Friday, December 3, 2010

Mampukah Khalid Jamlus?


Liga Malaysia 2011 masih dalam musim perpindahan pemain tetapi kejutan demi kejutan telah berlaku dalam kem Kelantan ketika ini.

Bermula dengan isu KWSP, penghijrahan pemain utama keluar dari pasukan, isu penyokong dan kini, kejutan terus dilakukan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) apabila menandatangani kembali penyerang yang digugurkan musim lalu, Khalid Jamlus.

Bekas pemenang kasut emas beberapa tahun dahulu telah menabur bakti selama semusim bersama Kelantan dan membantu Red Warriors menamatkan saingan dalam dua perlawanan akhir selain membantu Kelantan mencatatkan kejayaan membanggakan dalam Liga Super 2009.

Namun, bermula musim 2010, Khalid digugurkan dari skuad setelah Sang Kijang menerima kehadiran penyerang bintang dari luar negeri.

Walau membuat rayuan dengan KAFA untuk kekal, Khalid terus disisihkan menyebabkan dia terpaksa berkelana mencari pasukan lain.

Ketika diumumkan selaku pemain Angkatan Tentera Malaysia, ramai peminat lega tetapi entah dimana silapnya, Khalid sekali lagi dikenakan tindakan disiplin sebelum ditamatkan kontrak tanpa bermain walau sekali.

Nama Khalid terus meniti di bibir peminat bola sepak apabila khidmatnya terpaksa ditangguhkan oleh pengurusan T-Team setelah peraturan FAM telah menetapkan bahawa seseorang pemain yang telah menandatangani kontrak dengan pasukan yang layak ke Piala Malaysia tidak boleh bermain dengan pasukan lain.

Dan kini, pemain yang dilabel antara pembunuh berbisa didepan pintu gol bakal menjadi penyerang utama Sang Kijang.

Persoalan yang membenak di minda penyokong setia Red Warriors ialah mampukah pemain ini memberi impak kepada kekuatan keseluruhan Kelantan pada saingan liga Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

Walaupun namanya tersenarai antara penyerang terhebat sepanjang zaman di Malaysia, mampukah dia tampil menyengat dan mengembalikan kehebatan seperti dulu.

Peluang enam bulan diberikan pengurusan Kelantan kepada Khalid untuk menunjukkan keupayaan sebenar dan penyokong juga menantikan sama ada dia dapat mengembalikan semula karier bola sepak dengan menyertai Red Warriors kali ini.

No comments:

Post a Comment