Saturday, October 9, 2010

6 pasukan rebut slot suku akhir


Juara musim lalu perlu 1 mata elak pertembungan dengan Selangor

PERSOALAN enam pasukan yang akan mengiringi Selangor dan penyandang juara Negeri Sembilan ke suku akhir Piala Malaysia menghangatkan perlawanan terakhir peringkat kumpulan, malam ini.

Negeri Sembilan, mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mengutip 11 mata, tetapi masih memerlukan sekurang-kurangnya satu mata ketika berdepan PKNS di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk memastikan tidak bertemu juara Kumpulan D, Selangor pada suku akhir nanti.
Bagi PKNS yang kini di tangga ketiga dan ketinggalan satu mata di belakang Kelantan dalam Kumpulan A, mereka mahu mengulangi kemenangan ke atas Negeri Sembilan untuk mara sambil mengharapkan Kelantan tewas atau seri ketika berdepan KL Plus, seperti yang berlaku di Kota Bharu bulan lalu.

Dalam saingan Kumpulan B, hanya Kuala Lumpur tidak berpeluang mara ke suku akhir tetapi masih mampu menjadi penghalang Terengganu yang perlu mengutip mata penuh di Cheras untuk meneruskan saingan.

Jika Terengganu menang, hanya satu pasukan - Sabah atau Pahang - akan mara walau apapun keputusan dicatat pada perlawanan di Stadium Darul Makmur. Pahang kini mendahului kumpulan dengan sembilan mata, Sabah lapan dan Terengganu, tujuh.

Saingan Kumpulan C juga masih terbuka antara pendahulu, Johor FC yang mengutip sembilan mata, Perak dan Kedah dengan masing-masing mengumpul tujuh dan enam mata. Perak dan Kedah perlu menang besar ke atas Johor FC dan Tentera malam ini untuk menjamin kemaraan ke suku akhir.
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan D, Perlis berazam memastikan kemenangan apabila melayan kunjungan Red Giants, Selangor pada pertemuan terakhir di laman sendiri, Stadium Utama Negeri Kangar.

Ketua Jurulatihnya, Yunus Alif berkata, kemenangan ke atas pasukan juara Liga Super itu saja bakal mengesahkan tiket kemaraan skuad kendaliannya tanpa mahu memikirkan apa keputusan perlawanan T-Team dengan Felda United.

“Biarpun mengakui lawan bukan calang-calang, kita tidak ada pilihan melainkan menang dan mengutip mata penuh,” kata Yunus.

“Jika pemain mampu meneruskan rentak cemerlang ketika membenam FELDA United, 5-0 dan T-Team, 4-1, misi menang tidak mustahil walaupun Perlis tewas 0-1 di Shah Alam sebelum ini.”

No comments:

Post a Comment