Saturday, January 8, 2011

KELANTAN UMUM SKUAD 25 PEMAIN


KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini mengumumkan senarai penuh 25 pemain yang akan menggalas cabaran skuad The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Senarai penuh para pemain Kelantan itu diumumkan dalam satu majlis memperkenalkan Pasukan TRW 2011 dan Pelancaran Jersi serta Kad Keahlian TRW yang diadakan di KB Mall, Kota Bharu, petang semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi kelab bola sepak Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee, Pengerusi Jawatankuasa Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood dan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia merangkap Ahli Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam ucapannya berkata, pada tahun ini skuad Kelantan berazam mengejar tiga kejuaraan piala yang dipertandingkan selain mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

“Kita akui persiapan pasukan kita sedikit terjejas pada musim ini kerana kehilangan beberapa tonggak yang mengambil keputusan berhijrah namun Ketua Jurulatih, B Sathianathan telah memberi jaminan kepada saya bahawa pasukan Kelantan pada musim ini akan menjadi lebih kuat berbanding musim lalu,” katanya dalam ucapan tersebut.

“Memandangkan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat mungkin akan dipanggil kerap kali bagi menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, maka kita telah memutuskan untuk memanggil kembali penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi untuk kembali perkuatkan pasukan kita.

“Walaupun beberapa pasukan seperti Negeri Sembilan, T-Team, Selangor dan KL Felda United FC telah menambahkan kekuatan pasukan masing-masing, saya percaya dengan jaminan yang diberikan oleh Sathianathan kita mampu menggegarkan pentas bola sepak tempatan pada tahun ini,” katanya.

Menurut Annuar, pihak Kafa akan menjalinkan kerjasama lebih erat dengan tokoh perniagaan dan pemilik kelab bola sepak yang beraksi dalam divisyen satu di England iaitu Datuk Chan Tien Ghee dalam membangunkan pelbagai program bola sepak di negeri ini

“Beliau melahirkan rasa terujanya diatas sambutan yang ditunjukkan oleh peminat bola sepak di sini. Kita mahu kemeriahan di sini dapat menyamai dengan apa yang berlaku di Cardiff City.

“Saya juga akan meminta beliau untuk membantu kita merekabentuk sebuah stadium yang baru. Kita boleh mempelajari dengan apa yang dilakukan oleh beliau terhadap kelab Cardiff City untuk diadaptasikan disini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penaja-penaja seperti UMBRO, Sinar Harian, Yusmira Trading dan Al-Jabbar yang terus setia untuk menaja Kelantan pada musim ini,” katanya.

Pada majlis itu juga, pihak Kafa turut mempamerkan piala yang dimenangi sepanjang tahun lalu iaitu Piala Malaysia, Piala Emas Raja-Raja selain replika Piala AFF Suzuki yang dimenangi oleh skuad kebangsaan baru-baru ini untuk tatapan peminat bola sepak Kelantan.

Senarai penuh pemain Liga Super Kelantan : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Shahrizan Ismail, Norhadi Ubaidilah, Mohd Halim Napi, S Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Mohd Farisham Ismail, Mohd Daudsu Jamaluddin, Khairan Eruan Razali, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid, Mohamad Ab Aziz Ismail, Wan Rohaimi Wan Ismail, Muhd Badhri Radzi, Mohd Shakir Shaari, K Soley, Mohamad Nurul Azwan Roya, Wan Zaman Wan Mustapha, Khairan Eroza Razali, Danial Fadzly Abdullah, Zul Yusri Che Harun, S Chanturu, Mohd Nizab Ayub, Mohd Ramzul Zahini Adenan, Mohd Khalid Jamlus dan Norshahrul Idlan Talaha.

No comments:

Post a Comment