Monday, May 24, 2010

Kelantan makin ganas


KELANTAN meneruskan aksi cemerlang apabila terus mengejar pendahulu Liga Super, Selangor selepas membenam cabaran Perlis 2-1 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Di sebalik gegak gempita teriakan penyokong yang meraikan kejayaan tersebut, sedikit kontro- versi berlaku apabila segelintir penyokong berang dengan tindakan jurulatih Kelantan, B. Sathianathan mengeluarkan pertahanan kental, Azizi Mat Rose.

Pemain berkenaan dikeluarkan ketika perlawanan berbaki 20 minit dan dia ternyata berang apabila memprotes keputusan tersebut dengan membaling baju yang dipakainya sambil menjerit tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Dia kemudian digantikan dengan Rizal Fahmi Rosid.

Sathiantahan ketika dihubungi semalam mempertahankan tindakan tersebut dan menyifatkan keputusan mengeluarkan Azizi sebagai keputusan terbaik untuk pasukan terutama ketika pemain- pemain Kelantan seperti hilang fokus pada babak kedua permainan.

"Sebagai jurulatih saya perlu adil. Kalau seseorang pemain itu tidak mampu beraksi dengan baik, kita perlu keluarkan untuk memberi peluang kepada pemain lain. Saya jurulatih, saya perlu buat keputusan. Kalau saya nak ikut kehendak penyokong, susahlah.

"Dalam pasukan Kelantan, tiada pemain yang boleh cakap dia akan diturunkan dalam semua perlawanan dan akan bermain sepenuh masa. Jika mereka tidak bekerja di atas padang, dia akan dikeluarkan, itu adalah suatu yang pasti," katanya.

Tambahnya, keputusannya mengeluarkan Azizi dibuat selepas mendapati pemain tersebut tidak beraksi seperti biasa dan keletihan serta tidak konsisten ketika ditugaskan menjaga pemain Perlis.

"Protes yang ditunjukkan mungkin suatu yang baik kerana ia menunjukkan seseorang pemain itu sentiasa ingin bermain. Tetapi semalam saya nampak dia (Azizi) tak bermain seperti biasa, mungkin keletihan kerana sudah beraksi dalam 16 perlawanan.

"Dia juga sudah menemui saya dan meminta maaf selepas perlawanan dan saya harap ia tidak akan menjejaskan persiapan kita untuk menentang Kedah, Selasa ini (esok)," ujarnya.

Dalam pada itu, Sathia jelas tidak berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan anak-anak buahnya terutama pada separuh masa kedua apabila mereka seperti hilang punca dan sering diasak pemain Perlis.

"Kalau kita main macam separuh masa kedua semalam (malam kelmarin), lupakan sahaja hasrat untuk mencabar Selangor atau menang Liga Super. Ia adalah suatu aksi yang sangat teruk.

"Saya harap para pemain dapat melupakan segera aksi tersebut dan fokus kini adalah untuk menang ketika menentang Kedah dan saya yakin kita masih mempunyai peluang tersebut," jelasnya.

No comments:

Post a Comment