Wednesday, November 3, 2010

Annuar mahu berundur


KETIKA rakyat Kelantan masih bergembira dengan kejayaan skuad bola sepak negeri menamatkan penantian 89 tahun untuk menjulang Piala Malaysia, Presiden Persatuan Bola sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa pula menyatakan hasratnya untuk berundur sebagai orang nombor satu bola sepak negeri itu.

“Saya sedia berundur dan membuka peluang kepada muka baru sekiranya ada yang sanggup tampil untuk meneruskan kesinambungan dan lonjakan bola sepak di Kelantan.


“Sejak memegang jawatan ini tiga tahun lalu, saya sudah menyempurnakan transformasi dengan membawa pulang Piala Malaysia,” katanya yang juga adalah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Menurutnya lagi mesyuarat agung tahunan KAFA akan diadakan sebelum penghujung Disember ini untuk memilih jawatankuasa yang baru bagi penggal baru untuk tempoh tiga tahun.


“Saya sudah memaklumkan kepada ahli gabungan agar mencadangkan secara terbuka sesiapa saja yang difikirkan layak untuk memegang jawatan itu bagi kerana sesebuah persatuan tidak boleh dikuasai oleh individu tertentu saja,” jelasnya.


Annuar bagaimanapun berkata beliau belum membuat keputusan sama ada meneruskan khidmat atau sebaliknya sekiranya tiada individu yang tampil atau dicalonkan oleh ahli gabungan pada mesyuarat itu nanti.

“Saya belum membuat keputusan malah masih banyak lagi masa iaitu kira-kira dua bulan untuk menyelesaikan perkara ini,” tambahnya yang belum ingin mengumumkan bonus kepada skuad Kelantan namun sudah menyatakan hasrat untuk mengekalkan jurulatih B Sathianathan dan kebanyakan pemain skuad The Red Warriors itu.


Hasrat Annuar untuk berundur itu juga mungkin kerana ‘bebanannya’ yang semakin bertambah selepas dipilih sebagai Timbalan Presiden FAM baru-baru ini yang memerlukan komitmen tinggi selain dilantik sebagai pengerusi Malaysian Super League (MSL) dan jawatankuasa bola sepak wanita.

Malah, Annuar menegaskan Liga Super akan berwajah baru pada 2012 selepas mendapat banyak pandangan daripada penaja, pemain, aktivis sukan dan sebagainya.


“Saingan Liga Super 2011 akan menjadi musim peralihan dengan beberapa peraturan dan kriteria baru dari segi komposisi pemain, pengurusan, kewangan dan sebagainya akan dilaksanakan supaya setiap pasukan yang bersaing dapat bersedia untuk memenuhinya.


“Malah, kami melihat Liga Super tidak lagi berdasarkan kuantiti tetapi daripada segi kualiti selain keutamaan kepada skuad kebangsaan kerana pada masa ini pemain terpaksa berhadapan jadual ketat dan risiko kecederaan yang turut menjejaskan persiapan skuad kebangsaan bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.


Annuar juga berkata, FAM ingin merubah Liga Malaysia yang kini hanya bernilai RM18 juta kepada sekurang-kurangnya RM40, selain memberikan pulangan sepatutnya kepada pelabur kerana badan induk bola sepak itu tidak lagi boleh bergantung kepada penajaan bersifat ehsan atau arahan berdasarkan kepentingan politik.


“Ketika saya mengambil alih KAFA tiga tahun lalu kutipan tiket hanya berjumlah RM170,000 bagi satu musim namun semuanya berubah kerana kini badan induk bola Kelantan itu kini memperoleh kira-kira RM3 juta,” katanya

Norshahrul terbaik


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 yang berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya tengah hari semalam.

Selain itu, Norshahrul yang juga penyerang kebangsaan merangkul satu lagi anugerah iaitu Penyerang Terbaik, menewaskan calon-calon lain terdiri daripada Safee Sali, Ashaari Shamsuddin, Azlan Ismail dan Zamri Hassan.

Rakan sepasukan Norshahrul dalam skuad kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat turut merangkul dua anugerah iaitu Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Dua lagi tonggak skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak dari Negeri Sembilan dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik manakala Baddrol Bakhtiar dari Kedah menerima anugerah Pemain Tengah Terbaik.

Bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan pula dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik setelah berjaya membawa Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama musim ini.

Tiga anugerah lain menyaksikan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dipilih sebagai Persatuan Bola Sepak (FA) Negeri Terbaik, Johor FC sebagai Kelab Bola Sepak (FC) Terbaik dan Kedah sebagai Kelab Penyokong Terbaik.

Norshahrul, 24, yang berasal dari Besut, Terengganu, menganggap anugerah tertinggi yang diperolehnya itu adalah hasil penat lelah dan perjuangannya sepanjang musim ini.

“Pengorbanan saya berbaloi. Anugerah ini adalah untuk isteri saya dan semua jurulatih yang pernah membimbing saya selama ini. Ia pasti membakar semangat saya untuk terus beraksi cemerlang pada Sukan Asia nanti.

“Tentang haluan musim depan, besar kemungkinan saya akan terus kekal bersama Kelantan biarpun ada menerima tawaran daripada Selangor, Negeri Sembilan dan Perak,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis tersebut semalam.

Selain trofi, Norshahrul turut menerima wang tunai RM3,000 untuk anugerah MVP.

Pemenang untuk anugerah lain masing-masingnya menerima wang tunai RM500 setiap seorang. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., James Teo.

Monday, November 1, 2010

Piala Malaysia Dibawa Ke Kelantan Hari Ini



KUALA LUMPUR – Tarikh 1 November 2010 pada hari ini bakal menjadi detik bersejarah dalam dimensi bola sepak Kelantan apabila buat pertama kalinya, Piala Malaysia yang dimenangi oleh pasukan The Red Warriors akan menjejaki bumi negeri Kelantan Darul Naim.

Sambutan besar-besaran dijangka menanti kepulangan barisan wira pasukan Kelantan yang gah menjulang trofi Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu dan dijangka tiba di ibu negeri, Kota Bharu petang ini.

Bukan melalui jalan laut, bukan juga jalan udara tetapi piala keagungan bola sepak negara itu akan mengharungi perjalanan jalan darat sejauh hampir 500 kilometer dan selama hampir 12 jam bermula dari Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, hotel penginapan pasukan Kelantan sebelum dijadualkan tiba di Kota Bharu pada jam 6.30 petang ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, buat pertama kalinya, trofi Piala Malaysia itu akan dibawa pulang ke bumi negeri Kelantan pada hari ini.

“Esok (hari ini) tercatat satu sejarah baru dalam kalendar bola sepak Kelantan apabila buat pertama kalinya, piala paling berprestij itu akan dibawa pulang ke Kelantan. Barisan wira pasukan Kelantan akan bertolak pulang tepat jam tujuh pagi esok (hari ini) dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Kita dijangka singgah di Gua Musang sekitar 12 tengahari dan akan solat berjemaah serta makan tengahari disitu sebelum menyambung perjalanan pulang ke Kota Bharu.

“Kita dijangka tiba di pekan Kok Lanas sekitar jam empat petang. Sekiranya keadaan cuaca elok, barisan pemain akan menaiki bas tanpa bumbung ke Kota Bharu. Bermula dari situ, mereka dijangka diiringi puluhan buah motosikal berkuasa tinggi serta ahli kelab Ferrari Kelantan sambil di ikuti beberapa lori yang akan melakukan paluan gendang serta dikir barat secara bergerak sepanjang jalan ke Kota Bharu.

Annuar berkata, setibanya rombongan mereka di Kota Bharu pada jam lima petang, mereka akan mengelilingi beberapa batang jalan di bandar buat beberapa ketika sebelum berhenti di dataran di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV.




“Disitu para peminat bola sepak Kelantan boleh melihat secara dekat trofi keagungan bola sepak negara itu. Saya menyeru peminat Kelantan hadir beramai-ramai ke stadium bagi menyambut kepulangan barisan wira Kelantan nanti.

“Rombongan akan bertolak tepat jam 6.30 petang menuju ke kediaman saya di SriPuri, Bukit Marak bagi tujuan solat Maghrib berjemaah,” katanya.

Khairul Fahmi calon pilihan


SEIRING dengan slogan 100- PLUS, Outdo Yourself, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat berjaya membuktikan bahawa dia sememangnya calon paling layak untuk merangkul anugerah Pemain Muda Terbaik 2010.

Namun, keputusan pemenang bagi kategori itu serta be- berapa kategori lain hanya akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 yang akan berlangsung di Hotel Hilton Petaling Jaya tengah hari esok.

Khairul, 21, telah beraksi cemerlang biarpun tewas menerusi sepakan penalti pada awal permainan untuk membantu Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 malam kelmarin.

"Selepas kami ketinggalan menerusi sepakan penalti, ia membuatkan kami semakin bersemangat untuk bangkit memenangi perlawanan. Ia jelas kelihatan apabila kami berjaya menguasai permainan selepas itu.

"Ia pengalaman pertama buat saya beraksi di pentas final. Suasana cukup gamat di hadapan puluhan ribu penonton. Dibolosi awal membuatkan saya bertekad untuk terus bekerja keras menga- wal pintu gol.

"Bila dicalonkan untuk anugerah ini pula, ia sesuatu yang bagus buat diri saya dan seorang lagi calon iaitu Faizal Abu Bakar (penyerang Kedah).

Saya cukup gembira kerana berpeluang beraksi dalam banyak perlawanan sepanjang musim ini," kata pemain kelahiran Kota Bharu itu.

Biarpun masih baru dalam skuad kebangsaan, Khairul yang memasang impian untuk beraksi bersama kelab Jerman, Bayern Munich suatu hari nanti kini sedang memburu tempat berada dalam skuad ke Piala AFF Suzuki 2010 yang akan berlangsung awal Disember depan.

Sementara itu, pemain tengah Kelantan, Badhri Radzi telah dipilih sebagai pemenang anugerah 100PLUS Outdo Yourself malam kelmarin selepas dia menjaringkan gol kemenangan Kelantan pada perlawanan tersebut.

Bagi memastikan hanya yang terbaik dipilih sebagai pemenang pada majlis anugerah yang akan berlangsung esok, panel pemili- han kali ini terdiri daripada para jurulatih, ahli-ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) serta pegawai dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dendam Piya berbalas


NDAM saya akhirnya berbalas."

Demikian ujar playmaker Kelantan, Badri Radzi (gambar) atau lebih dikenali sebagai Piya apabila dia tampil antara watak penting dalam skuad The Red Warriors yang mengukir sejarah menjulang Piala Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 89 tahun pertandingan.

Musim lalu, dia terpaksa berada di bangku penonton dengan dendam yang tersarang menyaksikan bagaimana pasukannya mudah dijinakkan Negeri Sembilan 1-3 kerana terpaksa berehat panjang ekoran kecederaan yang dialaminya.

Menurut Piya, dia agak gugup apabila berpeluang beraksi pada final Piala Malaysia buat kali pertama yang turut menjejaskan gaya permainannya pada separuh masa pertama.

"Pada babak pertama saya akui kami tidak beraksi dengan baik, segala-galanya serba tidak menjadi dan yang jelas kami sedikit gugup ditambah pula dengan gol awal yang diperoleh Negeri Sembilan.

"Ketika waktu rehat, jurulatih kata kami tak pernah kalah bila beraksi di luar, ini adalah peluang kami untuk membawa pulang piala untuk peminat dan Tan Sri (Annuar Musa), jadi kena main all out (habis-habisan)," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Piya, selepas mendapat kata-kata semangat itu, dia dan rakan-rakan sepasukannya tampil agresif untuk mempamerkan aksi berbeza pada babak kedua dengan menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Jelasnya, ketiadaan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang sebelum itu dilihat sukar untuk ditembusi, sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Kelantan.

"Memang betul, ketiadaan Aidil memudahkan lagi kerja kami. Sebelum itu kami susah untuk membawa bola masuk ke dalam kawasan kotak penalti.

"Selepas dia dikeluarkan, barulah kami mampu bergerak dengan baik di bahagian hadapan.

"Selepas menerima bola hantaran Norfarhan Mohamad, saya tahu ini adalah peluang terbaik dan saya kena sempurnakannya.

"Saya terus lari membawa bola ke depan dan pada masa itu saya yakin untuk melakukan jaringan. Tanpa teragak-agak, saya melakukan rembatan yang terus menerjah ke gawang lawan. Saya puas kerana dendam sekian lama akhirnya terlerai," ujar Piya.

Tuesday, October 26, 2010

KAFA rayu penyokong bersopan


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa merayu kepada lebih 50,000 penyokong fanatik The Red Warriors yang akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, supaya menjaga kelakuan mereka bagi menafikan tohmahan orang ramai yang mengatakan penyokong Kelantan tidak berdisiplin.

Katanya, penyokong Kelantan harus menunjukkan sikap profesional mereka dengan saling menasihat antara satu sama lain dan jangan sekali-kali memalukan Kelantan dengan menimbulkan kekecohan seperti membakar mercun serta terbabit dalam perbalahan.

Beliau berkata, sebarang perbuatan yang menyalahi peraturan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh memberi kesan buruk kepada KAFA dan yang lebih memeritkan lagi ialah tindakan itu boleh mengganggu tumpuan pemain di padang.

“Saya berharap penyokong The Red Warriors kali ini menjadi lebih profesional, mematuhi segala arahan FAM dan jangan sekali-kali menentang arus kerana ia bukan saja menyebabkan KAFA kena denda, malah turut menjejaskan mutu permainan pemain, yang juga terpaksa memikul bebanan harapan menggunung rakyat Kelantan.

“Penyokong seharusnya memberi tumpuan kepada perlawanan dengan menyokong tanpa berbelah bagi kepada pasukan kita, meskipun pasukan ketinggalan, jangan tinggalkan stadium walaupun ketinggalan. Jadilah penyokong setia, tetap bersama walaupun apa keadaan sekali pun,” katanya pada sidang media di Wisma KAFA, semalam.

Annuar berkata, perlawanan kali ini bakal menyaksikan satu kelainan kerana pemain Kelantan tidak lagi mahu sentiasa berada di tempat kedua, malah ingin membuang kenangan pahit tahun lalu.
“Kita ke Stadium Nasional Bukit Jalil kali ini dengan semangat baru, membawa balik Piala Malaysia dan sejarah pahit tahun lalu akan menjadi penguat semangat untuk membenam Negeri Sembilan,” katanya.

Sathianathan lega


KETUA jurulatih Kelantan, B Sathianathan menyifatkan hukuman penggantungan enam bulan serta denda RM2,000 dikenakan ke atasnya itu bukan penyebab untuk meminta simpati.

Jauh sekali bagi menghalangnya terus menabur bakti kerana hanya dengan kemenangan pada final Piala Malaysia Sabtu ini dapat menutup mulut pengkritik.

“Saya lega akhirnya hukuman itu ditangguhkan dan sekarang adalah masa untuk saya dan penolong jurulatih, Hashim Mustapha menyusun strategi terbaik bagi mencapai apa yang dicita-citakan oleh seluruh rakyat Kelantan,” katanya

'Jangan harap rampas piala'- N.sembilan


"JANGAN fikir boleh rampas Piala Malaysia daripada kami."

Itu amaran pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang akan memainkan peranan sebagai benteng terakhir skuad Hoben Jang Hoben itu pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Katanya, final ulangan dengan Kelantan ini dijangka lebih menarik apabila Negeri Sembilan mempunyai misi mempertahankan kejuaraan manakala Kelantan ghairah untuk membalas dendam, sekali gus turut ingin menjulang piala berprestij itu.

Menurut Aidil, piala yang menjadi kemegahan dan dinanti-nantikan Negeri Sembilan sejak 61 tahun yang lalu itu tidak akan diserahkan dengan mudah kepada Kelantan.

Ujarnya, secara peribadi, dia mahu rakan-rakan sepasukannya mengulangi kejayaan seperti tahun lalu dan tidak perlu ada rasa gentar untuk berdepan dengan skuad Kijang.

"Mungkin dari segi penyokong, Kelantan dilihat hebat apabila lautan merah akan membanjiri stadium. Tetapi itu bukan faktor, sebaliknya nasib kedua pasukan ditentukan dalam tempoh 90 minit sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Kedua-dua pasukan akan menurunkan barisan pemain yang sama seperti tahun lepas dan mungkin satu atau dua pemain baru akan diturun buat kali pertama, namun ia akan ditentukan oleh jurulatih kelak," katanya kepada Kosmo! semalam.

Kata Aidil, antara pemain Kelantan yang akan diberi tumpuan ketika berada di ka- wasan pertahanan Negeri Sembilan ialah Norshahrul Idlan, Akmal Rizal dan Indra Putra Mahayuddin.

Ujarnya, perkara penting yang harus dilakukan mereka ialah mengawal rentak permainan selain mencari gol awal.

Aidil yang bermain di posisi pertahanan akan bergandingan dengan Shukor Adan dan mereka bertekad untuk tidak membiarkan penyerang pasukan lawan bergerak bebas sepanjang perlawanan itu nanti.

Sementara itu, kembar Aidil, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak yang direhatkan akibat kecederaan berkata, dia sedih kerana tidak dapat berjuang bersama rakan- rakan lain untuk mempertahankan piala yang menjadi kebanggaan semua.

Dia berharap rakan-rakan sepasukannya mampu menampilkan aksi terbaik dalam usaha mempertahankan piala tersebut di Negeri Sembilan.

"Saya sedih kerana tidak dapat bersama, namun saya yakin kami akan muncul juara," katanya.

Mohd. Zaquan terpaksa berehat selama enam bulan selepas menjalani pembedahan lutut dan dia kini sedang menjalani latihan fisioterapi di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Monday, October 25, 2010

Aduh ! Bahana Baru Dari FAM

Terperanjat dan amat menyedihkan semua peminat Kelantan apabila hari ini tepat jam 3 petang tadi KAFA menerima pemberitahuan tentang FAM telah membuat keputusan menaikkan harga tiket daripada RM20 kepada RM30. Kenaikan mendadak 50% harga tiket ini amat memeranjatkan kerana sekiranya untuk menampung kos kerosakan selepas perlawanan sudah pasti KAFA yang dikenakan denda dan membayarnya.

Friday, October 22, 2010

Norshahrul perkuat serangan Red Warriors


JURULATIH Kelantan, B Sathianathan menyifatkan kelebihan skuad The Red Warriors itu hanyalah beraksi di gelanggang sendiri manakala selebihnya memihak kepada Kedah menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, malam esok.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata Kedah mempunyai rekod yang baik apabila beraksi di gelanggang lawan malah menjadi pasukan tunggal menewaskan Kelantan di dalam saingan Liga Super di Kota Bharu pada musim ini.


“Mereka juga akan mendapat kembali dua tonggak utama yang digantung sebelum ini iaitu Mohd Khairul Helmi Johari dan Mohd Sabre Mat Abu manakala Kelantan pula terpaksa melupakan khidmat dua pertahanan kental iaitu Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam manakala peluang Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd Shakir Shaari juga masih belum pasti kerana kecederaan,” katanya semalam.


Sathianathan bagaimanapun berharap sokongan padu penyokong Kelantan akan membangkitkan semangat para pemain untuk mempamerkan aksi cemerlang seperti yang ditunjukkan pemain sejak peringkat suku akhir.

“Selain itu persembahan Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid dan Mohd Farisham Ismail melegakan saya kerana mereka mempamerkan aksi yang mantap walaupun pertama kali beraksi bersama di bahagian pertahanan tengah.


“Malah aksi pemain gantian seperti Mohd Daudsu Jamaluddin dan Khairan Eroza Razali melepasi jangkaan saya apabila mereka beraksi dengan baik untuk menahan asakan lawan dan turut menggerakkan jentera serangan bergandingan dengan beberapa pemain berpengalaman yang lain seperti Indra Putra Mahyuddin dan Hairuddin Omar,” jelasnya.

Sathianathan bagaimanapun mungkin boleh menarik nafas lega kerana penyerang utamanya, Norshahrul Idlan Talaha akan kembali menguatkan jentera serangan selepas digantung dua perlawanan akibat layangan kad merah ketika bertemu Selangor di peringkat suku akhir.