Tuesday, October 19, 2010

Selangor-Kelantan, siapa dihukum?


KUALA LUMPUR - Kelantan yang mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2010 dengan mengatasi Selangor 3-0 secara agregat, belum boleh bergembira besar lagi sehingga Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersidang hari ini.

Dalam masa yang sama, sejauh mana kewibawaan, ketelusan dan integriti jawatankuasa ini bakal teruji di Wisma FAM, Kelana Jaya memandangkan Pengerusi dan timbalan pengerusinya masih menyandang jawatan kanan dalam persatuan bola sepak kedua-dua negeri itu.

Angkara perang penyokong Wira Merah dengan Selangor yang masing-masing 'bersenjatakan botol air' dan bakar membakar mercun di Stadium Shah Alam, 12 Oktober lalu, ada kemungkinan salah satu pasukan terpaksa menanggung padahnya yang mampu memberikan kesan pada separuh akhir pertama, esok.

Kelantan dan juara bertahan, Negeri Sembilan kian hampir untuk mengulangi pertembungan perlawanan akhir musim lalu, namun Kedah dan Johor FC bakal menjadi halangan awal mereka di Alor Setar dan Paroi, Seremban, esok.

Sekalipun bukan bermaksud menjatuhkan hukuman sebelum jawatankuasa bersidang, Pengerusinya, Datuk Hamidin Mohd. Amin membayangkan antara enam hingga tujuh pilihan hukuman menanti mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam insiden suku akhir pertama itu.

Antaranya diarahkan bermain di stadium kosong tanpa penonton atau beralih ke gelanggang berkecuali bagi perlawanan berikutnya malah mungkin sekadar satu amaran keras hinggalah kepada didenda yang maksimumnya, RM100,000.

"Tidak semestinya tuan rumah yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian itu. Kami akan cuba meneliti terlebih dahulu keterangan mengenai apa sebenarnya yang berlaku daripada wakil kedua-dua pasukan dalam mesyuarat jawatankuasa itu.

"Penilaian jawatankuasa akan melibatkan sejauh mana prosedur keselamatan diambil, siapa atau pihak mana yang mencetuskan kekecohan dan di manakah yang paling besar kesan kerosakan harta bendanya, menurut keterangan wakil pengurusan Stadium Shah Alam," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden FAM menjelaskan, turut akan diambil kira jawatankuasa itu dalam menentukan bentuk hukuman sewajarnya ialah laporan pihak keselamatan dan pengawas perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan itu.

Bagaimanapun, Hamidin memberikan jaminan bahawa tiada unsur berat sebelah atau pertindihan kepentingan mampu mempengaruhi sebarang bentuk tindakan jawatankuasa terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam perlawanan itu.

"Saya (juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor - FAS) dan Timbalan Pengerusi jawatankuasa, Datuk Afandi Hamzah (juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan - KAFA) akan keluar apabila sampai masanya untuk jawatankuasa membuat keputusan.

"Kami akan menyerahkan sepenuhnya kuasa itu kepada Datuk Omar Othman (juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang - PBNP) dan terserah kepada budi bicaranya selaku pengerusi sementara," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Media dan Hubungan Luar FAM.

No comments:

Post a Comment