Saturday, May 15, 2010

Kijang @ Penyu Menangis?


Kelantan telah pun mengesan segala kegoyahan dan kelemahan barisan pertahan sejak dikejutkan Pahang, namun bagi jurulatih B. Sathianathan kemenangan keatas Johor 4-1 tidak akan dijadikan penanda aras kebangkitan Kelantan kerana situasinya akan berbeza ketika pertarungan dengan Terengganu nanti. Barisan pemain utama pada perlawanan Johor akan dikekalkan dan berharap Che Hishamudin dapat diturunkan. Kelincahan Mohd Badhri @ Piya, Indra dan Norshahrul sudah pasti akan ditambat oleh barisan pertahanan Terengganu, kepakaran Akmal dan Hairuddin dalam mengatur jaringan gol amat ditagih oleh semua peminat. Ramai penyokong kecewa dengan peningkatan mendadak kadar bolos gol sejak 3 perlawanan lepas sudah 5 gol dibolosi berbanding 4 gol bolos untuk 13 perlawanan. Ini menampakkan kemerosotan skuad pertahanan Kelantan yang amat ketara, sudah pasti tugasan berat bakal menanti Azizi, Daudsu dan Subra memastikan barisan pertahanan kental dengan asakan Terengganu pada malam esok. Penyokong juga berterima kasih dan mengucapkan tahniah diatas pemilihan Khairul Fahmi Che Mat selaku antara 3 penjaga gol negara yang akan diterbangkan ke Turki 10-20 Jun nanti, ternyata kehebatan Khairul Fahmi mula dihidu sejak ketangkasannya dalam pertemuan dengan Negeri Sembilan.

Kerancakan perlawanan malam esok sudah mula dirasai apabila telah ramai para penyokong mengintai kaunter tiket stadium pada hari ini ,setelah melihat kawasan luar stadium dipenuhi ramai peminat motor berkuasa tinggi yang disangkakan penyokong sedang menunggu kaunter tiket dibuka. Situasi kemeriahan dan kefanatikan tidak dapat dirasai dimana-mana stadium di Malaysia namun di Kelantan ianya telah menjadi satu kebiasaan dan kemestian bagi penyokong setia menunjukan kesetiaan dan semangat mereka kepada skuad kesayangan The Red Warriors. Konti media RTM baru sahaja menghubungi TRWC mengesahkan perlawanan pada malam esok akan disiarkan secara langsung melalui saluran TV1. Para penyokong yang tidak berkesempatan balik bolehlah menyaksikan dan memeriahkan perlawanan ini bersama penyokong yang lain dengan pergi ke lokasi-lokasi yang dijemput oleh kelab-kelab penyokong.

TRW FM juga akan menyiarkan secara langsung bagi peminat di luar negara melalui frenkuensi radio internetnya. Diharap semua peminat dapat memenuhi stadium lebih awal dan memakai pakaian kostum yang menarik bagi memastikan diri anda akan menjadi fokus tarikan kepada juru foto yang sudah pasti akan berlumba-lumba mengambil gambar sempena pertandingan Fotografi KAFA-TRWC 2010 yang sedang berlangsung. Kepada jurufoto diharap tidak melanggar batas sempadan yang ditetapkan pihak stadium tanpa pas media yang dibenarkan. Sama-sama kita doakan kemenangan kepada skuad kita pada malam esok dan memastikan Terengganu terus menangis dibumi kita. Penyokong Kelantan diminta mengelakkan sebarang provokasi, elakkan membawa mercun dan senjata yang berbahaya kerana Pihak KAFA telah berkerjasama dengan pihak keselamatan untuk menjamin keselamatan semua penyokong Kelantan dan Terengganu yang hadir. AYUH KITA PERGI KE STADIUM MEMBERI SORAKAN PADU GOMO KELATE GOMO KEPADA SKUAD THE RED WARRIORS.....KITA AKAN CAPAI PERSADA LIGA...

Sunday, May 9, 2010

Momentum Kemenangan Kelantan Berjaya Disekat Pahang


Ternyata Pahang begitu hebat di gelanggang sendiri dan berjaya memanfaatkan peluang yang diberikan dek kerana kealpaan barisan pertahanan Kelantan yang pada mulanya dilihat sudah selesa dengan jaringan Norfarhan seawal minit ke 6. Namun jaringan awal Kelantan ini tidak berjaya melemahkan semangat juang Pahang untuk terus memburu kemenangan di separuh masa pertama melalui jaringan Azamuddin di minit ke 34 dan Hasmizan di minit ke 37 dan 46. Melihat prestasi semasa The Red Warriors amat baik, cuma taktikal yang dirancang berjaya dihidu lawan sehingga membataskan pergerakan Norshahrul dan penyerang lain. Banyak kesilapan dan kecuaian dikesan dibarisan pertahanan menyebabkan Pahang dengan mudah memanfaatkan peluang jaringan 3 gol. Aksi-aksi kehebatan Pahang ini juga dibantu pengadil yang dilihat terlalu memihak kepada Pahang dan beberapa siri lakonan "sakit Hamstring" pemain Pahang yang berjaya membantut kerancakan aksi pemain The Red Warriors.

Terima kasih dan tahniah buat ketua jurulatih "Abe Ya" yang secara pantas mengubah taktikal kepada 4-3-3 pada 10 minit terakhir dan berjaya membuahkan hasil drastik yang luar biasa, yang mana situasi seperti ini hanya biasa dilihat dalam liga-liga eropah. Tahniah kepada peminat sungguhpun suasana berada dalam keadaan nyaris tewas, para penyokong masih lagi bersemangat merangsang semangat para pemain sehinggakan S Chanturu yang berjaya menjaringkan gol kedua dengan spontan dan pantas membawa lari bola yang berada digawang bagi memanfaatkan masa dan mempercepatkan aksi. Salah seorang peminat yang menyaksikan aksi ini melelehkan airmata kerana terharu dengan semangat juang S Chanturu.

Ramai pemerhati kagum dengan persembahan dan semangat juang para pemain, namun khuatir dengan prestasi ini. Pihak Pengurusan dengan nada serius akan menyaksikan ulang tayang perlawanan dan akan mengkaji kelemahan perlawanan ini sungguhpun Pahang bermain dengan baik. Diharap para peminat yang menyaksikan perlawanan ini dapat berkongsikan kelemahan yang dilihat dan meluahkannya di Facebook The Red Warriors.

Gelagat penyokong yang terlalu teruja meraikan keputusan ini menjadi bualan hangat peserta konvoi apabila ada dikalangan penyokong menukar bendera Pahang di tiang stadium dengan bendera Kelantan dan bersorak beramai-ramai seolah-olah meraikan kemenangan Piala Malaysia. Mungkin detik-detik cemas dan ceria seperti akan menjadi pengalaman yang berharga dalam mengharungi pusing kedua pertama TM Liga Super 2010.

Wednesday, May 5, 2010

Hairuddin Julang Skuad Warrior's


KELANTAN 2
Norshahrul Idlan Talaha (m-42)
Hairuddin Omar (m-71)

PAHANG 1
Nik Zul Aziz Nawawi (m53)

KOTA BHARU – Hairuddin Omar muncul wira The Red Warrior’s apabila jaringan melalui tandukan cantiknya pada minit ke-71 memastikan Kelantan mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Pahang pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam tadi.
Seawal minit pertama, Akmal Rizal hampir meletakkan Kelantan dihadapan apabila rembatan jarak jauhnya mengenai palang pintu gol Pahang.

Perlawanan selepas itu lebih dikuasai oleh pasukan Kelantan walaupun jentera tengah dilihat tidak berupaya menembusi benteng pertahanan pasukan pelawat.

Minit ke-38, 39 dan 41 menyaksikan Kelantan memperolehi peluang terbaik melalui percubaan Muhd Badhri Radzi, Norshahrul Idlan Talaha dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli tetapi tersasar.

Satu-satunya peluang terbaik pasukan Pahang untuk menjaringkan gol hadir pada minit ke-40 apabila percubaan Azamuddin Mohd Akil ditepis Khairul Fahmi Che Mat

Kelantan membuka tirai jaringan pada minit ke-42 apabila hantaran lintang daripada sebelah kiri pintu gol Pahang oleh Akmal Rizal disambut dengan tolakan mudah Norshahrul Idlan Talaha menewaskan Mohd Rosfaizul Azuar Ali.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat yang mempamerkan aksi bertenaga memperolehi gol penyamaan pada minit ke-53.

Pemain tengah Pahang, Nik Zul Aziz Nawawi berjaya mengelecek dua pemain pertahanan Kelantan seterusnya merembat masuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Minit ke-71, penyerang gantian, Hairuddin Omar menggamatkan hampir 20 ribu penyokong setia Kelantan apabila menanduk masuk hantaran lintang Muhd Badhri Radzi.

Manakala gerakan satu-dua Norshahrul Idlan dan S Chanturu pada minit ke-83 menyaksikan S Chanturu menyepak lemah ke pintu gol Kelantan.

Norshahrul Idlan sekali lagi mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan selesa dihadapan tetapi rembatannya pada minit ke-85 mengenai tiang gol pasukan Pahang.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail (Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid), Azizi Matt Rose, S Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Muhd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin (KP), Wan Zaman Wan Mustapha, Mohd Norfarhan Muhammad (S Chanturu), Norshahrul Idlan Talaha dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Hairuddin Omar).

FORMASI : 4-4-2

PAHANG : Mohd Rosfaizul Azuar Ali, Yosri Derma Raju, Muhammad Syawal Norsam, Hasmizan Kamarodin, R Surendran (Abd Rahman Abd Kadir), Mohd Hazri Rozali, Mohd Shahrizan Salleh (KP) (Mohd Fadzirul Zakaria), Mohd Fazli Baharudin, Nik Zul Aziz Nawawi, R Kartigesu (Famirul Asraf Sayuti) dan Azamuddin Mohd Akil.

FORMASI : 4-5-1

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (3) Pahang (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (15) Pahang (4)
Sepakan sudut : Kelantan (4) Pahang (2)
Sepakan percuma : Kelantan (9) Pahang (16)
Offsaid : Kelantan (3) Pahang (4)
Kekasaran : Kelantan (14) Pahang (5)
Kad kuning : Pahang (Mohd Hazri Rozali)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : 2 minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Pahang (45%)

Thursday, April 29, 2010

Kemeriahan Baju Merah Dikagumi, Dicemburui dan Digeruni



Kehebatan sokongan penyokong The Red Warriors sememang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana penyokong pasukan dari pantai barat mahupun pantai timur walaupun dilabelkan terlalu fanatik, ganas, miskin, mundur dan kurang hiburan, penyokong The Red Warriors tidak ambil peduli tentang apa yang dilabelkan pada mereka kerana apa yang penting kemeriahan ini dilakukan dengan ikhlas dan semangat yang jujur.

DIKAGUMI:
Penyokong Kelantan satu-satunya penyokong yang mampu mengekalkan jumlah kehadiran lebih 10 ribu setiap perlawanan di stadium utama pasukan sejak 2009 hingga sekarang. Kebanjiran penyokong berbaju merah sudah menjadi bualan hangat penyokong negeri lain yang begitu kagum dengan semangat kenegerian yang ada dalam jiwa seluruh penyokong Kelantan. Sikap buruk segelintir penyokong yang menjadi igaun ngeri penyokong Kelantan lain telah mula terhapus, suasana stadium ceria dengan sorakan dan paluan gendang Kelab penyokong serta jeritan si gadis-gadis yang makin ramai memenuhi stadium. Agak sukar untuk menghapuskan sikap prejudis rakyat Malaysia terhadap penyokong Kelantan kerana hanya perkara buruk sahaja dihebohkan berulang-ulang kali di media sedangkan setelah 11 perlawanan TM Liga Super 2010 berlangsung perkara baik dan sikap menyerupai penyokong liga eropah tidak pula dihebohkan.

Kemajuan dan kehebatan penyokong The Red Warriors bukan sekadar di stadium malah di ruang siber, sekiranya dilihat pada jumlah ahli Facebook di semua kelab penyokong ternyata Kelantan masih mendahului. Selain itu terdapat kemajuan yang belum pernah diusahakan oleh pasukan lain di Malaysia iaitu kemajuan dalam menerajui siaran langsung melalui internet yang diusahakan KAFA sejak 5 perlawanan Kelantan di luar Kelantan mendapat respon yang baik dari peminat walaupun kualiti masih diperingkat percubaan dan menghadapi masalah kelajuan internet di Malaysia yang masih dalam lingkungan 1 mbps kerana kualiti untuk siaran langsung melalui internet memerlukan capaian kelajuan lebih daripada 4 mbps. Kelemahan ini tidak menjadi masalah untuk skuad TRWC memberi laporan secara langsung kepada peminat yang berada diluar stadium seluruh dunia. Percubaan berani ini telah menjadikan laman web ini adalah web rasmi pasukan bolasepak pertama yang mempunyai liputan secara langsung melalui video dan audio di web di Malaysia dan tidak mustahil ianya akan menjadi ikutan web-web pasukan bolasepak negeri lain melalui respon yang diperolehi konti TRWC dari panggilan pasukan-pasukan dan kelab negeri lain.

Keluaran lebih 50 jenis produk sendiri berjenama WARRIORS mendapat sambutan hangat di kalangan penyokong setia Kelantan. Sambutan hangat ini mengatasi jumlah produk yang dikeluarkan sehingga ada yang terpaksa membuat tempahan awal dan sanggup membeli dengan harga yang mahal. Di kala peminat bolasepak dihebohkan dengan produk keluaran piala dunia 2010, produk KAFA tetap dihati dan menjadi pilihan utama. Hal ini juga menjadi buah mulut penyokong negeri lain yang hanya sekadar berbangga dengan produk seperti jersi, mafla, topi dan beberapa item sahaja. Pihak KAFA telah mencuba mengeluarkan pelbagai variasi jenis produk demi mencapai kepuasan semua peminat The Red Warriors. Disamping itu KAFA sedang berusaha untuk membuka kafe rasmi The Red Warriors di ibu negara dalam waktu terdekat ini.



DICEMBURUI:

Ada juga perkara yang dibuktikan penyokong The Red Warriors setaraf penyokong liga eropah dicemburui peminat lain yang memberi penilaian jakun dan sempit dengan mengatakan penyokong Kelantan tiada hiburan, tiada ASTRO dan pelbagai lagi telahan yang dilemparkan. Untuk pengetahuan masyarakat luar Kelantan, kami di Kelantan memiliki segala kemudahan yang ada termasuk kemudahan internet tanpa wayar yang disediakan oleh bukan syarikat telekomunikasi utama negera dan kalau setakat ASTRO ianya dilanggani oleh kebanyakan rumah di Kelantan. Sekiranya dinilai dari jumlah kumpulan penyokong Kelantan di Facebook, penyokong Kelantan memiliki lebih dari satu kumpulan selain Kumpulan The Red Warriors yang mana kesemuanya telah mencecah lebih 10 ribu pengikut. Penilaian-penilaian yang hendak diberikan kepada masyarakat Kelantan perlu diteliti dan dikaji sedalamnya sebelum membuat kenyataan kerana bagi masyarakat Kelantan dari fesyen hinggalah bolasepak, mereka tidak pernah menjadikan masyarakat di Malaysia sebagai ikutan dan pasti akan cuba mendahului lain dari yang lain serta meninggalkannya setelah apa yang dihasilkan menjadi ikutan atau tiruan masyarakat luar Kelantan. Dengan tidak menjadi kesalahan sekiranya mereka juga melabelkan peminat bolasepak negeri lain sudah mengambil perkara yang ditinggalkan seperti bermain mercun di stadium.

DIGERUNI:

Keberanian dan semangat kesatuan yang utuh dikalangan penyokong telah menimbulkan kegerunan penyokong luar Kelantan untuk hadir ke stadium Kota Bharu mahupun memulakan provokasi terhadap penyokong Kelantan. Namun sikap ini tidak boleh terus menjadi igauan ngeri penyokong lain dengan sentiasa meletakkan tanggapan negatif sebagai imej penyokong Kelantan. Penyokong Kelantan perlu mengekalkan imej sekarang sebagai jaminan kepada penyokong lain untuk turut serta memeriahkan kancah liga super ini. Biarlah penyokong lain gerun dengan semangat dan kemeriahan kita bukannya kerana sikap gedebe dan pencetus huru-hara. Ketika berbual-bual dengan masyarakat luar Kelantan sekarang mereka mula menyatakan seronok ke stadium melihat skuad Kelantan beraksi dan suasana kemeriahan malah ada yang bergurau tidak sanggup melihat skuad kita membelasah lawan dengan jaringan yang besar.



Walauapapun tanggapan atau pujian yang diberikan, kami menyeru semua penyokong terus memberikan sokongan setia yang tidak berbelah bagi kepada skuad kita dan berusahalah untuk memeriahkan diri di stadium mahupun di laman web ini. Hanya sorakan padu "Gomo Kelate Gomo" yang dapat mengekalkan momentum kemenangan dan sebagai bakal juara. Keunggulan kita hanya datang dari jiwa kita. Kehebatan skuad hanya datang dari pulangan yang berbaloi untuk mereka.



Sokong Biar Bijak, Dipandang Bijak, Bertindak Bijak, Main Biar Bijak..Bijak Sokmooo...Gomo Kelate Gomo

Sertai sekarang program kami.

Sunday, April 25, 2010

Masih Lagi Ledakan 3 Gol!!


Rentak dan strategi percaturan pemain yang dihasilkan oleh B. Sathiananthan dan Hashim Mustapha sememangnya berjaya kerana pasukan yang berjaya menewaskan Kedah pada selasa lepas dapat dijinakkan dengan mudah sehingga ada satu ketika pasukan Kelantan hanya bermain-main hantaran antara satu sama lain. Ketiadaan Norhafiz Zamani Misbah yang dilayan kad merah telah menambah tekanan kepada semua pemain KL Plus dan hanya paluan gendang upahan KL Plus sahaja yang sentiasa rancak menghidupkan suasana suram KL Plus. Jaringan 2 gol berturut-turut untuk 2 perlawanan dapat dijadikan hadiah daripada Norshahrul Idlan Talaha kepada kedua ibubapanya dan famili yang sering hadir menyaksikan perlawanannya. Rehat yang panjang Hairuddin telah membuahkan hasil dengan jaringan yang cantik dan ramai peminat berharap ini adalah saat kebangkitan Hairuddin yang sudah lama tidak menjaringkan gol.

Walaupun demam dan mendapat 2 suntikan rawatan demamnya, ternyata tidak menjadi penghalang buat Indra Putra untuk beraksi baik pada malam tadi. Semangat ini mengulangi semangat ketika kepalanya berdarah. Penyokong Kelantan harus berbangga dengan khidmat Indra Putra dan mahu memastikan pihak pengurusan menjaga segala urusan Indra Putra dengan baik. Perang psikologi yang dimulakan oleh Mat Zan Mat Aris ternyata memakan diri, apabila pada saat-saat akhir perlawanan hendak bermula Indra Putra masih lagi berbaju alas sejuk sehinggalah senarai nama pemain dikeluarkan mendapati nama Indra Putra turut tersenarai. Situasi ini sedikit sebanyak telah menggangu strategi yang telah diatur oleh Mat Zan Mat Aris yang lebih menumpukan kawalan pada Norshahrul Idlan dan Mohd Badhri.

Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas berkenaan perlawanan ini, beliau amat berpuas hati dengan permainan yang dipamerkan. Beliau akan memastikan momentum ini akan dapat dikekalkan ketika bertemu Pahang di Kota Bharu selasa nanti untuk penutup pusingan pertama TM Liga Super 2010 dan akan bertemu kembali Pahang di Kuantan sabtu nanti untuk permulaan pusingan kedua TM Liga Super 2010. Ucapan tahniah juga buat Azizi Mat Rose telah kali ketiga berturut-turut dinobatkan "PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN" begitu juga Khairul Fahmi penjaga muda yang beraksi cemerlang dan tenang.

Kejayaan para penyokong Kelantan menjaga imej terbaik untuk 11 perlawanan lalu sedikit tercemar pada malam tadi apabila masih ada penyokong yang membaling mercun dan membawa bendera politik yang sudah pasti bakal mengundang amaran atau denda dari FAM. Mungkin ramai penyokong masih beranggapan kenapa penyokong negeri lain boleh kenapa Kelantan tidak boleh? jawapan dari pihak kami amat mudah biarlah kita sentiasa memastikan kita terbaik dan lebih baik dari penyokong lain serta anggaplah hanya kita sahaja yang mampu mengangkat kembali imej kita sehingga digeruni dan dikagumi dari setiap sudut samada pengurusan, pemain dan penyokong. Peduli apa orang hendak kata pada kita yang pasti kita akan terus menjadi yang terbaik dan Juara semua situasi. Sikap membaling mercun yang ditunjukkan oleh si pembaling telah mengundang lawak dan marah dikalangan peminat lain kerana hanya sudut si pembaling sahaja yang kedengaran bunyi mercun dan telah mengundang bahaya kepada dirinya disebabkan pihak Polis dengan mudah dapat mencari dan mengesan si pembaling mercun itu tadi sungguhpun dilepaskan oleh pihak polis. Tindakan pihak polis sememangnya mendapat kerjasama daripada pihak KAFA kerana pihak KAFA tidak sanggup sentiasa menanggung denda disebabkan baling mercun dan membawa bendera politik. Ini bermakna pihak KAFA tidak akan bertanggungjawab dan berkompromi dengan mana-mana individu yang ditangkap.

Tahniah dan ribuan perhargaan kepada semua penyokong Kelantan kerana menjadikan kawasan sekitar dalam dan luar stadium pada malam tadi seolah-olah berada di Kota Bharu. Gelagat si Badut sujud mencium padang pada rehat separuh masa kedua telah membuat stadium riuh dengan ketawa dengan aksi selamba si badut sehinggalah dikejar rela. Fenomena kemeriahan bolasepak Kelantan tidak dapat dikecapi oleh mana-mana pasukan di Malaysia. Disamping kemajuan teknologi siaran langsung melalui yang diusahakan oleh TRWC amat membanggakan biarpun masih dalam proses peningkatan kualiti dan kelemahan sistem kelajuan internet di Malaysia yang masih belum mampu memberi impak yang baik kepada teknologi terkini yang cuba diusahakan oleh TRWC.

Sokong Biar Bijak, Dipandang Bijak, Bertindak Bijak, Main Biar Bijak...Bijak Sokmooo...Gomo Kelate Gomo

Wednesday, April 21, 2010

Baju Putih Buang Badi Seri dan bawa angka 3

Mungkin ianya sekadar kebetulan tetapi seluruh penyokong setia The Red Warriors mula teruja dan kagum dengan peningkatan prestasi yang dipamerkan, ramai menyatakan kesetiaan dan pujian kepada pasukan kesayangan mereka sekaligus menepis tanggapan negatif yang sering diberikan oleh penyokong yang kononnya setia atau dalam erti kata lain penyokong ini hanya muncul dan mengkritik ketika pasukan kalah dan senyap ketika pasukan menang, kesetiaan mereka hanya kepada kemenangan. Tidak menjadi kesalahan untuk mengkritik pasukan demi kebaikan tetapi biarlah kritikan yang berlandaskan kepada fakta yang membina.

Ketika selesai perlawanan tadi, wartawan kami sempat menemuramah 2 penyokong yang hadir, Mohd Firdaus dari Pauh Lima ketika diminta memberi ulasan pada malam ini menyatakan "saya memang dah jangka kita akan menang besar tetapi bukan 3-0, ianya 6-0 kalau S Chanturu dapat manfaat peluang dia saya rasa target saya sudah betul" manakala Wan Akmal dari Kampung Laut pula menyatakan "perlawanan malam ini tidak mencabar bagi Kelantan, sejak Kelantan dapat tewaskan Negeri Sembilan, kalau boleh nak tengok Kelantan lawan Selangor secepat yang boleh kerana Selangor pencabar dan penentu prestasi Kelantan sebenar". Ada juga menyatakan pujian kepada Norshahrul Idlan, Mohd Badhri dan Indra Putra kerana jelas kelihatan semangat dan keserasian yang diantara 3 trio ini.

Sungguhpun kemenangan demi kemenangan yang diperolehi, para pemain dan penyokong diharap tidak terlalu riak dan takbur untuk mengkritik pasukan lain dan para pemain perlu terus meningkatkan prestasi. Perlawanan sabtu nanti juga mencabar bagi skuad The Red Warriors kerana prestasi KL Plus yang sukar dijangka bagaikan tekanan kepada pakar strategi untuk membuat percaturan. Ketua Jurulatih B. Sathiananthan ketika dipadang masih sukar menunjukkan kegembiraan walaupun pasukannya menang besar pada malam ini kerana pada beliau semua tugasnya amat mencabar, tiada masa baginya untuk terlalu gembira dan biarlah senyuman gembira sebagai hadiah untuk penyokong The Red Warriors semua.

Jangan lupa jumpa The Red Warriors di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Sabtu nanti. Pihak TRWC akan cuba bergabung dengan semua kelab dan persatuan penyokong setia untuk mengadakan konvoi beramai dan berkumpul awal dengan mengadakan persembahan dikir barat, lelongan barangan dan sessi mesra bersama pada sabtu nanti. Tunggu info terkini di sini atau di FB The Red Warriors Malaysia.

Kelantan terlalu unggul buat KL

SEPERTI diduga, Kelantan tidak menghadapi masalah untuk mengutip tiga mata penuh dalam aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mohd Ke-IV malam ini.

Perlawanan yang baru berakhir itu menyaksikan Kelantan menundukkan pasukan pelawat tiga gol tanpa balas dengan dua gol dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha pada babak pertama dan satu lagi menerusi Mohd Badhri Radzi di babak kedua.
Skuad The Red Warriors memperaga aksi penuh menghiburkan terutama dalam tempoh 60 minit pertama dan seharusnya lebih banyak gol boleh disaksikan jika penyudah lebih tepat mampu dijelmakan para penggempur Red Warriors.

Begitu pun seperti kata Presiden KAFA, beliau begitu berpuashati dengan aksi dipamerkan barisan pemain Kelantan terutama sekali pada babak pertama.

Apa yang lebih menggembirakan para peminat Kelantan ialah pasukan kesayangan mereka itu memanjat satu lagi anak tangga untuk menduduki tangga ketiga Liga Super ketika ini, hasil kemenangan mengejut T-Team ke atas pasukan tangga kedua sebelum ini, Johor FC di Kuala Terengganu.

Ini bermakna selepas tiga mata penuh dikutip malam ini, menjadikan 22 mata diperolehi skuad Kelantan hanya ketinggalan satu mata di belakang Terengganu yang kini mengambil alih tempat kedua selepas menang besar 6-3 ke atas Johor.

Thursday, April 15, 2010

Tuesday, April 13, 2010

Final Piala FA 2010-Penyokong The Red Warriors Kecewa


Setelah TM Piala FA 2010 berlalu tanpa sebarang ulasan media berkaitan pembakaran mercun dan kerosakan yang dilakukan kedua-dua penyokong Kedah dan Negeri Sembilan ketika perlawanan akhir TM Piala FA 2010 seperti kebiasaan yang dihebohkan setiap kali melibatkan penyokong Kelantan telah mengundang kekecewaan peminat bolasepak Kelantan kerana pihak media dan FAM hanya membisu dengan insiden yang berlaku di kedua perlawanan separuh akhir dan akhir yang melibatkan Kedah dan Negeri Sembilan baru-baru ini.



Sikap media dan FAM ini ternyata tidak dapat membantu usaha KAFA yang telah bertungkus lumus memastikan setiap perlawanan melibatkan Kelantan bebas mercun dan kerosakan harta benda dengan memastikan kehadiran polis memantau keadaan ini. Kekecewaan mereka telah diluahkan diruangan laman sosial FACEBOOK dan forum-forum yang disediakan oleh komuniti penyokong Kelantan.

Alhamdullilah setelah beberapa siri perlawanan, penyokong Kelantan telah berjaya meninggalkan tabiat-tabiat buruk ketika perlawanan bolasepak tetapi amat malang usaha mereka tidak dihargai FAM malahan membiarkan penyokong negeri lain bebas meneruskan tabiat buruk yang ditinggalkan penyokong Kelantan ini. Penyokong Kelantan harus berbangga kerana diakui kemeriahan bolasepak dan stadium di Malaysia hilang gah dan serinya tanpa kehadiran penyokong Kelantan, pada perlawanan akhir sabtu lepas kehadiran kedua-dua penyokong belum mampu menyamai kehadiran penyokong Kelantan pada 2 perlawanan akhir tahun lepas. Mungkin sekiranya Kelantan masih berpeluang pada tahun ini ke perlawanan akhir sudah pasti bilangan penonton di stadium akan bertambah dan usaha mana-mana pihak yang cuba memperlekehkan imej penyokong Kelantan dengan lambat membuka pintu masuk, membuka hanya 1 pintu masuk dan membiarkan penyokong Kelantan berhujan di luar stadium perlu diatasi oleh pengurusan stadium Bukit Jalil.

Pihak KAFA amat berharap kekecewaan penyokong Kelantan dengan sikap media dan FAM dalam menangani isu mercun dan keganasan ini tidak akan menjejaskan sikap penyokong Kelantan yang telah berjaya berubah menjadi lebih profesional sejak 6 perlawanan TM Liga Super 2010 kebelakangan ini. Penyokong Kelantan perlu mengelakkan membawa mercun, memprovokasi dan mengelakkan memulakan siri keganasan dan vandalisme terhadap penyokong lawan dan harta benda awam. Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa sendiri berasa bangga dengan perubahan sikap yang dipamerkan oleh seluruh warga The Red Warrrios dan beliau berjanji akan sentiasa memastikan skuad The Red Warriors memberikan hadiah kemenangan kepada semua penyokong setia The Red Warriors. Beliau sendiri tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemain yang masih belum menunjukkan kesungguhan dalam skuad The Red Warriors.

Sokong Biar Bijak, Dipandang Bijak, Bertindak Bijak, Bijak Sokmooo..Main pun biar bijak.Gomo Kelate Gomo

Kelantan Waspada, Negeri Sembilan Masih Berpesta


Tugas getir menanti Kelantan apabila menentang Juara Piala FA 2010, Negeri Sembilan di Stadium Paroi, Sabtu depan.

Kelantan dijangka menghadapi situasi sukar jika dilihat pada persembahan dalam perlawanan persahabatan sebelum ini manakala Negeri Sembilan pula yang masih segar mengutip kejuaraan kedua dalam tempoh enam bulan pasti menyengat untuk membenam sang Kijang di arena sendiri.


Rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim lalu berpihak kepada Negeri Sembilan dimana mereka menewaskan Kelantan dalam saingan Liga Super dan Perlawanan Akhir Piala Malaysia manakala Red Warriors pula hanya mampu menundukkan lawan dengan penentuan jaringan tempat lawan dalam separuh akhir Piala FA.

Rekod pertemuan tidak dijadikan sandaran untuk berjaya kerana masih terdapat 90 minit yang perlu dihadapi dalam perlawanan sabtu depan.

Sehubungan dengan itu, B. Sathianathan dan para pembantu perlu bertungkus lumus menyediakan skuad terbaik untuk diturunkan dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan.

Tempoh rehat sebulan dengan melakukan tiga aksi persahabatan mungkin tidak cukup untuk memanaskan pemain sebelum sepak mula 17 April ini namun ia tidak perlu dijadikan alasan kerana selaku pihak yang bertanggungjawab, pengurusan pasukan perlu bersedia secepat mungkin untuk menghantar pasukan yang mantap.

Diberitakan, hampir semua pemain utama Kelantan bebas dari masalah kecederaan yang membelenggu dimana Syed Adney, S. Subramaniam dan Che Hishamudin sudah kembali cergas untuk diturunkan kecuali Daudsu yang masih lagi berehat setelah ditimpa kecederaan dalam perlawanan persahabatan menentang PKNS.

Negeri Sembilan pasti bersiap siaga dan tidak terlalu gembira akan kejuaraan yang dimenangi mereka kerana pertembungan dengan Kelantan pasti menonjolkan aksi serba panas dari kedua-dua pasukan.

Tambahan dengan kemahuan Sang Kijang membalas dendam kekalahan pertemuan terakhir tempoh hari, Kelantan bertandang dengan semangat tinggi untuk mencari penghormatan awal menundukkan sang juara yang baru dinobatkan.

Manakala Negeri Sembilan juga semestinya mempamerkan persembahan menyakinkan dihapadan penyokong sendiri seterusnya meneruskan pesta yang tertangguh setelah baru sahaja menjuarai satu piala.