Friday, August 5, 2011

Man. City tidak akan seunggul United - Cantona


Legenda Old Trafford, Eric Cantona menegaskan bahawa Manchester City tidak akan dapat menyamai kejayaan jirannya, Manchester United dengan bergantung hanya kepada kaedah berbelanja besar dalam usaha mereka memburu kejuaraan.

Wang tidak terhad di bawah pemilikan Sheikh Mansour mula membuahkan hasil musim lalu apabila skuad kendalian Roberto Mancini menamatkan penantian trofi kelab itu selama 35 tahun dengan merangkul kejuaraan Piala FA dan turut layak ke Liga Juara-Juara.

Meskipun Mancini memecahkan rekod kelab menerusi pembelian Sergio Aguero pada harga 38 juta pound (RM190 juta) bulan lalu, Cantona percaya City tidak akan menikmati kejayaan jangka masa panjang seperti mana United di bawah bimbingan Alex Ferguson, melainkan mereka memberikan peluang kepada produk-produk remajanya.

"United adalah pasukan terhebat. Saya tidak tahu bagaimana cara City dikendalikan, sebelum ini mereka mungkin ada menumpukan terhadap akademinya. Tetapi yang saya dapat lihat sekarang mereka membina pasukan dengan cara berbelanja, membeli pemain-pemain.

"Mereka sudah berjaya kerana memenangi Piala FA, tapi itu tidak memadai. Mereka tidak akan menjadi sekuat United yang kerap menyuntik bakat-bakat muda ke dalam skuadnya," kata Cantona yang perpindahannya ke Old Trafford pada 1992 menjadi titik bermulanya era kegemilangan United.

Kenyataan Cantona yang kini merupakan pengarah bola sepak untuk kelab Amerika, New York Cosmos itu, hadir tepat pada masanya kerana dia bakal beraksi dalam perlawanan pertunjukkan sempena persaraan Paul Scholes seorang bakat tempatan yang diasah menjadi bintang terkemuka England.

"Semasa saya berada di United, saya berjuang bersama pemain daripada dua generasi. Alex memperkenalkan ramai pemain muda, Paul Scholes adalah antaranya.

"Kini, saya kembali ke sini selepas 15 tahun, pengurusnya masih sama.

"Pemain-pemain boleh diganti dengan mudah, terutamanya di kelab seperti United dengan adanya pengurus seperti Alex.

"Saya pergi, Ronaldo pergi, (Mark) Hughes pergi, dan United masih merupakan salah sebuah kelab terulung dunia.

Masalah membawa masuk bintang-bintang asing yang mahal mula dirasai City menyaksikan masa depan Carlos Tevez masih menjadi persoalan sementara Mario Balotelli pula kerap membuat hal di dalam dan luar padang.

Kedua-dua pemain tersebut juga menyuarakan ketidakpuasan mereka terhada kehidupan di Manchester.

No comments:

Post a Comment