Wednesday, November 17, 2010

Sathia Kekal Bersama Kelantan


KOTA BHARU – Teka-teki mengenai siapa bakal pengendali pasukan Kelantan musim depan, akhirnya terjawab apabila bekas pengendali skuad kebangsaan, B Sathianathan terus diberi kepercayaan membimbing pasukan negeri ini untuk musim kedua berturut-turut.

Sathianathan, 52 tahun, jurulatih import tempatan pertama yang berjaya membawa Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali, sejak 89 tahun lalu, bagaimanapun kini masih menanti hukuman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara tindakan beliau mengeluarkan kenyataan kepada media beberapa bulan lalu.

Pada 22 Oktober lalu, pihak FAM mengenakan hukuman penggantungan selama enam bulan dan denda RM2,000 ke atas Sathianathan, namun hukuman tersebut ditangguhkan sebelum mula perlawanan akhir Piala Malaysia pada 30 Oktober setelah Sathianathan membuat rayuan kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam sidang akhbarnya dua hari lalu, mengesahkan khidmat bekas jurulatih skuad kebangsaan itu akan terus ditagih bagi melatih skuad Kelantan untuk musim depan.

“Khidmat Ketua Jurulatih Kelantan, Sathianathan yang membawa pasukan Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali akan terus dikekalkan. Saya tidak mahu beliau membuang masa (dalam menyiapkan pasukan) dan terus bekerja. Saya beri beliau cuti beberapa hari untuk beliau ke India dan selepas itu beliau harus memulakan kerja.

“Selepas itu, beliau perlu mengaturkan strategi kita bagi meremajakan pasukan. Kita tidak menyambung kontrak beberapa pemain yang kita fikirkan berkhidmat dengan baik, tetapi mereka akan digalakkan menyertai bidang kejurulatihan selepas ini.

“Majoriti pemain yang ada sekarang dikekalkan kecuali beberapa pemain. Kita membawa masuk beberapa pemain muda yang mempunyai kepantasan. Pada tahun depan, kita akan pastikan Kelantan akan mengamalkan corak permainan menyerang berasaskan kemahiran,” katanya.
Annuar berkata, satu penanda aras dilakukan dan jurulatih akan diberi tanggungjawab melaksanakan tugas tersebut bagi memastikan Kelantan mengamalkan corak permainan serangan berasas kemahiran mengawal bola, tahap stamina yang tinggi dan sebagainya.

“Untuk itu, saya akan mengambil seorang jurulatih kecergasan yang kebetulan anak Kelantan yang berkhidmat di Libya untuk dipanggil balik, bagi menjalankan satu sesi khusus sepanjang musim bagi mempertingkatkan tahap kecergasan para pemain.

“Saya juga memanggil balik dua pemain berasal Kelantan yang bermain dengan kelab lain. Mereka masih muda dan berprestasi agak baik dan saya percaya masih lagi boleh digilapkan.

“Semua pemain yang ada akan diberikan latihan kekuatan mental, pembinaan karakter selain daripada latihan-latihan biasa. Semua ini akan berjalan dalam masa dua bulan. Pada perlawanan pembukaan liga menentang Selangor bagi merebut Piala Sumbangsih nanti, kita harap peminat bola sepak Kelantan akan dapat melihat kelainan yang lebih hebat bagi pasukan Kelantan untuk musim yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Annuar turut mengumumkan mengenai rancangan Kafa untuk mewujudkan sebuah perkampungan sukan bola sepak dan akademik juara, bagi meningkatkan pembangunan bola sepak di negeri ini pada masa akan datang.

Monday, November 15, 2010

Bagaimana Kelantan 2011 ??

Ketika pasukan ternama lain sedang membina skuad impian masing-masing, senarai pemain yang bakal menggalas tugas bersama skuad bola sepak Kelantan masih lagi samar-samar.

Dengan masalah besar sedang melanda pasukan ketika ini, dikhabarkan ramai tenaga luar yang membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia bakal meninggalkan Red Warriors.

Dengan Hairudin Omar dan Akmal Rizal sudah mengesahkan nama mereka dengan pasukan lain untuk musim depan, Kelantan dijangka bakal kehilangan beberapa lagi nama besar.

Antara yang disebut-sebut turut akan mengangkat kaki ialah ketua pasukan, Indra Putra Mahayudin, Norfarhan Mohamed, Azizi Mat Rose serta S. Subramaniam.

Walaupun mendapat beberapa pemain untuk mengantikan mereka, mampukah Kelantan menjadi salah satu pasukan yang mencabar pada musim hadapan.

Dapatkah Kelantan mencabar Selangor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan yang dalam proses membina skuad impian mereka demi mencapai kejayaan dalam kancah Liga Malaysia 2011.

Tidak dinafikan kekuatan Kelantan sewaktu ini dibantu dengan kehadiran beberapa bintang namun apa yang akan terjadi seandainya mereka semua bertekad untuk tidak menyambung kontrak.

Diharapkan yang terbaik mampu dilakukan KAFA demi melihat kejayaan yang diraih tidak hilang dalam masa yang singkat.

Akmal hampir pasti milik Perak


BEKAS penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli besar kemungkinan menyarung jersi Perak dalam kancah bola sepak Liga M musim depan.

Pemain berasal dari Kedah itu yang musim ini beraksi untuk juara Piala Malaysia, Kelantan selepas mencurah kudrat di Selangor pada 2009 dijangka berada di Ipoh hari ini untuk memeterai ikatan dengan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).


Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika dihubungi mengesahkan mengenai kedatangan pemain yang pernah menimba pengalaman dengan kelab dalam Liga Perancis satu masa dulu untuk menyertai skuad bimbingan Norizan Bakar, musim ini.

“Kami akan adakan perbincangan dan jika semua lancar pemain itu akan mengikat perjanjian esok (hari ini),” katanya.


Zainol berkata, beberapa pemain termasuk dua pemain kebangsaan yang kini berada di Guangzhou dan seorang lagi pemain skuad Red Warriors juga menyatakan keinginannya menyertai Seladang.


“Dua daripada pemain itu adalah anak negeri Perak manakala seorang dari luar. Kita hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan mereka,” katanya.

Pafa sebelum ini menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman termasuk Sharulnizam Mustapa, Chan Wing Hoong, Khairi Zainuddin dan Nasril Nourdin.

Sunday, November 14, 2010

Kelantan Pancing Pemain Baru

KELANTAN dilapor mula memancing beberapa muka baru bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Beberapa pemain dikatakan hampir pasti menandatangani kontrak bersama juara Piala Malaysia itu.

Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberitahu, antara muka baru yang bakal disenaraikan adalah tiga pemain KL Plus yang menarik diri daripada saingan Liga M musim depan.

“Salah seorang pemain tersebut merupakan bekas pemain kebangsaan yang pernah menyarung jersi beberapa pasukan sebelum ini, antaranya Kedah, Pahang dan UPB-My Team.

“Kita kini dalam proses terakhir untuk membawa masuk Irwan Fadzli Idrus yang merupakan seorang pemain pertahanan kanan. Kemasukan Irwan dijangka menguatkan lagi posisi pertahanan.

“Selain Irwan, kita juga memancing seorang lagi pemain pertahanan KL Plus, Mohamad Abdul Aziz Ismail yang juga merupakan anak jati Kelantan dan kemasukan kedua-dua pemain ini membolehkan kita mempunyai beberapa pilihan untuk barisan pertahanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, Kelantan juga turut akan memperkuatkan jentera tengah dengan membawa masuk seorang lagi pemain, Reeshafiq Alwi.

Jelasnya, walaupun kombinasi sedia ada antara Badri Radzi dan Shakir Shaari dilihat semakin mantap dan serasi, kehadiran Reeshafiq akan membantu Kelantan untuk mempelbagaikan lagi corak permainan.

“Dia (Reeshafiq) pemain yang cukup kreatif serta memiliki kepantasan dan hantaran yang baik dan kita memerlukan seorang pemain yang mampu mengisi kekosongan di jentera tengah sekiranya berlaku kecederaan pemain yang sedia ada.

“Kita juga mendapat khabar gembira apabila seorang lagi anak Kelantan, Nurul Azwan Roya juga hampir pasti pulang selepas berkelana ke Johor FC,” jelasnya.

Kelantan kini dikhabarkan sedang mengintai beberapa pemain penyerang yang akan digandingkan bersama Norshahrul Idlan Talaha selepas hampir pasti kehilangan Hairuddin Omar yang akan ke Negeri Sembilan.

Dua lagi Pemain Baru Sah Milik Kelantan

Saat jiwa dan perasaan seluruh peminat The Red Warriors berdebar menanti keputusan barisan pemain Kelantan 2011, Nurul Azwan Roya dan Mohd Abdul Aziz sudah mengesahkan kehadiran mereka ke skuad baru musim depan. Dengan ini sudah 3 pemain termasuk K Soley sudah mengesahkan mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan Halim Napi, Che Hishamuddin dan Sarudy Aziz, bagi 2 lagi kekosongan yang dikatakan akan ditinggalkan oleh pemain Kelantan sedia ada akan turut disi dengan pemain baru yang akan diumumkan Tan Sri Annuar Musa nanti.Desas-desus mengenai perpindahan pemain sedia secara beramai-ramai setakat ini masih diragui kesahihannya.

sudah mengesahkan mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan Halim Napi, Che Hishamuddin dan Sarudy Aziz, bagi 2 lagi kekosongan yang dikatakan akan ditinggalkan oleh pemain Kelantan sedia ada akan turut disi dengan pemain baru yang akan diumumkan Tan Sri Annuar Musa nanti.Desas-desus mengenai perpindahan pemain sedia secara beramai-ramai setakat ini masih diragui kesahihannya.


Info Pemain - Mohd Nurul Azwan bin Roya

Nama: Mohd Nurul Azwan bin Roya
Nama gelaran: awe
Posisi Pemain: Tengah. Pemain pasukan Piala Presiden Johor FC sejak 2005, berasal dari Kelantan.

Info Pemain - Mohd Abdul Aziz Ismail

Nama: Mohd Abdul Aziz Ismail (Lahir pada tahun 1988)
Posisi Pemain : Pertahanan Pemain KL PLus sejak 2009, berasal dari Kela

Piala Emas Raja-Raja suku akhir

Kelantan 3 - 0 Perlis..

Tahniah kepada skuad Piala Emas Raja-Raja kerana berjaya menewaskan Perlis

Kelantan sedang mendahului Perlis 2-0 hasil jaringan Kharul Izuan Razali dan Solahudin

Separuh masa pertama Kelantan sedang mendahului Perlis 1-0

Wednesday, November 3, 2010

Annuar mahu berundur


KETIKA rakyat Kelantan masih bergembira dengan kejayaan skuad bola sepak negeri menamatkan penantian 89 tahun untuk menjulang Piala Malaysia, Presiden Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa pula menyatakan hasratnya untuk berundur sebagai orang nombor satu bola sepak negeri itu.

“Saya sedia berundur dan membuka peluang kepada muka baru sekiranya ada yang sanggup tampil untuk meneruskan kesinambungan dan lonjakan bola sepak di Kelantan.


“Sejak memegang jawatan ini tiga tahun lalu, saya sudah menyempurnakan transformasi dengan membawa pulang Piala Malaysia,” katanya yang juga adalah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Menurutnya lagi mesyuarat agung tahunan KAFA akan diadakan sebelum penghujung Disember ini untuk memilih jawatankuasa yang baru bagi penggal baru untuk tempoh tiga tahun.


“Saya sudah memaklumkan kepada ahli gabungan agar mencadangkan secara terbuka sesiapa saja yang difikirkan layak untuk memegang jawatan itu bagi kerana sesebuah persatuan tidak boleh dikuasai oleh individu tertentu saja,” jelasnya.


Annuar bagaimanapun berkata beliau belum membuat keputusan sama ada meneruskan khidmat atau sebaliknya sekiranya tiada individu yang tampil atau dicalonkan oleh ahli gabungan pada mesyuarat itu nanti.

“Saya belum membuat keputusan malah masih banyak lagi masa iaitu kira-kira dua bulan untuk menyelesaikan perkara ini,” tambahnya yang belum ingin mengumumkan bonus kepada skuad Kelantan namun sudah menyatakan hasrat untuk mengekalkan jurulatih B Sathianathan dan kebanyakan pemain skuad The Red Warriors itu.


Hasrat Annuar untuk berundur itu juga mungkin kerana ‘bebanannya’ yang semakin bertambah selepas dipilih sebagai Timbalan Presiden FAM baru-baru ini yang memerlukan komitmen tinggi selain dilantik sebagai pengerusi Malaysian Super League (MSL) dan jawatankuasa bola sepak wanita.

Malah, Annuar menegaskan Liga Super akan berwajah baru pada 2012 selepas mendapat banyak pandangan daripada penaja, pemain, aktivis sukan dan sebagainya.


“Saingan Liga Super 2011 akan menjadi musim peralihan dengan beberapa peraturan dan kriteria baru dari segi komposisi pemain, pengurusan, kewangan dan sebagainya akan dilaksanakan supaya setiap pasukan yang bersaing dapat bersedia untuk memenuhinya.


“Malah, kami melihat Liga Super tidak lagi berdasarkan kuantiti tetapi daripada segi kualiti selain keutamaan kepada skuad kebangsaan kerana pada masa ini pemain terpaksa berhadapan jadual ketat dan risiko kecederaan yang turut menjejaskan persiapan skuad kebangsaan bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.


Annuar juga berkata, FAM ingin merubah Liga Malaysia yang kini hanya bernilai RM18 juta kepada sekurang-kurangnya RM40, selain memberikan pulangan sepatutnya kepada pelabur kerana badan induk bola sepak itu tidak lagi boleh bergantung kepada penajaan bersifat ehsan atau arahan berdasarkan kepentingan politik.


“Ketika saya mengambil alih KAFA tiga tahun lalu kutipan tiket hanya berjumlah RM170,000 bagi satu musim namun semuanya berubah kerana kini badan induk bola Kelantan itu kini memperoleh kira-kira RM3 juta,” katanya

Norshahrul terbaik


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 yang berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya tengah hari semalam.

Selain itu, Norshahrul yang juga penyerang kebangsaan merangkul satu lagi anugerah iaitu Penyerang Terbaik, menewaskan calon-calon lain terdiri daripada Safee Sali, Ashaari Shamsuddin, Azlan Ismail dan Zamri Hassan.

Rakan sepasukan Norshahrul dalam skuad kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat turut merangkul dua anugerah iaitu Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Dua lagi tonggak skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak dari Negeri Sembilan dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik manakala Baddrol Bakhtiar dari Kedah menerima anugerah Pemain Tengah Terbaik.

Bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan pula dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik setelah berjaya membawa Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama musim ini.

Tiga anugerah lain menyaksikan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dipilih sebagai Persatuan Bola Sepak (FA) Negeri Terbaik, Johor FC sebagai Kelab Bola Sepak (FC) Terbaik dan Kedah sebagai Kelab Penyokong Terbaik.

Norshahrul, 24, yang berasal dari Besut, Terengganu, menganggap anugerah tertinggi yang diperolehnya itu adalah hasil penat lelah dan perjuangannya sepanjang musim ini.

“Pengorbanan saya berbaloi. Anugerah ini adalah untuk isteri saya dan semua jurulatih yang pernah membimbing saya selama ini. Ia pasti membakar semangat saya untuk terus beraksi cemerlang pada Sukan Asia nanti.

“Tentang haluan musim depan, besar kemungkinan saya akan terus kekal bersama Kelantan biarpun ada menerima tawaran daripada Selangor, Negeri Sembilan dan Perak,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis tersebut semalam.

Selain trofi, Norshahrul turut menerima wang tunai RM3,000 untuk anugerah MVP.

Pemenang untuk anugerah lain masing-masingnya menerima wang tunai RM500 setiap seorang. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., James Teo.

Monday, November 1, 2010

Piala Malaysia Dibawa Ke Kelantan Hari Ini



KUALA LUMPUR – Tarikh 1 November 2010 pada hari ini bakal menjadi detik bersejarah dalam dimensi bola sepak Kelantan apabila buat pertama kalinya, Piala Malaysia yang dimenangi oleh pasukan The Red Warriors akan menjejaki bumi negeri Kelantan Darul Naim.

Sambutan besar-besaran dijangka menanti kepulangan barisan wira pasukan Kelantan yang gah menjulang trofi Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu dan dijangka tiba di ibu negeri, Kota Bharu petang ini.

Bukan melalui jalan laut, bukan juga jalan udara tetapi piala keagungan bola sepak negara itu akan mengharungi perjalanan jalan darat sejauh hampir 500 kilometer dan selama hampir 12 jam bermula dari Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, hotel penginapan pasukan Kelantan sebelum dijadualkan tiba di Kota Bharu pada jam 6.30 petang ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, buat pertama kalinya, trofi Piala Malaysia itu akan dibawa pulang ke bumi negeri Kelantan pada hari ini.

“Esok (hari ini) tercatat satu sejarah baru dalam kalendar bola sepak Kelantan apabila buat pertama kalinya, piala paling berprestij itu akan dibawa pulang ke Kelantan. Barisan wira pasukan Kelantan akan bertolak pulang tepat jam tujuh pagi esok (hari ini) dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita dijangka singgah di Gua Musang sekitar 12 tengahari dan akan solat berjemaah serta makan tengahari disitu sebelum menyambung perjalanan pulang ke Kota Bharu.

“Kita dijangka tiba di pekan Kok Lanas sekitar jam empat petang. Sekiranya keadaan cuaca elok, barisan pemain akan menaiki bas tanpa bumbung ke Kota Bharu. Bermula dari situ, mereka dijangka diiringi puluhan buah motosikal berkuasa tinggi serta ahli kelab Ferrari Kelantan sambil di ikuti beberapa lori yang akan melakukan paluan gendang serta dikir barat secara bergerak sepanjang jalan ke Kota Bharu.

Annuar berkata, setibanya rombongan mereka di Kota Bharu pada jam lima petang, mereka akan mengelilingi beberapa batang jalan di bandar buat beberapa ketika sebelum berhenti di dataran di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV.




“Disitu para peminat bola sepak Kelantan boleh melihat secara dekat trofi keagungan bola sepak negara itu. Saya menyeru peminat Kelantan hadir beramai-ramai ke stadium bagi menyambut kepulangan barisan wira Kelantan nanti.

“Rombongan akan bertolak tepat jam 6.30 petang menuju ke kediaman saya di SriPuri, Bukit Marak bagi tujuan solat Maghrib berjemaah,” katanya.

Khairul Fahmi calon pilihan


SEIRING dengan slogan 100- PLUS, Outdo Yourself, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat berjaya membuktikan bahawa dia sememangnya calon paling layak untuk merangkul anugerah Pemain Muda Terbaik 2010.

Namun, keputusan pemenang bagi kategori itu serta be- berapa kategori lain hanya akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 yang akan berlangsung di Hotel Hilton Petaling Jaya tengah hari esok.

Khairul, 21, telah beraksi cemerlang biarpun tewas menerusi sepakan penalti pada awal permainan untuk membantu Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 malam kelmarin.

"Selepas kami ketinggalan menerusi sepakan penalti, ia membuatkan kami semakin bersemangat untuk bangkit memenangi perlawanan. Ia jelas kelihatan apabila kami berjaya menguasai permainan selepas itu.

"Ia pengalaman pertama buat saya beraksi di pentas final. Suasana cukup gamat di hadapan puluhan ribu penonton. Dibolosi awal membuatkan saya bertekad untuk terus bekerja keras menga- wal pintu gol.

"Bila dicalonkan untuk anugerah ini pula, ia sesuatu yang bagus buat diri saya dan seorang lagi calon iaitu Faizal Abu Bakar (penyerang Kedah).

Saya cukup gembira kerana berpeluang beraksi dalam banyak perlawanan sepanjang musim ini," kata pemain kelahiran Kota Bharu itu.

Biarpun masih baru dalam skuad kebangsaan, Khairul yang memasang impian untuk beraksi bersama kelab Jerman, Bayern Munich suatu hari nanti kini sedang memburu tempat berada dalam skuad ke Piala AFF Suzuki 2010 yang akan berlangsung awal Disember depan.

Sementara itu, pemain tengah Kelantan, Badhri Radzi telah dipilih sebagai pemenang anugerah 100PLUS Outdo Yourself malam kelmarin selepas dia menjaringkan gol kemenangan Kelantan pada perlawanan tersebut.

Bagi memastikan hanya yang terbaik dipilih sebagai pemenang pada majlis anugerah yang akan berlangsung esok, panel pemili- han kali ini terdiri daripada para jurulatih, ahli-ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) serta pegawai dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).