Tuesday, September 7, 2010

Zaquan malang


MALANG menimpa penyerang utama skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak.

Dia terpaksa melupakan terus saingan Piala Malaysia, Sukan Asia 2010 dan Piala AFF Suzuki 2010.

Pemain Negeri Sembilan itu akan berehat selama enam bulan selepas disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kirinya.

Zaquan, 23, tercedera ketika skuad kebangsaan menentang kelab Qatar, Al-Jaish di Doha pada 30 Ogos lalu dan dia terus melakukan pemeriksaan di Hospital Pantai, Ampang semalam sekembalinya ke tanah air kelmarin.

Menurut Zaquan, dia akan menjalani ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) disusuli pembedahan ACL selepas Aidilfitri nanti.

“Pemeriksaan doktor pagi tadi (semalam) mengesahkan saya mengalami kecederaan ACL. Memang saya kecewa sangat selepas mendengar penjelasan doktor kerana saya akan terlepas dua kejohanan besar pada hujung tahun ini.

“Cuma keajaiban pada ujian MRI nanti yang membolehkan saya tidak dibedah. Tapi harapan saya tipis kerana kebiasaannya kecederaan seperti itu tetap kena bedah juga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelas Zaquan, kecederaan ACL itu mengulangi detik malangnya ketika mengalami kecederaan sama pada lutut kanannya sehingga menyebabkan dia terlepas peluang ke Sukan Asia di Doha pada 2006.

“Mungkin ini badi Sukan Asia. Tapi saya anggap semua ini ada hikmahnya dan saya berazam untuk kembali bangkit membantu skuad kebangsaan selepas pulih nanti,” ujarnya.

Secara kebetulan, Zaquan juga dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Ayu Raudhah pada Januari depan dan mungkin inilah masa yang sesuai untuk pemain itu berehat seketika daripada bola sepak.

Dengan ketiadaan Zaquan, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal perlu mencari rakan gandingan baru buat Norshahrul Idlan Talaha untuk mengemudi jentera serangan skuad negara dalam Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November dan Piala AFF Suzuki 2010 pada Disember depan.

Bagi pasukan Negeri Sembilan pula, ketiadaan Zaquan pasti mengganggu persiapan mereka bagi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi mereka musim lalu.

Monday, September 6, 2010

Pasukan NS dapat tonik baru

NEGERI Sembilan akhirnya mendapat tonik baru selepas merakamkan kemenangan pertama dalam siri persahabatan apabila menewaskan Kuala Lumpur, kelmarin - pencapaian yang harus menerbitkan sifat yakin anak buah Wan Jamak Wan Hassan menjelang kempen Piala Malaysia.

Selepas tiga seri dan satu kekalahan sebelum ini kemenangan sulung ini memancarkan wajah ceria kepada ketua pasukan, Rezal Zambery Yahya yang yakin kejayaan terbaru itu dapat menyuntik semangat rakan sepasukan memberi persembahan cemerlang pada perlawanan pertama Kumpulan A menentang Kelantan di Kota Bharu, 14 September ini.

Saya yakin kemenangan ke atas Kuala Lumpur akan memberi impak positif kepada seluruh pasukan, katanya.

Walaupun kami belum mencapai tahap 100 peratus seperti dikehendaki jurulatih, namun saya berharap pemain dapat terus memberi kerjasama untuk sama-sama berjuang demi memartabatkan imej pasukan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pihaknya juga yakin semua pemain skuad itu sudah bersedia untuk menggalas cabaran, malah mereka sudah menunjukkan komitmen tinggi untuk misi mempertahankan mahkota kejuaraan.

Apa yang penting kami perlu mengekalkan prestasi dan persefahaman serta berusaha menterjemahkan sepenuhnya strategi yang diaturkan jurulatih kerana ia adalah kunci kepada kejayaan yang kami sasarkan, katanya.

Peluang terakhir pikat Rajagobal


JIKA mahu terus kekal dalam skuad kebangsaan, pemain perlu mengekalkan prestasi bermula pada saingan Piala Malaysia. Jika tidak, mereka berhadapan kemungkinan diketepikan daripada skuad kendalian K. Rajagobal itu.

Selepas menjalani latihan selama tiga minggu sepanjang bulan Ramadan ini, pemain negara kini kembali ke pangkuan skuad negeri masing-masing.

Apa yang pasti, mereka perlu mengekalkan prestasi cemerlang kerana selepas ini skuad negara ada tugas yang lebih mencabar untuk diharungi.

Sepanjang kem latihan mereka selama tiga minggu, secara keseluruhannya prestasi mereka boleh dianggap membanggakan.

Latihan itu merangkumi beberapa aksi persahabatan dengan kelab tempatan dan luar negara.

Mereka bermula dengan aksi pemanas pada 24 Ogos lalu yang menyaksikan skuad negara menang 3-1 ke atas KL Plus.

Selepas itu, skuad Rajagobal ini terbang ke Doha, Qatar untuk mengadakan dua aksi persahabatan di bumi Arab tersebut.

Pada aksi pertama (30 Ogos lalu), mereka tewas 1-2 kepada kelab Qatar, Al-Jaish dan selepas itu tewas 0-3 kepada skuad kebangsaan Oman pada Jumaat lalu.

Walaupun tewas tetapi ilmu yang mereka peroleh daripada latihan pendedahan itu sangat berharga yang dilihat boleh membantu meningkat keyakinan serta semangat pemain.

Kini 16 pelatih skuad kebangsaan itu kembali ke pasukan negeri masing-masing untuk menghadapi tiga perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 14, 17 dan 20 September depan.

Baki enam lagi pelatih pula terus terbang ke Slovakia dari Doha untuk menyertai skuad Harimau Muda yang kini berkelana selama tiga bulan di negara Eropah Timur itu.

Namun, kesemua mereka akan kembali ke kem lati- han pusat kebangsaan pada 21 September untuk persiapan menghadapi kejohanan jemputan Piala Ho Chi Minh City 2010 di bandar raya terbesar Vietnam itu dari 28 September ini hingga 2 Oktober depan.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, beliau mahu menjadikan kejohanan tersebut sebagai persiapan terbaik skuad negara bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China bermula 7 November depan.

“Saya mahu memanfaatkan tiga perlawanan pada kejohanan di Vietnam itu untuk saya betul-betul beri peluang kepada para pemain bagi merebut 20 tempat ke Sukan Asia.

“Saya tidak mahu pemain beri alasan bahawa saya tidak memberi peluang kepada mereka untuk memperagakan kemampuan masing-masing.

“Selepas itu, saya hanya akan dapat mengumpulkan kembali pemain selepas final Piala Malaysia (30 Oktober) dan kita akan adakan satu aksi persahabatan sebelum terbang ke Guangzhou pada 5 November,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Pada kejohanan jemputan membabitkan empat pasukan B-23 itu, skuad negara yang hanya dibarisi empat pemain berusia lebih 23 tahun akan bertemu Vietnam (28 September), Iran (30 September) dan Singapura (2 Oktober).

Buat masa ini, empat pemain yang dilihat berpeluang cerah untuk mengisi tiga slot pemain lebih umur ke Sukan Asia 2010 ialah penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, Azmi Muslim, S. Kunanlan dan Norshahrul Idlan Talaha.

Sunday, September 5, 2010

Tidak ada kejutan


HAJAT skuad bola sepak kebangsaan untuk mencipta kejutan ke atas Oman tidak kesampaian.

Sebaliknya, skuad negara terpaksa akur dengan pasukan yang menghuni ranking ke-81 dunia itu apabila tewas 0-3 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Al-Wakra di Doha, Qatar awal pagi semalam.

Gawang skuad negara bolos seawal minit keenam apabila Hassan Rabia merembat masuk gol pertama tuan rumah.

Amad Al Hosni menambah dua lagi gol Oman, masing-masing pada minit ke-36 dan ke-45.

Biarpun tewas, jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal tetap optimis dan berfikiran positif terhadap persembahan anak-anak buahnya yang majoriti berusia 23 tahun dan ke bawah.

"Secara keseluruhan, kita bermain bagus dan tidak jauh beza dengan Oman. Jika pemain tampil aksi seperti pada separuh masa kedua, kita mungkin boleh seri atau menang.

"Tetapi kita bermula dengan gugup. Apa yang buat saya marah, kita tak sepatutnya melepaskan gol awal pada minit keenam itu.

"Mungkin gerak balas Sharbinee Allawee Ramli (penjaga gol) agak lambat tetapi saya tidak salahkan dia kerana semua pemain buat kesilapan.

"Saya harap kita hanya ketinggalan 0-2 sebelum masa rehat tetapi Oman berjaya menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan," kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Doha semalam.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat masuk menggantikan Sharbinee pada babak kedua dan tampil cemerlang mempertahankan gawang skuad negara daripada terus dibolosi.

Namun Rajagobal jelas merasai ketiadaan penyerang utama, Zaquan Adha Radzak yang tidak dapat diturunkan selepas cedera lutut ketika mereka tewas 1-2 kepada kelab Qatar, Al-Jaish pada Isnin lalu.

"Kita tiada penyudah luar biasa selepas ketiadaan Zaquan. Dia mampu melakukan larian deras selain memiliki mentaliti yang bagus. Itu kekurangan kita pada perlawanan ini," jelasnya.

Skuad negara berlepas pulang lewat malam tadi dan tiba di tanah air hari ini dengan kesemua pemain terus dilepaskan ke pasukan negeri masing-masing bagi menghadapi Piala Malaysia bermula 14 September depan.

Hati Saya Untuk Kelantan: Soley


KOTA BHARU – “Hati saya untuk Kelantan.” Demikian pengakuan ikhlas bekas pemain tengah kanan Perlis musim ini, K Soley ketika ditanya mengenai minat beliau memilih untuk beraksi bersama dengan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Soley berkata, dia sudah lama teringin untuk beraksi bersama dengan Kelantan, dan kedatangan beliau adalah di atas kepercayaan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan juga kepercayaan peminat bola sepak Kelantan sendiri.

“Walaupun ada beberapa pasukan lain menawarkan kontrak kepada saya, bagi saya pilihan yang terbaik ialah pasukan Kelantan.

“Saya ada sasaran untuk bersama dengan Kelantan, sekurang-kurangnya saya mahu menjulang satu piala sepanjang saya mewakili Kelantan,” katanya ketika ditemui ketika sidang akhbar dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Kafa semalam.

Soley berkata, antara tarikan utama mengapa beliau memilih beraksi bersama Kelantan ialah kerana faktor penyokongnya, di samping komitmen yang jitu yang ditunjukkan pihak pengurusan Kelantan sendiri menjadi landasan yang sesuai bagi beliau meneruskan karier bola sepaknya.

“Penyokong Kelantan lebih fanatik berbanding dengan penyokong negeri kelahiran saya (Kedah). Saya tidak ada tekanan di sebalik gelagat penyokong seperti ini kerana saya pernah melaluinya sewaktu bermain bersama dengan Kedah.

“Apa yang penting, sebagai pemain bola sepak kita perlu mesra dengan mana-mana peminat. Mereka semua berada di belakang kita memberi sokongan, jadi mengapa harus untuk kita tidak boleh mendekati mereka,” katanya.

Ditanya mengenai persaingan yang bakal dihadapinya merebut posisinya, beliau melihat perkara itu merupakan satu persaingan yang sihat di kalangan pemain-pemain Kelantan sendiri.

“Bagi saya, itu semua persaingan yang sihat dalam mana-mana pasukan, tetapi kedatangan saya ini disertai dengan semangat kerja berpasukan yang tinggi. Yang selebihnya terpulang kepada jurulatih yang akan menentukannya.

“Sebagai pemain bola sepak profesional, saya perlu mengikut arahan yang ditetapkan jurulatih dan apa yang lebih penting, semangat berpasukan lebih diutamakan berbanding individu,” katanya.

Aksi lincah K Soley tidak asing lagi kerana beliau pernah mengenali beberapa rakan dalam pasukan Kelantan yang lain seperti Indra Putra Mahayuddin, Zairul Fitree Ishak dan S Subramaniam sewaktu beliau dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan tidak dalam dulu.

K Soley memulakan karier bola sepaknya bersama dengan Kedah bermula pada tahun 2002 sehingga 2007, sebelum mengambil keputusan meneruskan kerjayanya bersama Singa Utara pada tahun berikutnya.

Friday, September 3, 2010

asas bacaan 10 zikir haron din

Pemain Kelantan dapat 'duit raya'


SKUAD bola sepak Kelantan boleh ‘berpesta’ seketika menjelang sambutan Hari Raya Aidilftri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Ini kerana, skuad The Red Warriors itu mendapat ‘duit raya’ hasil kejayaan mereka muncul naib juara Liga Super.

Bonus tersebut disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Kafe The Red Warriors Station @ KTC, Kota Bharu kelmarin.

Menurut Annuar, bonus yang diberikan itu sebagai tanda penghargaan pihak pengurusan KAFA kepada skuad Kelantan yang telah memberikan aksi terbaik sehingga muncul naib juara Liga Super musim ini.

Jelasnya, bonus itu diberikan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan para pemain dapat menggunakan wang tersebut sebagai persiapan Aidilfitri nanti.

“Sebanyak RM100,000 diperuntukkan kepada pemain, namun ia tidak terma- suk elaun untuk pemain pasukan pelapis yang turut berlatih bersama-sama pasukan utama.

“Walaupun mereka tidak mewakili pasukan tetapi kita mahu memberi galakan supaya pasukan mempunyai pemain pelapis yang cukup dan kita fikirkan ia sebagai suatu tanggungjawab persatuan,” katanya.

Annuar menambah, pembahagian bonus itu diserah sepenuhnya kepada pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim untuk menentukan cara pengagihannya kepada para pemain.

“Saya difahamkan pengurus pasukan telah berbincang dengan kapten pasukan dan mereka telah bersetuju pengagihan bonus ini berdasarkan jumlah kekerapan membarisi kesebelasan utama pasukan.

“Supaya tidak berlaku jurang yang jauh, kita perkenalkan had minimum dan maksimum. Jumlah maksimum yang diterima adalah RM4,000,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kelantan akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain sayap lincah Perlis, K. Soley pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Annuar menjelaskan, Kelantan sudah lama berminat untuk mendapatkan khidmat Soley.

“Sejak musim lepas lagi KAFA telah berunding untuk mendapatkan khidmatnya tetapi disebabkan kontraknya bersama Perlis masih ada, jadi kami terpaksa akur dan menghormati kontrak tersebut,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan berusia 27 tahun itu, telah bersetuju menyarung jersi Kelantan selama dua musim.

Monday, August 30, 2010

K Soley Sah Milik Kelantan


KOTA BHARU – Segalanya sudah termeterai. Pemburuan hampir dua tahun untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan yang berasal dari Kedah akhir tercapai.

Kini, sah Solehin Kanasian Abdullah atau lebih dikenali dengan nama K Soley akan menyarung jersi Kelantan untuk saingan pentas Liga Malaysia musim depan.

Biarpun saingan Liga Malaysia musim ini belum berakhir, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menjadi persatuan bola sepak negeri pertama di negara ini memancing pemain luar untuk bermain dengan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi, mengesahkan bekas pemain pertahanan Perlis musim ini mengikat kontrak selama dua tahun untuk bermain bersama Kelantan.

“Bulan lalu, K Soley menandatangani kontrak selama dua tahun untuk bermain bersama Kelantan setelah kontraknya bersama pasukan Perlis tamat penghujung bulan Julai lalu.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat menggunakan khidmat beliau untuk kempen Piala Malaysia tidak lama lagi, memandangkan namanya masih didaftar bersama pasukan Singa Utara musim ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Annuar berkata, bekas pemain Perlis itu dijangka akan datang ke Kota Bharu pada 1 September ini bagi menghadiri satu majlis anjuran pihak KAFA.

Katanya, kelibat K Soley akan kelihatan di Kota Bharu pada hari Rabu ini, sebelum beliau melaporkan diri secara rasmi pada pertengahan bulan depan untuk menjalani latihan bersama skuad Kelantan.

“Amat malang kerana kita tidak dapat menggunakan khidmat beliau dalam kempen Piala Malaysia kali ini, memandangkan namanya masih didaftar bersama Perlis sedangkan kontraknya sudah pun tamat sebulan yang lalu.

“Namun begitu pihak Kafa tidak mempunyai perancangan dalam waktu terdekat untuk menggunakan khidmat beliau, cukup dengan barisan pemain sedia ada musim ini bagi mengharungi cabaran dalam kempen Piala Malaysia tidak lama lagi,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan yang berumur 27 tahun itu, memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak Kedah dari tahun 2002 sehingga 2007, sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Perlis pada tahun berikutnya.

Sebaliknya, kelincahan pemain pertahanan dan tengah kanan pasukan Perlis itu sudah pun diintai oleh pihak pengurusan Kelantan sejak tahun lepas lagi, tetapi oleh kerana beliau masih mempunyai kontrak bersama Singa Utara memaksa hajat Kelantan mendapatkan khidmat pemain ini terpaksa dilupakan seketika.

Kelantan Catat Kemenangan Selesa


Siri perlawanan persahabatan semalam menyaksikan Kelantan dicabar sengit pasukan muda UiTM. Namun pasukan yang sentiasa gah digelanggang sendiri menang dengan mudah 5-1 keatas UiTM. Jaringan pada separuh masa dijaringkan oleh Indra Putra, Badri Radzi dan Akmal, pada separuh masa kedua dijaringkan oleh Khairan Eroza dan Che Hishamuddin. Norshahrul, Khairul Fahmi dan S Subramaniam tidak diturunkan. Prestasi pemain amat baik tetapi perlu pengukuhan posisi yang dilihat masih lagi longgar.

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Sathia Tuntut Pemain Pamer Aksi Bertenaga

KOTA BHARU – Hanya 45 minit untuk menghapuskan aksi berkarat. Begitulah masa yang diperuntukkan oleh Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan kepada setiap pemainnya bagi membuktikan keupayaan masing-masing dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan berstatus kelab, UiTM FC di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

“Ini merupakan perlawanan pertama untuk para pemain Kelantan setelah lebih daripada tiga minggu berehat panjang. Saya memahami pemain kita mungkin berdepan sedikit masalah menyesuaikan diri dengan situasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Saya mahu pemain berikan yang terbaik dengan masa yang diperuntukkan selama 45 minit itu. Semua pemain tetap diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan itu.

“Setelah berehat panjang, tambahan pula kita baru memulakan latihan insentif kira-kira seminggu lalu, sudah pasti pergerakan fizikal mereka cukup terbatas, di samping faktor kepenatan mengharungi bulan puasa ini,” katanya.

Sathianathan berkata, perlawanan menentang pasukan pendatang baru dalam Liga FAM musim depan itu, penting baginya bagi menilai sejauh mana tahap prestasi semasa pasukan Kelantan bagi mengharungi cabaran dalam kempen Piala Malaysia tidak lama lagi.

“Kita tidak mempunyai banyak masa sebenarnya. Anda lihat kita mempunyai jangka masa yang panjang selama sebulan, hakikatnya itu tidak benar. Kita memulakan latihan pada 20 Ogos lalu dan selepas 7 September depan, saya tidak boleh berbuat apa-apa (mengadakan perlawanan persahabatan) memandangkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Masuk hari kelima perayaan, tugas berat menanti kita melayan kunjungan juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan di Kota Bharu. Itu yang saya katakan kita tidak mempunyai banyak masa sebenarnya.

Sathianathan berkata, beliau membayangkan kesebelasan utama pemain yang akan turun menentang Negeri Sembilan itu dapat ditentukan ketika penilaian dibuat perlawanan persahabatan menentang T-Team di Kuala Terengganu pada 3 September nanti.

“Saya akan tentukan barisan bayangan pemain Kelantan (menentang Negeri Sembilan) pada perlawanan persahabatan menentang kelab dari Terengganu itu nanti. Bermula dari tarikh itu, kita boleh menyusun strategi dan taktikal berkesan memerangkap anak buah Wan Jamak Wan Hassan.

Sementara itu Penolong Setiauasaha Agung Kafa, Arif Hassan berkata, peminat bola sepak Kelantan dijemput hadir beramai-ramai hadir menyaksikan perlawanan persahabatan pada malam ini.

“Perlawanan persahabatan ini akan bermula jam 10.30 malam sejurus solat terawih berakhir. Semua peminat dijemput hadir beramai-ramai dan masuk adalah percuma,” katanya.