Wednesday, November 17, 2010

Sathia Kekal Bersama Kelantan


KOTA BHARU – Teka-teki mengenai siapa bakal pengendali pasukan Kelantan musim depan, akhirnya terjawab apabila bekas pengendali skuad kebangsaan, B Sathianathan terus diberi kepercayaan membimbing pasukan negeri ini untuk musim kedua berturut-turut.

Sathianathan, 52 tahun, jurulatih import tempatan pertama yang berjaya membawa Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali, sejak 89 tahun lalu, bagaimanapun kini masih menanti hukuman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara tindakan beliau mengeluarkan kenyataan kepada media beberapa bulan lalu.

Pada 22 Oktober lalu, pihak FAM mengenakan hukuman penggantungan selama enam bulan dan denda RM2,000 ke atas Sathianathan, namun hukuman tersebut ditangguhkan sebelum mula perlawanan akhir Piala Malaysia pada 30 Oktober setelah Sathianathan membuat rayuan kepada badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam sidang akhbarnya dua hari lalu, mengesahkan khidmat bekas jurulatih skuad kebangsaan itu akan terus ditagih bagi melatih skuad Kelantan untuk musim depan.

“Khidmat Ketua Jurulatih Kelantan, Sathianathan yang membawa pasukan Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali akan terus dikekalkan. Saya tidak mahu beliau membuang masa (dalam menyiapkan pasukan) dan terus bekerja. Saya beri beliau cuti beberapa hari untuk beliau ke India dan selepas itu beliau harus memulakan kerja.

“Selepas itu, beliau perlu mengaturkan strategi kita bagi meremajakan pasukan. Kita tidak menyambung kontrak beberapa pemain yang kita fikirkan berkhidmat dengan baik, tetapi mereka akan digalakkan menyertai bidang kejurulatihan selepas ini.

“Majoriti pemain yang ada sekarang dikekalkan kecuali beberapa pemain. Kita membawa masuk beberapa pemain muda yang mempunyai kepantasan. Pada tahun depan, kita akan pastikan Kelantan akan mengamalkan corak permainan menyerang berasaskan kemahiran,” katanya.
Annuar berkata, satu penanda aras dilakukan dan jurulatih akan diberi tanggungjawab melaksanakan tugas tersebut bagi memastikan Kelantan mengamalkan corak permainan serangan berasas kemahiran mengawal bola, tahap stamina yang tinggi dan sebagainya.

“Untuk itu, saya akan mengambil seorang jurulatih kecergasan yang kebetulan anak Kelantan yang berkhidmat di Libya untuk dipanggil balik, bagi menjalankan satu sesi khusus sepanjang musim bagi mempertingkatkan tahap kecergasan para pemain.

“Saya juga memanggil balik dua pemain berasal Kelantan yang bermain dengan kelab lain. Mereka masih muda dan berprestasi agak baik dan saya percaya masih lagi boleh digilapkan.

“Semua pemain yang ada akan diberikan latihan kekuatan mental, pembinaan karakter selain daripada latihan-latihan biasa. Semua ini akan berjalan dalam masa dua bulan. Pada perlawanan pembukaan liga menentang Selangor bagi merebut Piala Sumbangsih nanti, kita harap peminat bola sepak Kelantan akan dapat melihat kelainan yang lebih hebat bagi pasukan Kelantan untuk musim yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Annuar turut mengumumkan mengenai rancangan Kafa untuk mewujudkan sebuah perkampungan sukan bola sepak dan akademik juara, bagi meningkatkan pembangunan bola sepak di negeri ini pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment