Tuesday, October 26, 2010

KAFA rayu penyokong bersopan


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa merayu kepada lebih 50,000 penyokong fanatik The Red Warriors yang akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, supaya menjaga kelakuan mereka bagi menafikan tohmahan orang ramai yang mengatakan penyokong Kelantan tidak berdisiplin.

Katanya, penyokong Kelantan harus menunjukkan sikap profesional mereka dengan saling menasihat antara satu sama lain dan jangan sekali-kali memalukan Kelantan dengan menimbulkan kekecohan seperti membakar mercun serta terbabit dalam perbalahan.

Beliau berkata, sebarang perbuatan yang menyalahi peraturan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh memberi kesan buruk kepada KAFA dan yang lebih memeritkan lagi ialah tindakan itu boleh mengganggu tumpuan pemain di padang.

“Saya berharap penyokong The Red Warriors kali ini menjadi lebih profesional, mematuhi segala arahan FAM dan jangan sekali-kali menentang arus kerana ia bukan saja menyebabkan KAFA kena denda, malah turut menjejaskan mutu permainan pemain, yang juga terpaksa memikul bebanan harapan menggunung rakyat Kelantan.

“Penyokong seharusnya memberi tumpuan kepada perlawanan dengan menyokong tanpa berbelah bagi kepada pasukan kita, meskipun pasukan ketinggalan, jangan tinggalkan stadium walaupun ketinggalan. Jadilah penyokong setia, tetap bersama walaupun apa keadaan sekali pun,” katanya pada sidang media di Wisma KAFA, semalam.

Annuar berkata, perlawanan kali ini bakal menyaksikan satu kelainan kerana pemain Kelantan tidak lagi mahu sentiasa berada di tempat kedua, malah ingin membuang kenangan pahit tahun lalu.
“Kita ke Stadium Nasional Bukit Jalil kali ini dengan semangat baru, membawa balik Piala Malaysia dan sejarah pahit tahun lalu akan menjadi penguat semangat untuk membenam Negeri Sembilan,” katanya.

Sathianathan lega


KETUA jurulatih Kelantan, B Sathianathan menyifatkan hukuman penggantungan enam bulan serta denda RM2,000 dikenakan ke atasnya itu bukan penyebab untuk meminta simpati.

Jauh sekali bagi menghalangnya terus menabur bakti kerana hanya dengan kemenangan pada final Piala Malaysia Sabtu ini dapat menutup mulut pengkritik.

“Saya lega akhirnya hukuman itu ditangguhkan dan sekarang adalah masa untuk saya dan penolong jurulatih, Hashim Mustapha menyusun strategi terbaik bagi mencapai apa yang dicita-citakan oleh seluruh rakyat Kelantan,” katanya

'Jangan harap rampas piala'- N.sembilan


"JANGAN fikir boleh rampas Piala Malaysia daripada kami."

Itu amaran pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang akan memainkan peranan sebagai benteng terakhir skuad Hoben Jang Hoben itu pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Katanya, final ulangan dengan Kelantan ini dijangka lebih menarik apabila Negeri Sembilan mempunyai misi mempertahankan kejuaraan manakala Kelantan ghairah untuk membalas dendam, sekali gus turut ingin menjulang piala berprestij itu.

Menurut Aidil, piala yang menjadi kemegahan dan dinanti-nantikan Negeri Sembilan sejak 61 tahun yang lalu itu tidak akan diserahkan dengan mudah kepada Kelantan.

Ujarnya, secara peribadi, dia mahu rakan-rakan sepasukannya mengulangi kejayaan seperti tahun lalu dan tidak perlu ada rasa gentar untuk berdepan dengan skuad Kijang.

"Mungkin dari segi penyokong, Kelantan dilihat hebat apabila lautan merah akan membanjiri stadium. Tetapi itu bukan faktor, sebaliknya nasib kedua pasukan ditentukan dalam tempoh 90 minit sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Kedua-dua pasukan akan menurunkan barisan pemain yang sama seperti tahun lepas dan mungkin satu atau dua pemain baru akan diturun buat kali pertama, namun ia akan ditentukan oleh jurulatih kelak," katanya kepada Kosmo! semalam.

Kata Aidil, antara pemain Kelantan yang akan diberi tumpuan ketika berada di ka- wasan pertahanan Negeri Sembilan ialah Norshahrul Idlan, Akmal Rizal dan Indra Putra Mahayuddin.

Ujarnya, perkara penting yang harus dilakukan mereka ialah mengawal rentak permainan selain mencari gol awal.

Aidil yang bermain di posisi pertahanan akan bergandingan dengan Shukor Adan dan mereka bertekad untuk tidak membiarkan penyerang pasukan lawan bergerak bebas sepanjang perlawanan itu nanti.

Sementara itu, kembar Aidil, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak yang direhatkan akibat kecederaan berkata, dia sedih kerana tidak dapat berjuang bersama rakan- rakan lain untuk mempertahankan piala yang menjadi kebanggaan semua.

Dia berharap rakan-rakan sepasukannya mampu menampilkan aksi terbaik dalam usaha mempertahankan piala tersebut di Negeri Sembilan.

"Saya sedih kerana tidak dapat bersama, namun saya yakin kami akan muncul juara," katanya.

Mohd. Zaquan terpaksa berehat selama enam bulan selepas menjalani pembedahan lutut dan dia kini sedang menjalani latihan fisioterapi di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Monday, October 25, 2010

Aduh ! Bahana Baru Dari FAM

Terperanjat dan amat menyedihkan semua peminat Kelantan apabila hari ini tepat jam 3 petang tadi KAFA menerima pemberitahuan tentang FAM telah membuat keputusan menaikkan harga tiket daripada RM20 kepada RM30. Kenaikan mendadak 50% harga tiket ini amat memeranjatkan kerana sekiranya untuk menampung kos kerosakan selepas perlawanan sudah pasti KAFA yang dikenakan denda dan membayarnya.

Friday, October 22, 2010

Norshahrul perkuat serangan Red Warriors


JURULATIH Kelantan, B Sathianathan menyifatkan kelebihan skuad The Red Warriors itu hanyalah beraksi di gelanggang sendiri manakala selebihnya memihak kepada Kedah menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, malam esok.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata Kedah mempunyai rekod yang baik apabila beraksi di gelanggang lawan malah menjadi pasukan tunggal menewaskan Kelantan di dalam saingan Liga Super di Kota Bharu pada musim ini.


“Mereka juga akan mendapat kembali dua tonggak utama yang digantung sebelum ini iaitu Mohd Khairul Helmi Johari dan Mohd Sabre Mat Abu manakala Kelantan pula terpaksa melupakan khidmat dua pertahanan kental iaitu Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam manakala peluang Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd Shakir Shaari juga masih belum pasti kerana kecederaan,” katanya semalam.


Sathianathan bagaimanapun berharap sokongan padu penyokong Kelantan akan membangkitkan semangat para pemain untuk mempamerkan aksi cemerlang seperti yang ditunjukkan pemain sejak peringkat suku akhir.

“Selain itu persembahan Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid dan Mohd Farisham Ismail melegakan saya kerana mereka mempamerkan aksi yang mantap walaupun pertama kali beraksi bersama di bahagian pertahanan tengah.


“Malah aksi pemain gantian seperti Mohd Daudsu Jamaluddin dan Khairan Eroza Razali melepasi jangkaan saya apabila mereka beraksi dengan baik untuk menahan asakan lawan dan turut menggerakkan jentera serangan bergandingan dengan beberapa pemain berpengalaman yang lain seperti Indra Putra Mahyuddin dan Hairuddin Omar,” jelasnya.

Sathianathan bagaimanapun mungkin boleh menarik nafas lega kerana penyerang utamanya, Norshahrul Idlan Talaha akan kembali menguatkan jentera serangan selepas digantung dua perlawanan akibat layangan kad merah ketika bertemu Selangor di peringkat suku akhir.

Kedah optimis benam Kelantan


RENTAK Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin dilihat serba tidak menjadi.

Semuanya gara-gara Kedah tidak dapat menampilkan barisan terbaik sehingga menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Dua tonggak pertahanan, Mohd. Sabre Mat Abu dan Khairul Helmi Johari tidak dapat beraksi kerana menjalani penggantungan perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning.

Lebih malang, seorang lagi pemain pertahanan, Azmi Muslim mengalami kecederaan pada perlawanan tersebut sehingga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-11.

Jurulatih Kedah, Ahmad Yusof mengakui, kehilangan beberapa pemain utama menjejaskan barisan pertahanan skuad Kenari itu.

“Kedah agak pincang kerana beberapa pemain utama tidak dapat beraksi.

“Kami bertambah pincang apabila Azmi dikeluarkan. Rakan-rakan sepasukannya agak terkejut dengan keadaan itu,” kata Ahmad sejurus selepas tamat perlawanan kelmarin.

Beliau berkata, jadual perlawanan yang ketat mendedahkan pemain kepada masalah kecederaan, sekali gus menje- jaskan persiapan pasukan.

Ia terbukti apabila Kelantan terpaksa menggunakan tiga pemain simpanan dalam tempoh 15 minit pertama perlawa- nan ekoran masalah kecederaan.

Tonggak pertahanan Kelantan, Azizi Mat Rose yang baru memulakan aksi selama dua minit terpaksa dikeluarkan dan tempatnya diganti oleh S. Subramaniam.

Namun, Subramaniam hanya sempat beraksi selama 12 minit sebelum dia dikeluarkan akibat kecederaan dan diganti dengan Mohd. Daudsu Jamaluddin.

Pemain tengah Kelantan, Mohd. Shakir Shaari yang turut mengalami kecederaan pula dikeluarkan pada minit ke- 12 dan diganti oleh Khairan Eroza Razali.

Ahmad mengakui, kegagalan memperoleh gol di laman sendiri menyukarkan Kedah ketika bertandang ke Kota Bharu bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua Sabtu ini.

Bagaimanapun, Ahmad tetap yakin Kedah mampu meraih kemenangan seterusnya layak ke pentas final.

“Ia bukan mustahil (menang). Saya yakin Kedah mampu lakukan (menang),” katanya.

Tambahnya, persiapan Kedah akan lebih mantap apabila Sabre dan Khairul Helmi boleh diturunkan.

“Sebelum ini, Kedah mengalahkan Kelantan 1-0 pada saingan Liga Super di Kota Bharu. Kejayaan itu boleh dilakukan sekali lagi dengan kesungguhan, komitmen dan aksi cemerlang pemain Sabtu ini,” katanya.

Kelantan bayar harga tinggi


KELANTAN terpaksa membayar harga yang tinggi ketika mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Ini kerana, dua tonggak pertahanan Kelantan, Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam mengalami kecede- raan pada perlawanan tersebut.

Disebabkan itu, jurulatih Kelantan, B. Sathianathan terpaksa melakukan tiga pertukaran dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan.

Selain Azizi dan Subramaniam, Sathianathan juga terpaksa mengeluarkan pemain tengahnya, Shakir Shaari yang turut mengalami cedera di bahagian dagu pada babak pertama.

Kecederaan ketiga-tiga tonggak itu menyaksikan rentak permainan Kelantan agak terganggu sehingga memaksa Sathianathan melakukan beberapa romba- kan untuk mengekang asakan jentera Kedah.

Menurut Sathianathan, walaupun kehilangan tiga pemain dalam tempoh yang singkat, semangat semua pemainnya tidak luntur tetapi terus mengasak sehingga berjaya memperoleh beberapa peluang terbaik.

"Kita ke sana (Alor Setar) untuk mendapatkan jaringan dan memenangi perlawanan tetapi apa yang berlaku merencatkan rentak permainan kita.

"Bagaimanapun, kita berjaya memperoleh beberapa peluang terbaik tetapi nasib kurang menyebelahi.

"Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan pemain, bukan sahaja malam semalam (kelmarin) tetapi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Saya gembira dengan perkembangan ini dan harap ia akan berterusan," katanya ketika dihu- bungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, berdepan Kedah di Stadium Darul Aman bukan suatu tugas yang mudah, ditambah pula skuad Kenari itu mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri.

"Tetapi saya gembira kerana para pemain mampu mengekalkan tahap motivasi dan mental dengan baik sepanjang perlawanan berlangsung," ujarnya.

Jelas Sathianathan, beliau juga berpuas hati dengan aksi para pe- main simpanan yang dibawa masuk kerana turut sama memainkan peranan membantu Kelantan 'mengikat' Kedah.

"Khairan (Eroza Razali) dan Daudsu Jamaluddin yang kita bawa masuk bermain dengan baik. Mereka berdua tahu apa yang perlu dilakukan dan saya sangat berpuas hati dengan apa yang telah mereka lakukan ketika di padang.

"Dalam pasukan Kelantan, tiada istilah pasukan kedua, semua yang berada dalam pasukan adalah mereka yang terbaik.

"Mereka mampu dan bersedia untuk diturunkan dalam apa jua situasi dan pada bila-bila masa," ujar- nya.

Wednesday, October 20, 2010

Kekuatan seimbang - Sathia


"PELUANG kami seimbang."Begitulah pendapat ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Kedah pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Menurut bekas jurulatih kebangsaan itu, peluang yang dimiliki oleh kedua- dua pasukan seimbang walaupun Kedah kehilangan beberapa tonggak utama bagi perlawanan tersebut.

Katanya, skuad Hijau Kuning itu masih mempunyai pemain muda berwibawa untuk diturunkan bagi menggantikan tonggak utama mereka.

Sehubungan itu katanya, beliau mengharapkan anak-anak buahnya dapat mempamerkan aksi cemerlang seperti persembahan ketika menewaskan Selangor 3-0 dalam perlawanan kedua suku akhir di Kota Bharu sebelum ini.

"Saya difahamkan, mereka kehilangan beberapa tonggak utama, namun pemain gantian mereka tidak kurang hebatnya. Saya yakin kita tetap mempunyai peluang pada perlawanan ini.

"Untuk itu kita akan turun berjuang habis-habisan dan tidak akan memberikan laluan mudah buat pasukan Kedah meskipun beraksi di tempat lawan," katanya.

Menurut Sathianathan, beliau juga berharap agar jentera serangan pasukannya dapat menggunakan setiap peluang yang dimiliki sebaik mungkin untuk mencari bekalan selesa sebelum mengharungi aksi kedua di Kota Bharu, Sabtu ini.

Tuesday, October 19, 2010

Red Warriors tak dabik dada


Kami hormati Kedah lebih-lebih lagi bertandang tempat lawan: Sathia

KEMENANGAN 3-0 ke atas Selangor, bukan tiket untuk Kelantan berbangga diri menjelang perlawanan menentang Kedah di Stadium Darulaman, malam esok.

Meskipun kini dilabel pasukan pilihan selepas menyingkirkan Selangor, pengendali Kelantan, B Sathianathan lebih cenderung untuk menganggap barisannya sebagai ‘underdog’ apabila berdepan Kedah kali ini.

Ini kerana, Sathia akur kepada rekod pertemuan antara dua pasukan terbabit sepanjang Liga Super dan Piala FA tahun ini yang lebih memihak Kedah manakala reputasi selaku juara beberapa kali mengesahkan kehebatan barisan Ahmad Yusoff.

“Dari segi pemain saja, Kedah memiliki kelebihan dengan lima pemain skuad kebangsaan, berbanding hanya dua bersama Kelantan ketika ini. Kehadiran mereka menunjukkan Kedah amat berbahaya dan perlu diawasi jika mahu menang.

“Keupayaan Kedah menundukkan Terengganu, 3-0 di Stadium Darulaman baru-baru ini memang mengejutkan kerana bukan sebarang pasukan yang boleh melakukannya. Lantaran itu, saya menyifatkan kunjungan ke Alor Setar kali ini cukup getir dan Kelantan perlu berhati-hati.

“Walaupun dua pemainnya, Mohd Sabre Mat Abu dan Khairul Helmi Johari, dikatakan tidak dapat beraksi, Kedah masih mempunyai pemain lain yang mampu menggugat pertahanan Kelantan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sathia berkata, dia masih menumpukan usaha memantapkan persefahaman antara pemainnya kerana mahu mereka mengekalkan corak permainan kemas seperti ketika bertemu Selangor, Jumaat lalu dan kepakaran dua tonggak, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Badhri Radzi, sekali lagi ditagih.

“Saya mahu semua pemain berusaha sebaik mungkin untuk membawa bekalan jaringan selesa sebelum mempertahankannya di kubu sendiri Sabtu ini,” katanya.

Apa Kata Pemain Kedah ???


"JANGAN gugup dan gunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk meraih kemenangan."

Begitu nasihat kapten Kedah, Mohd. Sabre Abu yang tidak dapat diturunkan kerana layangan kad kuning pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Darulaman, Alor Setar malam esok.

Sabree yang pernah membantu Kedah meraih gelaran treble pada musim 2007 dan 2008 berharap rakan sepasukannya dapat menunjukkan komitmen yang tinggi lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong sendiri.

Katanya, pemain juga perlu tenang dan menyerap tekanan dengan baik agar tidak menjejaskan rentak permainan pasukan.

"Pemain perlu beraksi macam biasa dan tidak gugup. Kelebihan bermain di tempat sendiri sewajarnya digunakan untuk beraksi dengan lebih baik," katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, peluang Kedah meraih kemenangan ke atas Kelantan adalah seim- bang, namun pemain perlu mencapai kemenangan sebagai bekalan untuk dibawa ke Kota Bharu, Sabtu ini.

"Pertemuan dengan Kelantan adalah sengit. Bagaimanapun, pemain mampu meraih kemenangan apabila dapat memanfaatkan peluang dengan jaringan," katanya.

Dalam pada itu ayam tambatan skuad Hijau Kuning, Baddrol Bakhtiar pula bertekad untuk membantu Kedah meraih kemenangan pada pertemuan itu sebagai pembakar semangat kepada pemain dan penyokong.

Katanya, beliau menjanjikan aksi terbaik dan berharap rakan sepasukan dapat menunjukkan persefahaman yang mantap bagi berdepan saingan Kelantan yang mahu mencuri mata di Alor Setar.

"Pemain berdepan tugas berat menentang Kelantan. Pemain menaruh harapan untuk menang dan bertekad mempamerkan kesungguhan yang tinggi," ujarnya.