Tuesday, December 14, 2010

Hanya 22 pemain:Annuar

“Hanya: 22 pemain”. Begitulah gambaran awal Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dalam menyenaraikan barisan terkuat skuad Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia bermula pertengahan bulan depan.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam ketetapan peraturan pertandingannya hanya membenarkan 25 pemain sahaja didaftarkan untuk sesebuah pasukan pada satu-satu masa.

Namun skuad The Red Warriors berdepan kesuntukan masa memenuhi kuota tersebut ekoran episod tarik tali antara tiga tonggak utama dengan Kafa kian menampakkan jalan sukar.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa membayangkan persiapan Kelantan bakal berskala sederhana sekiranya hanya mampu mendaftarkan 22 daripada kuota 25 pemain.

“Pada ketika tarikh tutup pendaftaran pemain hanya tinggal dua hari lagi (15 Disember), kita mungkin hanya mampu mendaftar seramai 22 pemain Kelantan untuk musim depan.

Akibat tindakan tiga pemain utama yang meninggalkan pasukan tanpa sebarang notis rasmi, jelas kita tiada pilihan mencari pengganti mereka pada saat akhir,” katanya menerusi khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Sehubungan itu katanya, pasukan menerima kesan cukup besar, segala perancangan terjejas malahan pihak penaja Kafa juga turut terkena tempiasnya.

“Kafa kini menimbang mengambil tindakan tuntutan ganti rugi ekoran kes ini. Kita akan merujuk kepada pihak peguam,” katanya.

Tiga bekas pemain Kelantan musim lalu iaitu Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose dikhabar bakal menyarung jersi pasukan T-Team (Terengganu) untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

No comments:

Post a Comment