembangunan bola sepak negara.

"Dengan itu, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memanggil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), syarikat korporat dan media untuk berbincang serta memberikan reaksi mereka sebelum ia dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pertandingan Futsal Sempena Kem Riadah Hadhari Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, kerajaan menyedari akan kebimbangan orang ramai terhadap masa depan sukan rakyat ini.

Justeru, katanya, kerajaan telah membina lebih 800 gelanggang futsal di seluruh negara tahun ini bagi menyumbang kepada pembangunan sukan berkenaan.

"Ini jelas selari dengan gagasan 1Malaysia yang sentiasa mendahulukan rakyat serta mengutamakan kecemerlangan prestasi," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga memohon maaf kepada rakyat negara ini kerana tidak dapat memenuhi kehendak mereka yang mahu RTM menyiarkan siaran langsung bagi setiap perlawanan bola sepak negara di Sukan SEA XXV, Laos.

"Keputusan negara penganjur yang mengenakan caj tinggi dalam masa yang singkat menyebabkan RTM tidak cukup masa untuk mencari penaja ekoran mereka tidak mahu menggunakan duit rakyat untuk tujuan penyiaran ini.

"Namun, saya percaya Laos lebih terasa dengan masalah ini kerana tidak dapat menonjolkan keindahan negara mereka kepada penduduk negara peserta," katanya.

Tindakan negara penganjur yang memberikan hak penyiaran kepada sebuah syarikat dari Thailand mendapat kritikan daripada banyak pihak.

Ini kerana, syarikat berkenaan meminta bayaran yang tinggi dalam masa yang singkat sehingga menyebabkan kebanyakan negara peserta memboikot penyiaran acara sukan terbesar di rantau Asia Tenggara itu.

No comments:

Post a Comment