Monday, May 24, 2010

Prebiu Perlawanan : Kedah lwn Kelantan

Tugas berat menanti skuad The Red Warriors apabila berkunjung ke Stadium Darul Aman menentang pasukan Kenari yang juga dahagakan kemenangan. Kelantan tiada pilihan selain mengutip 3 mata penuh bagi meneruskan persaingan merebut tahta Liga Super sambil mengharapkan skuad Tok Gajah menumbangkan Gergasi Merah bagi mengurangkan jurang mata.


Rekod pertemuan pada musim ini dilihat agak seimbang walaupun kedah pernah menumbangkan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dengan jaringan 1-0 pada saingan Liga Super manakala Kedah berjaya menyingkirkan Kelantan pada suku akhir Piala FA. Sudah pasti misi The Red Warriors yang bertandang ke Stadium Darul Aman mahu menbalas dendam kekalahan sebelum ini.


Andai prestasi hambar seperti yang ditunjukkan pada masa kedua ketika melayan kunjungan pasukan dari utara, Perlis gagal diperbaiki, Kelantan tidak dinafikan bakal menerima padah jika Kedah beraksi dengan baik. Kelantan yang selama ini gah dek kekebalan benteng pertahanan, dilihat sedikit goyah sejak akhir-akhir ini. Jika barisan pertahanan gagal menunjukkan aksi sebenar, tugas berat menanti Khairul Fahmi bagi memastikan gawang Kelantan tidak dibolosi.


Di barisan pertahanan, B. Sathianthan mungkin perlu membuat sedikit rombakan bagi mengukuhkan benteng pertahanan Kelantan bagi mengekang jentera serangan Kedah. Gandingan Azizi dan Subra sejak akhir-akhir ini dilihat kurang menjadi, manakala aksi Farisham yang menggantikan tempat Zairul Fitri gagal menunjukkan aksi yang terbaik. Kelantan mempunyai pilihan lain di bek tengah iaitu Rizal Fahmi manakala Zamri Ramli boleh bermain di bahagian bek kiri. Terpulang kepada percaturan B.Sathianathan dalam usaha mengukuhkan benteng pertahanan kerana hanya beliau yang benar-banar tahu prestasi semasa pemain.


Dibahagian tengah, Kelantan dilihat tidak mempunyai masalah untuk menggandingkan Indra, Badri, Shakir dan juga Norfarhan. Namun, B.Sathianathan masih mempunyai Khairan Eroza dan jugak Wan Zaman yang juga berkemampuan beraksi dengan baik.


Dibahagian serangan, Norshahrul Idlan Talaha dilihat akan kekal dalam kesebelasan utama, manakala gandingan beliau menjadi rebutan antara S.Chanturu, Akmal Rizal, Hairudin Omar dan Nizab Ayub. Persaingan sihat itu melihat B.Sathianathan tidak mempunyai masalah untuk menurunkan barisan penyerang yang mampu menjaringkan gol untuk Kelantan.


Kelantan mungkin sedikit lega apabila dikhabarkan peledak utama pasukan Kedah, yang juga pemain kelahiran Kelantan, Azlan Ismail mengalami kecederaan pangkal peha. Ketiadaan Azlan Ismail sedikit merencatkan barisan serangan Kedah namun Kedah masih berbisa dengan adanya Badrul Baktiar dan juga Khyril Muhaimim. Di barisan pertahan Kedah, dikhabarkan Sabri Abu digantung perlawanan apabila mengutip kad kuning pada perlawanan sebelumnya.


Kelantan hadir dengan reputasi gah setelah mencapai kemenangan demi kemenangan. Adakah Kedah mampu menyekat kemaraan pasukan Kelantan dalam usaha Kelantan mencabar Selangor yang selesa di persada Liga Super.

No comments:

Post a Comment