Thursday, July 14, 2011

Rajagobal kecewa, Arsenal dedah kelemahan

Kekalahan 0-4 kepada Arsenal jelas mengecewakan jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang menyifatkan kelemahan barisan pertahanan punca utama.

Tambah beliau, Malaysia banyak menghadiahkan beberapa gol mudah kepada pihak lawan yang menyebabkan mereka terpaksa berputih mata.

''Saya kecewa dengan mutu persembahan pemain saya secara keseluruhannya tidak bermain begitu baik pada malam ini.

''Walaupun kita berjaya menghadirkan tekanan menerusi S. Kunanlan, namun barisan pertahanan seolah-olah tidur dan hasilnya kita memberikan mereka gol-gol mudah.

''Ternyata kita perlu kerja keras lagi untuk memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan supaya lebih bersedia untuk menghadapi Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Siri jelajah Asia 2011 Malaysia menentang Arsenal, semalam.

Tambah Rajagobal, selepas ini, beliau akan berjumpa dengan pemain- pemain dan berbincang supaya semangat mereka tidak akan luntur atas kekalahan besar tersebut.

''Arsenal memang pasukan yang berbeza tahapnya dengan kita, saya akui faktor berkenaan. Barisan tengah mereka bermain cukup bagus.

''Namun, kita sepatutnya memberikan tekanan semenjak sepak mula, namun sepakan penalti seolah-olah merencatkan rentak pemain saya untuk beraksi lebih baik," katanya.

Pada masa yang sama, Rajagobal berkata, beliau kini mengharapkan penyerang berbisa negara, Safee Sali segera pulih daripada kecederaan dan bersedia untuk berdepan Singapura.

''Saya kini tidak mempunyai ramai pilihan di barisan serangan dan amat berharap Safee sembuh daripada kecederaannya supaya boleh bermain ketika menentang Singapura," katanya.

Menyentuh kecederaan Aidil Zafuan, beliau memerlukan masa untuk melihat tahap kecederaannya sebelum membuat sebarang keputusan.

Arsenal kalahkan Malaysia 4-0

Malaysia tewas 0-4 kepada Arsenal dalam perlawanan persahabatan pra-musim kelab Liga Perdana England itu selepas memperolehi gol melalui sepakan penalti Aaron Ramsey, sebelum Theo Walcott, Carlos Vela dan Tomas Rosicky melengkapkan kemenangan bergaya kelab London itu di Stadium Nasional Bukit Jalil

Wednesday, July 13, 2011

Copa America: Chile benam Peru untuk juara kumpulan

Chile berjaya membenam Peru 1-0 pada pertemuan klasik bahagian Pasifik untuk muncul juara Kumpulan C pada kejohanan bola sepak Copa America, semalam.

Kedua-dua pasukan terikat dengan empat mata, dan sudah memadai untuk mara ke suku akhir.

Gol kemenangan Chile diperoleh apabila pertahanan Peru, Andre Carrillo yang tertampan bola dan kemudian menerjah jaring sendiri pada masa kecederaan.

Perlawanan itu juga menyaksikan kedua-dua pasukan bermain 10 orang apabila Jean Beausejour dari Chile dan pemain Peru, Giancarlo Carmona dilayangkan kad merah pada minit ke-60 oleh pengadil dari Brazil, Salvio Fagundes.

Import kembali, format kekal


FORMAT Liga Malaysia (Liga M) 2012 kekal sebagaimana yang berlangsung musim ini. Ini bermakna 14 pasukan akan bersaing dalam kempen Liga Su- per, manakala 12 pasukan berentap pada saingan Liga Premier.

Namun pembaharuan yang bakal berlaku pada saingan Liga M musim depan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan khidmat dua pemain import bagi setiap pasukan.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Menurut Tengku Abdullah, seba- rang perubahan format Liga M hanya akan dibuat pada musim 2013 dan keputusan mengenainya bakal dimuktamadkan Disember depan iaitu sebelum sepak mula musim 2012.

“Jawatankuasa (Eksekutif FAM) telah memutuskan untuk kekal dengan format 14 pasukan (Liga Su- per).

“Menjelang Disember depan, kita akan tetapkan pula format bagi musim 2013 sama ada terus kekal 14 pasukan atau dikurangkan kepada 12 atau 10 pasukan.

“Kita perlu lihat dari semua aspek seperti infrastruktur dan kewa- ngan setiap pasukan. Kalau boleh, kita nak banyak pasukan tetapi mereka ini perlu serius dalam pengendalian pasukan,” kata Tengku Abdullah pada sidang media sele- pas mesyuarat itu.

Dengan pengekalan format tersebut, dua pasukan teratas Liga Premier musim ini, PKNS dan Sarawak akan beraksi pada Liga Super 2012, manakala dua pasukan tercorot Liga Super, Pahang dan Perlis bakal turun ke Liga Premier 2012.

Ia pasti sejarah buat Pahang yang akhirnya turun ke Liga Divisyen Dua buat pertama kali sejak 1989 setelah beberapa kali ‘diselamatkan’ oleh perubahan format oleh FAM dan penarikan diri pasukan lain.

Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) menjelaskan bahawa pemain-pemain import yang kini beraksi di liga sekitar Asia Tenggara perlu beraksi dua musim di luar sebelum boleh menyertai Liga M.

“Syarat dua pemain import ini juga bukan wajib untuk setiap pasu- kan tetapi hanya kepada pasukan yang berkemampuan serta tidak mempunyai tunggakan gaji atau caruman KW- SP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

“Kriteria pemain import pula, pemain dari Asia Tenggara perlulah seorang pemain kebangsaan, pemain dari Asia perlulah yang beraksi dalam Liga Divisyen Satu, manakala pemain dari Eropah, Afrika atau Amerika Selatan perlulah yang beraksi sekurang-kurangnya di Liga Divisyen Dua,” jelas Hamidin.

Kali terakhir khidmat pemain import dibenarkan dalam saingan Liga M ialah pada 2008 dan sepanjang tiga musim lalu iaitu 2009, 2010 dan 2011, Liga M berlangsung dengan seratus peratus pemain tempatan.

Hamidin turut memberitahu bahawa skuad Harimau Muda A sah menarik diri untuk saingan Piala Malaysia musim ini dan tempat mereka bakal digantikan sama ada Pahang atau Sime Darby yang akan bertemu pada aksi playoff, 19 dan 22 Julai ini.

“Undian Piala Malaysia akan diadakan pada 3 Ogos depan, mana- kala saingan akan bermula pada September iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri,” ujar Hamidin.

Awas Gunners!


Status selaku gergasi Liga Perdana England - Arsenal bukan sesuatu yang menakutkan buat kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yang menyeru rakan sepasukannya agar mempersembahkan aksi terbaik malam ini.

Menjadikan pengalaman berdepan Manchester United dua tahun lepas sebagai pengalaman terbaik, perancang utama pasukan negara itu yakin Malaysia mampu membuat kejutan ke atas Arsenal.

''Ya, memang benar mereka mempunyai ramai pemain bertaraf dunia tetapi jangan terlalu awal menidakkan peluang kami untuk menyaingi Arsenal.

''Namun, saya harap rakan sepasukan boleh membuktikan sesuatu dan jangan terlalu menghormati lawan dalam perlawanan esok (hari ini).

''Selain itu, apa yang penting, berhadapan dengan pasukan lawan seperti Arsenal, kami boleh dapat belajar sesuatu daripada cara permainan mereka.

''Kami harus mengambil kesempatan terbaik ini, ramai pemain luar di sana mahu berhadapan dengan pasukan yang hebat seperti Arsenal, jadi saya berjanji akan menampilkan persembahan terbaik," katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional, semalam.

Skuad negara yang kini dalam rangka persiapan menghadapi Singapura pada kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini juga dijadual berdepan Liverpool pada 16 Julai ini.

Bagi penyerang, Abdul Hadi Yahaya yang dijangka menjadi pilihan utama jurulatih Datuk K. Rajagobal untuk digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha selepas kecederaan Safee Sali, mengakui dia sudah tidak sabar lagi beraksi pada hari ini jika diberikan peluang.

''Menjelang perlawanan berhadapan dengan Singapura, saya anggap ini adalah persiapan paling bagus untuk meningkatkan keyakinan kami.

''InsyaAllah, jika diberikan peluang turun, saya berharap dapat menjaringkan gol untuk pasukan negara," katanya yang merupakan penyokong setia pasukan Chelsea.

Pada perlawanan hari ini, Rajagobal dijangka menurunkan Mohd. Shakir Shaari untuk beraksi di bahagian tengah bersama Safiq.

Khairul Fahmi Che Mat juga akan kembali mengawal gawang negara daripada Sharbinee Allawee selepas pulih daripada kecederaan bahu.

Tuesday, July 12, 2011

Exco FAM jadi tumpuan

MESYUARAT Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini menjadi tumpuan apabila bakal mencorakkan perjalanan Liga Malaysia 2012 dan 2013 dengan beberapa keputusan penting dinanti-nantikan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam arena bola sepak tempatan bakal diputuskan.

Antaranya adalah jumlah sebenar pasukan yang bersaing dalam Liga Super dan Perdana 2012 selepas ada laporan mengatakan berlaku perubahan terutamanya membabitkan jumlah pasukan dinaikkan ke Liga Super serta yang bakal turun beraksi di Liga Perdana.


Mengikut amalan biasa, tempat Selangor PKNS dan Sarawak yang bergelar juara dan naib juara Liga Perdana 2011 sepatutnya sudah terjamin untuk layak ke Liga Super 2012, namun hingga kini kedudukan mereka masih tidak terjamin, begitu juga dua pasukan terbawah Liga Super yang sepatutnya turun ke Liga Perdana.

Selangor PKNS dan Sarawak bagaimanapun perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya FAM memutuskan untuk mengurangkan jumlah pasukan Liga Super kerana mungkin perlawanan play-off akan menjadi penentu namun apa juga keputusan yang diambil, ia perlu dipatuhi sekiranya mahu terus bersaing dalam kancah bola sepak tempatan.


Satu lagi keputusan yang bakal mendapat perhatian adalah cadangan menggunakan semula khidmat pemain import selepas mengharamkannya bermula musim 2009.


Apapun keputusan ini pastinya sukar untuk diputuskan selepas menyaksikan perkembangan positif membabitkan pemain tempatan yang mampu bersaing di pentas antarabangsa sehingga meraih pingat emas Sukan Sea 2009 dan Piala AFF 2010 selain jumlah peminat tempatan yang meningkat di stadium memberikan sokongan.

Namun daripada satu segi pula, khidmat pemain import berkualiti diperlukan untuk menaikkan lagi mutu liga tempatan selain memastikan pasukan tempatan boleh bersaing di pentas lebih tinggi dan tidak boleh berbangga sebagai ‘jaguh kampung’ saja. Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa (gambar) ketika ditanya mengenai mesyuarat exco kali ketiga itu menjelaskan banyak perkara yang bersifat dasar dan strategik perlu diputuskan untuk menjadikan liga tempatan antara yang terbaik di rantau ini.


“Saya juga berpendapat status pasukan yang dinaikkan serta diturunkan perlu dibuat awal supaya adil kepada semua pasukan bersaing. Begitu juga dengan pemain import, jika kita lambat membuat keputusan tenaga import yang kita dapat adalah dari kalangan mereka yang tidak mendapat kontrak dengan pasukan lain.

“Selain itu aspek penajaan juga perlu diambil kira kerana ia bukan membabitkan soal wang ringgit semata-mata. Mesyuarat kali ini penting kerana perkara pokok perlu diputuskan bagi mencorakkan liga musim depan dan 2013,” katanya yang juga Pengerusi Malaysian Super League.

Pentas uji barisan Malaysia


BIARPUN mungkin dianggap bukan perlawanan penting bagi Arsenal, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tetap menagih aksi terbaik dan menghiburkan daripada anak-anak buahnya.

Arsenal yang baharu seminggu menjalani latihan pramusim di London tiba di ibu negara tengah hari semalam bagi program Jelajah Asia 2011 ke Malaysia dan China.

Tatkala skuad bimbingan Arsene Wenger itu mungkin belum mencapai momentum terbaik, Rajagobal mahu menjadikan pertemuan dengan Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok sebagai pentas menilai para pemainnya.

Ia bagi membolehkan Rajagobal mendapat bayangan kesebelasan terbaik untuk diturunkan pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura pada 23 dan 28 Julai ini.

“Saya cukup teruja dapat berdepan Arsenal. Begitu juga para pemain kebangsaan. Kita akan gunakan sebaik mungkin peluang ini untuk persiapan menghadapi Singapura.

“Saya harap para pemain tidak gentar berdepan Arsenal kerana inilah masa yang sesuai untuk saya menilai mana pemain yang layak untuk beraksi menentang Singapura.

“Sama seperti ketika kita bertemu Manchester United pada 2009, saya mahu pemain beraksi lebih baik daripada itu dan menghiburkan para penyokong,” kata Rajagobal pada sidang media di Hotel Saujana, Subang petang semalam.

Pada Julai 2009, skuad kebangsaan yang ketika itu baru tiga bulan dibimbing Rajagobal tewas tipis 2-3 kepada United pada aksi pertama dan tewas 0-2 pada aksi kedua.

Kali terakhir Arsenal berkunjung ke Malaysia adalah pada 1999 yang mana mereka menewaskan skuad kebangsaan 2-0 hasil jaringan Nicolas Anelka dan Emmanueal Petit.

Rajagobal turut mengesahkan bahawa penyerang utama skuad kebangsaan, Safee Sali tidak akan beraksi malam esok kerana belum pulih sepenuhnya tetapi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sedia untuk diturunkan selepas pulih dari- pada kecederaan bahu.

Monday, July 11, 2011

Pelita Jaya minat bintang muda Kelantan


Kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya berminat untuk mendapatkan khidmat pemain muda Kelantan, Izuan Salahuddin.

Hasrat tersebut dinyatakan Pengurus kelab itu, Lalu Mara selepas menyaksikan kelibat Izuan, yang menjaringkan gol pada aksi persahabatan dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, di sini kelmarin yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Menurut Lalu, dia kagum dengan kepantasan Izuan, pemain yang disenaraikan ke dalam skuad Harimau Muda untuk menjalani latihan ke Slovakia serta aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana England, Chelsea

"Pemain itu (Izuan) memiliki kepantasan larian yang begitu baik. Dia memiliki potensi sebagai pemain yang mampu menyerlah pada masa akan datang," katanya.

Izuan merupakan pemain dari skuad Piala Presiden yang diserapkan ke skuad utama Red Warriors mulai pertengahan musim ini.

Pelita Jaya sudah pun mendapat sentuhan pemain kebangsaan, Safee Sali.

Safee tidak diturunkan pada perlawanan kelmarin, yang menyaksikan Red Warriors beraksi tanpa lima pemain tonggak yang bersama skuad kebangsaan.

Kelantan turut mengambil kesempatan daripada perlawanan tersebut dengan menurunkan pemain jemputan dari Crotia, Jocip Bonasin, yang beraksi pada bahagian pertahanan.

Kelantan mendahului Pelita Jaya hasil jaringan Mohd. Izuan pada ke-72, hasil hantaran menarik Mohd. Badri Radzi.

Joko Sasongko menjadikan kedudukan 1-1 menerusi jaringan pada minit akhir perlawanan.

Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu memuji persembahan pemainnya dan yakin pasukannya mampu melangkah lebih jauh sekiranya diberi pendedahan beraksi dengan pasukan luar negara.

"Kita sebenarnya beraksi menentang pasukan yang kuat dan dalam perlawanan ini saya berpeluang menilai sejauh mana keupayaan pemain simpanan sekiranya berlaku situasi buruk terhadap pasukan ini dalam saingan Piala Malaysia nanti," katanya.

Mengenai persembahan Bonacin, Karathu berpuas hati dengan aksi pemain Croatia itu.

"Dia bermain dengan bagus, saiz fizikalnya sesuai selain mempunyai kelebihan kaki kiri. Namun, saya tidak boleh menilai persembahan dia dalam satu perlawanan sahaja. Dia ada kualiti tetapi saya mahu lebih daripada itu," katanya.

Sementara itu, Lalu berkata, perlawanan tersebut membuka lembaran baru dalam hubungan antara kedua-dua pasukan dan berhasrat mengundang Kelantan beraksi di Indonesia.

"Perlawanan ini amat berharga kepada Pelita Jaya kerana kebanyakan pemain yang diturunkan, pemain muda. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di atas pelawaan ini," katanya.

Safee tak beraksi lawan Arsenal



DEMI membantu Malaysia melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014, penyerang berbisa, Safee Sali terpaksa melupakan hajat beraksi menentang Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Safee, 27, masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring tendon di bahagian belakang lutut yang dialaminya ketika aksi pertama pusingan pertama menentang Taiwan pada 29 Jun lalu.

Menurut Safee, dia berharap kecederaannya itu dapat pulih dengan lebih cepat bagi membolehkannya turun beraksi ketika skuad kebangsaan bertemu pula Liverpool, Sabtu ini.

Namun fokus utamanya tetap untuk dapat tampil dengan aksi terbaik ketika skuad kebangsaan bertemu Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai depan.

“Buat masa ini, saya baru pulih 70 peratus dan memang kemungkinan besar tidak dapat beraksi untuk perlawanan menentang Arsenal pada Rabu ini.

“Memang rasa kecewa tidak dapat berdepan pemain-pemain Arsenal, tetapi perlawanan yang lebih penting bagi skuad kebangsaan ialah bertemu Singapura.

“Saya tidak mahu kecederaan ini bertambah teruk semula kerana mahu betul-betul cergas menjelang pertemuan dengan Singapura,” kata Safee ketika ditemui Kosmo! semalam.

Dengan ketiadaan Safee, jentera serangan skuad kebangsaan untuk membolosi gawang Arsenal yang dikawal Wojciech Szczesny bakal diketuai Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya.

Bagaimanapun, Safee tetap menyimpan hasrat untuk turun beraksi menentang Liverpool yang merupakan musuh tradisi pasukan kegemarannya, Manchester United.

“Mana tahu jika kecederaan saya ini pulih dengan lebih cepat, saya dapat berpeluang turun beraksi menentang Liverpool pada Sabtu ini.

“Sebelum ini pun saya hanya sekali bertemu kelab England iaitu Chelsea pada 2008 dan memang peluang keemasan seperti ini kalau boleh tidak dilepaskan,” ujar pemain kelab Pelita Jaya itu.

Dalam pada itu, skuad Arsenal tiba di ibu negara pada hari ini tanpa kelibat kapten, Cesc Fabregas yang masih cedera serta penyerang Lille, Gervinho yang belum melengkapkan perpindahannya

Sunday, July 10, 2011

Fabregas tidak ke Malaysia

Ketua pasukan Arsenal, Cesc Fabregas tidak akan menyertai pasukannya untuk jelajah pra musim di Asia minggu depan dan perkara tersebut disahkan oleh pengurus, Arsene Wenger, semalam.

Fabregas yang dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona pada musim panas ini, mengalami kekejangan otot dan tidak akan menyertai skuad Gunners yang berlepas ke Malaysia, hari ini.

"Fabregas tidak akan menyertai skuad kerana dia masih mengalami kecederaan otot. Dia akan kekal dan berlatih di sini,'' kata Wenger kepada laman web rasmi kelab, www.Arsenal.com.

Wenger bagaimanapun menegaskan, kelab London itu akan membawa pasukan 'terkuat mungkin' ke Asia, yang mana mereka akan beraksi dalam dua perlawanan menentang Malaysia di Kuala Lumpur, Rabu ini sebelum berlepas ke China dan kembali ke Eropah.

Turut dikhuatiri tidak dapat menyertai pasukan adalah tonggak pertahanan, Emmanuel Eboue yang mengalami kekejangan betis manakala Wenger masih berharap Samir Nasri, seorang lagi pemain yang dikaitkan akan meninggalkan kelab London itu dapat menyertai mereka